X
Ahad, 30 Januari 2022 | 10:30am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Undi18 tuntut kesesuaian ekosistem politik, aspirasi generasi muda

PENURUNAN had umur mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun diluluskan di Dewan Rakyat apabila 211 ahli Parlimen memberi sokongan majoriti terhadap pembentangan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019.

Bukan hanya bersetuju dengan RUU ini, malah ramai dalam kalangan ahli Parlimen meminta cadangan daftar pengundi automatik turut disegerakan.

Sebelum Perlembagaan Persekutuan dipinda, hanya sembilan negara di dunia masih menetapkan usia 21 tahun sebagai had umur layak mengundi iaitu Malaysia, Singapura, Oman, Samoa, Tokelau, Tonga, Kuwait, Jersey dan Cameroon, sementara Emiriah Arab Bersatu (UAE) satu-satunya negara menetapkan had umur mengundi paling tua di dunia dengan hanya rakyat berusia 25 tahun ke atas sahaja layak mengundi.

Namun, ada juga beberapa negara menurunkan had umur layak mengundi seawal 16 tahun seperti Nicaragua, Scotland, Isle of Man, Guernsey, Ethiopia, Ecuador, Cuba, Brazil dan Austria berdasarkan laporan dikeluarkan Worldatlas.com.

Namun, ia menerima pelbagai kritikan negatif disebabkan tiga isu berbangkit iaitu majoriti belia dalam usia 16 tahun belum menceburi alam pekerjaan, masih mendapat pelepasan cukai dan tiada pemilikan rumah. Maka diandaikan belia dalam lingkungan umur ini tidak dapat membuat undian rasional. Mereka kurang pengetahuan dan pengalaman berkaitan pelbagai perkara termasuk bidang politik.

Disebabkan faktor ini, majoriti negara seluruh dunia menetapkan had umur layak mengundi pada usia 18 tahun dan Malaysia tidak ketinggalan.

Umur menurut definisi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) adalah jangka masa hidup atau hayat seseorang. Umur juga satu perkara subjektif yang tidak menggambarkan kematangan seseorang individu secara menyeluruh dan komprehensif. Sekiranya kita hendak mengetahui tahap kematangan seseorang, pastinya satu usaha dan pemantauan secara menyeluruh perlu dilakukan.

Di Malaysia, belia berusia 18 tahun rata-ratanya baru menamatkan pembelajaran formal peringkat menengah, kebanyakannya masih di bawah tanggungan keluarga atau ibu bapa. Majoriti belia berusia 18 tahun masih terikat komitmen pembangunan diri dan akademik masing-masing.

Menurut laporan dikeluarkan Kementerian Sumber Manusia, jumlah penduduk bekerja bagi kumpulan usia 15 hingga 19 tahun adalah 483,500 daripada 14,956,700 jumlah penduduk bekerja di Malaysia pada 2020.

Jumlah ini mewakili 3.23 peratus penduduk bekerja di Malaysia. Jelas sekali, hanya kurang lima peratus golongan belia sudah memulakan kerjaya atau hidup sendiri tanpa bantuan dan sokongan ahli keluarga.

Persoalannya, adakah belia di negara ini sudah bersedia dan cukup matang untuk membuat keputusan pada usia 18 tahun lebih-lebih lagi untuk memilih pucuk pimpinan negara, sedangkan fokus golongan ini rata-ratanya membuat keputusan untuk memilih institusi pengajian seterusnya selepas mendapat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Mampukah mereka membuat pilihan berdasarkan penilaian sendiri? Atau mereka akan memilih berdasarkan pengaruh ibu bapa, waris atau mungkin idola mereka? Sejauh manakah mereka terdedah ilmu berkaitan politik negara? Atau mereka akan memilih berdasarkan komen tular di media sosial mengikut trend generasi muda masa kini?

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika Program Dialog Malaysia Prihatin pada 6 November 2021, mengingatkan supaya tidak meremehkan tahap kebijaksanaan generasi muda dalam membuat pilihan.

Beliau menegaskan, parti politik tidak boleh memandang rendah aspirasi dan tahap penilaian generasi muda dalam menentukan hala tuju negara melalui pemilihan wakil rakyat menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Kenyataan Perdana Menteri Kelapan ini ada benarnya. Anak muda kini termasuk masih di bangku sekolah mempunyai akses terhadap maklumat diperoleh menerusi internet dan teknologi komunikasi terkini.

Persoalannya, adakah mereka cukup matang menilai lambakan maklumat secara rasional? Justeru, untuk memastikan Undi18 dapat dilaksanakan dengan jayanya, sebaik-baiknya dalam hal ini, semua parti dan pemimpin politik dalam negara termasuk kerajaan, cuba memahami dan berusaha menyesuaikan ekosistem politik dengan aspirasi anak muda hari ini, tanpa mengabaikan asas demokrasi dan hak pengundi lain.

Seiring kelulusan RUU penurunan had umur layak mengundi yang baharu daripada 21 tahun kepada 18 tahun, sistem pendaftaran pengundi automatik bagi belia berusia 18 tahun ke atas diwartakan pada Disember 2021.

Dengan pelaksanaan sistem pendaftaran pengundi automatik, isu pengemaskinian status daftar pemilih yang sebelum ini memerlukan tempoh masa empat hingga enam bulan untuk dimuktamadkan, sewajarnya tidak lagi menjadi persoalan.

Persoalan yang tinggal hanyalah sejauh mana anak muda lepasan sekolah, yang berusia 18 tahun ini sudah bersedia untuk menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi atau pemilih berdaftar dalam PRU?

Berdasarkan rekod Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semasa PRU-14, seramai 3.6 juta belia berusia 21 tahun ke atas tidak mendaftar sebagai pemilih. Jumlah ini bersamaan 20 peratus keseluruhan pengundi berdaftar masa itu.

Pada September 2020, sidang Dewan Negara dimaklumkan jumlah belia berumur 21 tahun ke atas yang masih belum mendaftar sebagai pemilih meningkat kepada 4.2 juta orang atau 22 peratus.

Dengan pelaksanaan Undi18, gerakan secara giat dan serius perlu dilakukan pihak bertanggungjawab, khususnya SPR untuk memberi pencerahan dan pendidikan awal kepada generasi muda berhubung ilmu berkaitan politik dan demokrasi, serta hak mereka sebagai pengundi.

Pendidikan kenegaraan dan sistem demokrasi penting sebagai asas kefahaman supaya kestabilan politik negara terjamin dengan penyertaan belia dalam menentukan hala tuju Malaysia ke arah negara maju, makmur dan inklusif menjelang 2030.

Kestabilan politik dalam negara akan lebih terjamin dengan memilih pucuk pimpinan negara yang bertanggungjawab dan berintegriti.

Terkini, SPR mengumumkan pada Oktober 2021 seramai 5.8 juta belia berumur 18 tahun ke atas disenaraikan sebagai pengundi baharu, peningkatan 1.6 juta atau 28 peratus berikutan pelaksanaan Undi18 selepas pendaftaran automatik dilaksanakan.

Dengan penyertaan generasi muda melalui Undi18 dan mengambil aspirasi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) iaitu leaving no one behind (tiada sesiapa pun tertinggal di belakang), pendapat generasi muda jelas tidak diketepikan dalam menentukan masa depan negara.

Menerusi langkah ini, Malaysia pastinya berada di landasan betul dalam melahirkan generasi muda yang cakna dengan keadaan semasa, khususnya dalam memastikan kestabilan politik negara.

Penganalisis Penyelidikan (Sosial), Institut Masa Depan Malaysia

Berita Harian X