Selasa, 22 Februari 2022 | 10:45am
- Foto hiasan.
- Foto hiasan.

Pempengaruh semakin diperlukan bantu pasar produk, khidmat

Oleh Prof Dr Ahmad ZamzuriMohamad Ali

bhrencana@bh.com.my

Ekonomi digital berdasarkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) diunjurkan menyumbang sekitar 25.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menjelang 2025.

Jika diamati, perkembangan teknologi internet dan media sosial antara asas utama bagi pencapaian unjuran ini dengan pembangunan kandungan media sosial semasa bukan hanya terbatas kepada aktiviti sosial, bahkan berkembang kepada pengiklanan dan pemasaran.

Kini, wujud pelbagai pendekatan dan strategi pemasaran serta pengiklanan media sosial. Bagaimanapun, peranan pempengaruh atau influencer media sosial menampakkan potensi sangat meyakinkan dalam membantu penjenamaan sesuatu produk atau perkhidmatan, iaitu melalui kerjasama antara jenama dengan pempengaruh bagi membantu sesuatu syarikat atau organisasi berkembang.

Pertumbuhan industri pemasaran oleh pempengaruh atau influencer marketing global dilihat stabil beberapa tahun kebelakangan ini dan dijangka terus berkembang pada tahun mendatang.

Menurut laporan akhir tahun platform influencer marketing Collabstr, jenama dijangka membelanjakan AS$15 bilion (RM62.8 bilion) untuk tujuan pemasaran oleh pempengaruh sepanjang 2022. Unjuran ini dibuat berdasar data daripada 5,000 pengiklan dan 27,000 penghasil kandungan kreatif.

Secara amnya, pempengaruh adalah personaliti media sosial yang boleh jadi sesiapa sahaja. Kayu ukur kekuatan pempengaruh biasanya berdasarkan jumlah pengikut setia di media sosial.

Pemasaran oleh pempengaruh pula ialah teknik pemasaran menggunakan golongan berkenaan bagi membina jenama serta mempromosikan produk atau perkhidmatan ke pasaran lebih luas dan bersasar.

Dalam pendekatan pemasaran oleh pempengaruh, peranan golongan itu adalah sangat utama dalam mempengaruhi keputusan pengguna. Apabila pengikut melihat pempengaruh sebagai pakar sesuatu bidang boleh dipercayai, ia akan ampu mempengaruhi keputusan pembelian pengguna.

Syor atau sokongan pempengaruh berkredi biliti juga boleh membantu jenama mengembangkan jangkauan mereka. Ini bererti, jumlah pengikut semata-mata tidaklah boleh menjadikan seseorang pempengaruh itu mampu berdaya saing dalam industri pemasaran oleh pempengaruh.

Melihatkan potensi pemasaran oleh pempengaruh, semakin ramai kini ingin menjadi golongan itu di media sosial yang berjaya. Hakikatnya, membina keyakinan dan mengekalkan peminat setia mengikuti platform media sosial bukanlah mudah, sebaliknya semakin sukar dan mencabar apabila lebih ramai cenderung untuk menjadinya.

Secara khusus, terdapat empat kategori pempengaruh, iaitu pempengaruh mega, seperti selebriti terkenal mempunyai jutaan atau ratusan ribu pengikut. Pempengaruh makro, lazimnya terkenal di internet serta menjadi rujukan orang ramai dan mempunyai antara 100,000 ke sejuta pengikut. Pempengaruh mikro, lebih berfokus dan khusus serta dikenali dalam bidang atau industri mereka, mempunyai bilangan pengikut antara 1,000 ke 100,000. Pempengaruh nano, mempunyai hubungan lebih rapat dengan pengikut mereka, kebiasaannya mempunyai kurang 1,000 pengikut setia.

Individu yang ingin menceburi industri ini, seharusnya bermula sebagai pempengaruh nano atau pempengaruh mikro terlebih dahulu. Mereka perlu mencari niche atau pengkhususan kandungan sejajar dengan imej mereka seperti gaya hidup, makanan, teknologi, sukan, pendidikan, alam sekitar, kesihatan dan moral. Menetapkan niche akan membantu dari sudut menyelaraskan pengikut dan menyediakan kandungan bersesuaian dengan mereka.

Setelah penetapan niche dan pengikut sasaran, media sosial paling bersesuaian dengan atribut berkenaan ditentukan pula. Sekiranya platform media sosial ingin digunakan dalam jumlah berbilang-bilang, kandungan dipastikan bersesuaian dengan setiap platform tersebut. Pendekatan penyampaian kandungan untuk satu media sosial tidak semestinya sama dengan media sosial lain.

Seterusnya, penyediaan kandungan kreatif mampu menarik perhatian dan minat pengguna untuk menjadi pengikut setia di media sosial. Perkara ini aspek terpenting kejayaan pempengaruh.

Kreativiti dalam memilih dan menetapkan kandungan, strategi penceritaan serta naratif dan olahan kandungan dalam bentuk media menarik antara faktor terpenting kejayaan. Amat penting kandungan diterbitkan itu unik, ilmiah, tulen serta mempunyai kebolehpercayaan tinggi bagi membina keyakinan pengikut.

Bagi mengembangkan pengaruh terdapat beberapa strategi boleh digunakan seseorang pempengaruh antaranya menetapkan tanda pagar tepat untuk mencapai pengguna sasaran betul dan mengenal pasti yang paling relevan dan trend dalam niche dipilih. Ia kemudian digunakan dalam setiap penerbitan kandungan untuk capaian pengguna lebih luas dan bersasar.

Bagi menjadi pempengaruh dengan komuniti pengikut setia, adalah penting hubungan langsung dikekal dengan membabitkan mereka dalam aktiviti media sosial. Antara kaedah berkesan meningkatkan pembabitan pengikut setia adalah dengan menganjurkan persidangan video menyediakan ruang bagi pengikut untuk berkongsi pandangan dan idea.

Setelah menjadi pempengaruh dikenali dan diyakini, langkah berikutnya adalah menerokai aspek pemasaran. Pempengaruh boleh berusaha mencari jenama dipasarkan secara kendiri atau jenama akan menghubunginya untuk tujuan pengiklanan dan pemasaran. Kadar bayaran kebiasaannya berdasarkan jumlah kumpulan sasaran boleh dicapai pempengaruh dalam tempoh ditetapkan.

Adalah penting pempengaruh berterusan menjaga reputasi dan etika sekiranya ingin menceburi industri pemasaran oleh pempengaruh. Matlamat asal pempengaruh perlu dikekalkan dengan tidak terlalu menzahirkan aspek perniagaan terhadap tujuan kewujudan media sosial mereka. Ini adalah penting bagi memastikan kesetiaan dan kepercayaan pengikut tidak terjejas.

Setiap komponen pengiklanan dan pemasaran perlu dizahir dan juga dipastika setiap produk serta perkhidmatan dipasarka adalah benar-benar baik dan berkualiti.

Profesor Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif (FSKIK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

Berita Harian X