Rabu, 26 Januari 2022 | 10:30am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Saingan PRN Johor lebih terbuka, cetus pelbagai kemungkinan

TIRAI penganjuran Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor boleh disifatkan 'terbuka' apabila watikah pembubaran Dewan Negeri Johor (DUN) ditandatangani Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar pada Sabtu lalu.

Ringkasnya Johor adalah negeri keempat melalui PRN pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) selepas Sabah, Melaka dan Sarawak, yang mana di tiga negeri berkenaan sebelum ini dicetuskan dengan alasan dan fakta tersendiri.

Di Sabah dan Melaka contohnya, isu lompat parti membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), manakala di Sarawak PRN dianjurkan selepas tempoh penggal DUN berakhir dan penamatan Proklamasi Darurat oleh Yang di-Pertuan Agong pada 3 November 2021.

Menyingkap sejarah di Johor, Pakatan Harapan (PH) melalui PRU-14 buat kali pertama sejak merdeka berjaya memperoleh majoriti untuk membentuk kerajaan negeri, sekali gus menewaskan UMNO-BN di kubu kuatnya sendiri.

Namun, mandat diberikan pengundi Johor kepada PH dipandang remeh hingga berlakunya pertukaran Menteri Besar sebanyak dua kali dalam satu penggal pilihan raya.

Malah, tindakan BERSATU yang menyusun semula jajaran kerjasama politik daripada PH kepada Perikatan Nasional (PN) tidak memberi impak kepada kestabilan kerajaan negeri, sebaliknya semakin merancakkan pergolakan gabungan sehingga mendorong pembubaran DUN Johor pada Sabtu lalu.

Keadaan ini bukan hanya menggugat kestabilan kerajaan, bahkan turut menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat yang masih dibelenggu kesan pasca COVID-19 dalam konteks ekonomi dan keselamatan kesihatan.

Namun, tindakan pembubaran DUN Johor bagi membuka laluan kepada PRN Johor suatu amalan yang tidak bertentangan demokrasi, tetapi persoalan yang sering melingkari pemikiran rakyat ialah kegagalan pemimpin menguruskan ruang demokrasi dan pergolakan dalaman gabungan politik sehingga mereka diheret semula dalam tempoh serta situasi tidak rasional untuk memulihkan semula kestabilan politik negeri.

Secara umum, PRN Johor yang akan berlangsung kelak mempunyai perbezaan ketara berbanding tiga PRN lain sebelum ini, khususnya dalam konteks di mana kebarangkalian UMNO untuk menang dengan majoriti dua pertiga adalah rendah, selain kerjasama politik UMNO dengan PAS dan masa depan BERSATU di negeri asal Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mana-mana parti politik yang menyertai PRN Johor tidak boleh terlalu awal dengan yakin mengisytiharkan bahawa mereka mampu menang mudah dan besar. Kali pertama dalam sejarah pilihan raya negara dan negeri, Johor satu-satunya negeri yang berhadapan 749,953 pengundi automatik berusia 18 tahun ke atas dalam PRN kali ini.

Bilangan pengundi automatik ini membawa ancaman dan cabaran utama kepada parti konservatif Melayu seperti UMNO dan PAS yang kedua-dua diakui masih belum terbuka menerima pembabitan anak muda dan mengarusperdanakan aspirasi belia dalam perjuangan dan organisasi parti masing-masing.

Sekiranya persepsi pengundi automatik terdiri anak muda ini tidak ditangani dengan baik, sebuah persekitaran politik baharu berpotensi muncul bagi menggantikan praktik politik lama yang masih berpegang kukuh kepada kronisme, penaungan politik dan rasuah yang ditolak sepenuhnya kelompok pengundi berkenaan.

Pelbagai kemungkinan boleh tercetus dalam PRN Johor. Misalnya tidak ada sebuah parti mungkin memiliki majoriti bagi membolehkan pembentukan kerajaan, selain wakil rakyat dipilih dalam PRN berkenaan mungkin perlu meninggalkan parti dan membentuk gabungan kerajaan negeri baharu merentasi sempadan parti politik yang mereka wakili.

Situasi ini bertepatan takrifan politik itu sendiri, iaitu 'seni serba mungkin' yang memerlukan kelicikan orang politik untuk menyusun strategi dan menyelamatkan kelangsungan politik mereka.

Di samping itu, pemerhati politik dan rakyat juga tidak boleh mengetepikan pengaruh PAS di Johor yang mampu menewaskan calon daripada UMNO-BN secara solo di DUN Bukit Pasir dalam PRU-14 lalu, dengan majoriti besar 1,883 undi.

Malah di negeri lain yang dikategorikan kubu kuat BN dan mesra gabungan itu seperti Sabah, Melaka dan Sarawak, PAS gagal menang di kawasan ditandinginya, namun parti itu mampu menang satu kerusi di negeri kubu terkuat BN, iaitu di Johor.

Sudah pasti gelombang perubahan politik, pergolakan politik tempatan dan kemampuan PAS meningkatkan pengaruhnya di kawasan DUN Bukit Pasir dalam PRU-14 tidak boleh dipandang remeh mana-mana parti politik lain.

Meskipun PAS pernah memenangi dua kerusi DUN di Johor (Sungai Abong dan Maharani) dalam PRU-12, persekitaran politik ketika itu lebih memihak kepada BN berbanding gelombang politik terbesar dalam sejarah negara yang memberikan kemenangan kepada pembangkang dalam PRU-14.

Maka, kemenangan PAS di Bukit Pasir dalam PRU-14 lalu lebih gentleman ketika gelombang politik terbesar membadai Johor dan parti itu bertanding secara solo.

PRN Johor juga dilihat 'ibu' kepada segala PRN kerana UMNO ditubuhkan di negeri itu dan ia juga negeri asal Muhyiddin. Sudah pasti UMNO tidak mahu dikalahkan sekali lagi seperti ketika PRU-14 di kubunya sendiri dan berusaha mencapai kemenangan besar bagi memperlihatkan momentum dan kekuatan politiknya yang sudah pulih bagi mendesak PRU-15 diadakan segera.

Malah, kemenangan besar UMNO di Johor senjata paling utama kepada kumpulan yang mahukan PRU-15 diadakan segera, sekali gus menyekat kemaraan segelintir pemimpin UMNO yang bertegas supaya diadakan pemilihan parti sebelum PRU-15.

Jelas dalam UMNO mempunyai dua kumpulan pemimpin yang sedang berusaha untuk menjayakan strategi politik mereka sama ada menganjurkan PRU-15 terlebih dahulu, ataupun pemilihan parti bagi memastikan kelangsungan politik mereka dalam parti serta kerajaan.

Yang pasti, PRN Johor medan getir kepada kedua-dua kumpulan terbabit untuk memperlihatkan strategi dan agenda politik mereka sebagai relevan dengan persekitaran politik semasa, bukan hanya pada peringkat negeri, tetapi juga membabitkan penentuan pilihan raya pada peringkat Persekutuan.

Namun, pengundi Johor mempunyai kebijaksanaan dalam menentukan masa depan negeri dan negara menerusi penelitian terhadap tindak tanduk pemimpin, sama ada memperjuangkan kepentingan politik peribadi ataupun rakyat.

Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik, Universiti Malaya (UM)

Berita Harian X