Jumaat, 11 Februari 2022 | 11:15am

Pendekatan ekonomi biru strategik, lestari majukan Selat Melaka

ISTILAH ekonomi biru diguna bagi mengaitkan lautan dengan matlamat atau hala tuju tadbir urus serantau serta antarabangsa. Namun sehingga kini, pemahaman dan kesedaran masyarakat mengenai konsep itu masih kurang.

Tiada definisi khusus bagi ekonomi biru, sebaliknya pelbagai istilah diguna pakai mengikut kesesuaian dan situasi tertentu. Secara dasarnya, ia merujuk kemampanan ekonomi lautan yang wujud apabila aktiviti ekonomi seimbang dengan kapasiti jangka panjang ekosistem lautan.

Ia turut menjadi keutamaan dari segi pelaksanaan matlamat pembangunan lestari (SDG) dengan 'matlamat ke-14, Hidupan di Lautan' menetapkan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dengan mengekalkan kesihatan lautan.

Beberapa kajian dan perkongsian membabitkan penilaian ekonomi biru negara dilaksanakan Institut Maritim Malaysia (MIMA). Kajian itu memberikan penekanan khusus terhadap perakaunan industri dan sumber berkaitan alam sekitar.

Turut dikaji mengenai nilai dan potensi pelaburan dalam sektor lautan berkaitan. Kajian garis dasar MIMA pada 2017 lagi menganggarkan sumbangan sektor maritim sebanyak 23 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang dijangka meningkat pada masa kini.

Kepentingan ekonomi berkaitan maritim juga dimaktubkan dalam beberapa aspek bagi mencapai Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Realitinya, sumbangan perolehan ekonomi daripada sektor lautan atau maritim sudah lama dipandang enteng. Namun, memandangkan berlaku pertumbuhan populasi, perubahan corak penggunaan sumber maritim, permintaan sumber makanan semakin tinggi dan penggunaan tenaga serta mineral baharu akhirnya membawa kepada pembangunan ruang lautan berskala besar.

Namun, kemerosotan kualiti alam sekitar dan sumber maritim disebabkan aktiviti manusia turut mencetuskan kebimbangan.

Justeru, pendekatan mampan dan strategik dalam pembangunan sumber lautan diyakini mampu menjadi faktor dan pemacu ekonomi biru yang penting. Ia berupaya menggerakkan dasar negara dan perubahan bagi menampung industri berkaitan lautan yang kian berkembang.

Perlu ditekankan pengurusan tadbir urus ruang dan industri lautan melalui rangka kerja kawal selia baik serta sokongan dan koordinasi institusi berkaitan bagi memacu pertumbuhan negara kini amat diperlukan berbanding sebelum ini.

Contohnya, sektor perikanan antara sumber hidup penting terutama dalam aspek keselamatan makanan dan sumber pendapatan. Dalam sektor ini, penggunaan dan perlindungan mampan jangka panjang demi kepentingan rakyat dan negara tidak boleh diremehkan sama sekali.

Di sinilah terletak betapa pentingnya sumber hidupan marin bagi mencapai pertumbuhan ekonomi, pembangunan sumber manusia, pembinaan kapasiti, peluang pekerjaan dan keseimbangan ekologi kukuh selaras objektif pembangunan negara.

Bagaimanapun, berlaku banyak cabaran dalam memelihara dan melestarikan faedah ekonomi, sosial serta alam sekitar lautan terutama aktiviti penangkapan ikan berlebihan dan kaedah penangkapan ikan merosakkan alam sekitar.

Aktiviti ini antaranya mengakibatkan penghapusan biodiversiti termasuk kepupusan spesies ikan, pemanasan dan pengasidan lautan, pemusnahan terumbu karang, pencemaran marin serta pengenalan atau kemasukan spesies invasif.

Hari ke hari, permintaan terhadap ikan juga dijangka akan terus meningkat. Secara tidak langsung ia menjadikan tugas mengurus sumber perikanan secara mapan semakin kompleks.

Ancaman eksploitasi berlebihan dan pengurangan pengambilan akibat kemerosotan serta kemusnahan habitat akuatik adalah faktor membimbangkan.

Contohnya hutan bakau sebagai tempat pembiakan, semaian dan makanan penting untuk ikan, udang serta pelbagai haiwan invertebrata didapati banyak dimusnahkan demi pembangunan atau mengalami kerosakan akibat kesan pencemaran.

