Jumaat, 4 Februari 2022 | 11:30am
Aktiviti sosial memerlukan sokongan dan penyertaan semua lapisan masyarakat dalam usaha mencapai matlamat Keluarga Malaysia. - Foto hiasan
Aktiviti sosial memerlukan sokongan dan penyertaan semua lapisan masyarakat dalam usaha mencapai matlamat Keluarga Malaysia. - Foto hiasan

Pembentukan akhlak, penyertaan sosial jayakan Keluarga Malaysia

KONSEP Keluarga Malaysia menjadi aspirasi utama dalam meneruskan perpaduan dan kebersamaan serta semangat cintakan negara.

Ia menekankan pendekatan untuk berkongsi semangat kebersamaan, mengambil berat satu sama lain sebagai anggota keluarga, di samping berikhtiar bersungguh-sungguh menjaga keutuhan negara yang dipegang dengan nilai kekeluargaan supaya masyarakat saling melengkapi.

Sungguhpun Malaysia masih dilanda wabak COVID-19, ujian ini tidak seharusnya menghentikan kelangsungan masyarakat untuk terus menyemai rasa cinta kepada negara. Malah, konsep Keluarga Malaysia menjadi hala tuju strategik masyarakat berbilang kaum, agama dan bangsa untuk berganding bahu mendepani rintangan.

Kita perlu menyingkap bahawa Keluarga Malaysia bukan sekadar konsep, sebaliknya membawa tujuan serta keinginan negara untuk membangunkan rakyat Malaysia sebagai satu entiti yang berganding bahu dan saling melengkapi.

Ini termasuk saranan mengamalkan nilai yang menjadi teras pembentukan Keluarga Malaysia seperti prihatin, bersatu padu, bertoleransi, hormat menghormati, berkasih sayang dan bertanggungjawab.

Semua ini teras penting nilai dan ciri Keluarga Malaysia. Bahkan, nilai disebutkan tadi adalah nilai universal yang amat dititikberatkan setiap agama.

Menyingkap perspektif Islam, ketika Nabi Muhammad SAW berhijrah dari kota Makkah ke Madinah, antara perkara pertama dibuat Baginda adalah menyatupadukan masyarakat Islam khususnya dalam kalangan Muhajirin dan Ansar.

Baginda juga memeterai perjanjian dengan masyarakat Yahudi dan kaum lain melalui Piagam Madinah. Ia satu tuntutan untuk hidup bersatu padu, prihatin satu sama lain dan mengelak perpecahan dalam kalangan masyarakat tanpa mengira agama, bangsa dan warna kulit.

Ibrah peristiwa pemeteraian Piagam Madinah amat sesuai dicontohi dalam mengekalkan keharmonian hidup masyarakat Malaysia yang bersifat majmuk.

Untuk menjadi rakyat Malaysia yang prihatin, kesedaran dan ilmu pengetahuan adalah penting. Masyarakat perlu cakna berkenaan sejarah, kehidupan, persekitaran dan hal ehwal semasa.

Contohnya, apa dimaksudkan dengan prihatin dan bagaimana seseorang dapat menjadi prihatin. Semua memerlukan ilmu pengetahuan.

Malah, pendidikan dan ilmu pengetahuan diperoleh daripada sumber sahih juga dapat membimbing diri seseorang mengetahui apakah kaedah terbaik merealisasikan dan memanfaatkan nilai keprihatinan dalam konteks diri sendiri, keluarga dan masyarakat.

Islam memandang tinggi kepentingan ilmu pengetahuan. Dalam al-Quran, terminologi 'ilmu' dan perkataan sinonim dengannya disebut 105 kali. Malah wahyu pertama diturunkan Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW turut menekankan kepentingan menuntut ilmu pengetahuan.

Ilmu pengetahuan bukan sekadar paksi penting pendidikan, malah mempunyai kaitan rapat pembentukan jiwa dan kerohanian seseorang. Oleh itu, ilmu pengetahuan perlu menjadi asas yang membolehkan seseorang menilai dan memaknai sesuatu perkara.

Nilai keprihatinan ditunjukkan sesama masyarakat menunjukkan adanya pembentukan akhlak dan pengisian kerohanian. Akhlak bukan sahaja merujuk budi pekerti, kelakuan dan tabiat, bahkan ia merangkumi hubungan individu dengan pencipta-Nya serta sesama makhluk lain.

Untuk melahirkan masyarakat prihatin, bertanggungjawab dan bersatu-padu, ia memerlukan disiplin dan pegangan pendirian berterusan. Malah, pembentukan akhlak yang baik secara dasarnya dibentuk melalui jiwa dan rohani yang baik.

Dalam konteks hidup bermasyarakat, Islam amat menyarankan kehidupan yang dapat dijalani secara bersama dengan mengamalkan akhlak yang baik. Islam juga mementingkan keseimbangan dunia dan akhirat, serta menolak gaya hidup yang mengasingkan diri.

Justeru, matlamat mencapai Keluarga Malaysia juga menjadi tuntutan diraikan Islam dan setiap agama. Di sini, nilai seperti keprihatinan juga menunjukkan usaha untuk membangunkan akhlak masyarakat dan sebagai wadah untuk melahirkan masyarakat yang mempunyai keperibadian baik.

Penyertaan masyarakat dalam merealisasikan matlamat negara untuk membangunkan Keluarga Malaysia adalah aktiviti sosial yang memerlukan semangat kebersamaan dan kerjasama semua lapisan masyarakat.

Islam melihat penyertaan sosial sebagai kaedah meningkatkan kualiti kehidupan yang baik (hayat thoiyibah) serta mengukuhkan peranan individu dalam sesebuah masyarakat.

Manusia diciptakan Allah SWT dan disempurnakan dengan akal fikiran sebagai sebaik-baik penciptaan. Kurniaan akal fikiran membolehkan manusia memaknai sesuatu perkara berlaku dalam kehidupan mereka.

Ia juga membolehkan manusia mengatur, memakmurkan dan melestarikan bumi sebagai tempat tinggal yang kondusif.

Pembentukan Keluarga Malaysia boleh dilihat sebagai seruan mengajak kepada kebaikan dan aktiviti yang sangat dituntut Islam.

Contohnya, sesebuah komuniti yang berkongsi ilmu pengetahuan mengenai kaedah menjadi masyarakat yang prihatin dan kemudian melakukan aktiviti seperti mengajak dan mendidik masyarakat untuk mengambil berat terhadap orang lain adalah aktivisme sosial yang mulia.

Penyertaan masyarakat juga mempunyai keupayaan untuk membentuk kebersamaan dan memupuk perpaduan supaya sesuatu aktiviti yang bermanfaat dapat digerakkan bersama komuniti yang lebih besar.

Oleh itu, aktivisme menggerakkan Keluarga Malaysia juga usaha bersama untuk membina sifat dan karakter insan yang berjaya.

Seperti disebut dalam al-Quran yang bermaksud: "Dan hendaklah ada di antara kamu yang menyeru kepada kebajikan, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya." (Surah Ali-Imran, ayat 104).

Justeru, bagi membentuk Keluarga Malaysia, ia memerlukan usaha berterusan semua pihak untuk membantu memupuk, mengukuh dan memelihara perpaduan serta kebersamaan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Kartini adalah Ketua Program Komunikasi Media Baharu, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), manakala Kazzman adalah Ketua Jabatan Ilmu Wahyu, Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Berita Harian X