Pengekstrakan sumber semula jadi berskala besar dan eksploitasi perikanan secara intensif boleh mengakibatkan konflik kepentingan membahayakan semua sumber terbabit.

Berdasarkan semua contoh ini, ada ruang penambahbaikan boleh dilaksanakan dengan cekap demi mempertahan keselamatan makanan dan mata pencarian daripada akuakultur.

Akuakultur di bawah ekonomi biru sebahagian besarnya perlu menetapkan penggabungan nilai modal asli dalam pembangunannya, menghormati parameter ekologi sepanjang kitaran pengeluaran, mewujudkan pekerjaan dan menawarkan komoditi bernilai tinggi bagi eksport.

Strategi pengurusan dan pemuliharaan bagi mencapai hasil ekonomi, alam sekitar serta sosial maksimum memerlukan pembabitan pelbagai pihak untuk menilai sumber diperlukan.

Ia termasuk dari segi fizikal dan aset manusia, pelaburan dalam penyelidikan, sains dan teknologi, kerjasama, semakan undang-undang serta penggubalan dasar. Bagi Malaysia, beberapa langkah adalah penting untuk diguna pakai.

Pertama, membangunkan profil ekonomi biru melalui pembangunan data ekonomi lautan dan menjalankan kajian rintis maritim untuk membantu mentakrif serta memperhalusi konsep ekonomi biru nasional. Ia akan membantu dalam membuat penilaian bersesuaian terhadap pertumbuhan ekonomi dan kelestarian alam sekitar.

Kedua, mengenal pasti pihak berkepentingan dan menggalakkan pembabitan mereka melalui perundingan untuk latihan pemetaan bagi merasionalkan usaha tadbir urus lebih baik, mengenal pasti kepentingan perlu dilindungi dan meneroka peluang selanjutnya.

Usaha kerjasama berterusan jitu amat perlu disegerakan bagi menggalakkan pemahaman mengenai isu dan cabarannya. Selain itu, perlu sokongan bagi menggalakkan kemajuan untuk ekonomi biru mampan melalui inisiatif tadbir urus lautan berkesan di peringkat nasional serta tempatan.

Justeru, MIMA menerapkan pelbagai unsur kajian polisi dan pengurusan maritim dalam pelbagai aspek termasuk ekonomi, alam sekitar, perundangan dan keselamatan maritim.

Pusat Kajian Selat Melaka (SOM) MIMA pula mengintegrasikan unsur pengurusan maritim daripada semua aspek di atas. Selat Melaka antara laluan air antarabangsa paling penting sejak abad ketujuh menghubungkan Lautan Hindi ke Lautan Pasifik.

Ia turut menghubungkan ekonomi utama Asia iaitu India, China, Jepun, Korea Selatan dan ASEAN dengan seluruh dunia. Pertumbuhan luar biasa dalam perdagangan antarabangsa menghasilkan peningkatan setara dengan jumlah trafik komersial melalui laluan laut utama ini.

Namun, Selat Melaka bukan hanya laluan perkapalan. Ia aset dan habitat penting semula jadi seperti perikanan, hutan bakau dan terumbu karang.

Ia juga menjadi pusat sumber marikultur dan rekreasi berkembang maju, menjana pelbagai sistem sokongan hidupan marin serta sumber mata pencarian ekonomi kritikal bagi penduduk di pesisir pantainya.

Semua aset ini berada di bawah tekanan luar biasa apabila Selat Melaka menjadi semakin sibuk saban tahun. Pencemaran minyak dan kimia, air balast dan pembuangan sisa pepejal, kemalangan serta insiden kapal adalah ancaman utama kepada keseimbangan antara ekonomi dengan kepentingan alam sekitar.

Risiko jika tidak diurus dengan betul akan menjejaskan kehidupan masyarakat di sekitar Selat Melaka dan mengancam kelestarian ekonomi jangka panjang negara.

Pusat SOM MIMA giat menjalankan penyelidikan berbekalkan sumber berwibawa berkenaan segala perkara berkaitan Selat Melaka membabitkan laluan air berkaitan, termasuk dalam segala aspek ekonomi biru.

Penulis adalah Ketua Pusat Kajian Selat Melaka, Institut Maritim Malaysia (MIMA)

Berita Harian X