Selasa, 25 Januari 2022 | 10:30am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Undi 18 penentu keputusan PRN Johor, cerminan PRU-15

SABTU lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar memberi perkenan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, sekali gus menyebabkan Pilihan Raya Negeri (PRN) harus diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat dalam tempoh terdekat bagi menentukan tarikh penamaan calon dan pengundiannya.

Sebenarnya terbubarnya DUN Johor bukanlah kejutan kerana spekulasi PRN Johor ini sudah bermula sebaik sahaja berakhirnya PRN Melaka yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) menang besar dengan dua pertiga daripada kerusi DUN negeri itu. Disember 2021 lalu juga menyaksikan rakan sekutu BN dan Perikatan Nasional (PN) di Sarawak, iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS) menang besar juga dalam PRN.

Ini menjadikan pilihan raya ini sebagai PRN keempat selepas Sabah, Melaka dan Sarawak yang diadakan di luar Pilihan Raya Umum (PRU) yang diadakan serentak dengan kerusi Parlimen. Persoalannya, mengapakah PRN Johor harus diadakan lebih awal? Kenapa tidak diadakan serentak dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di seluruh negara selewat-lewatnya pada 2023?

Pengerusi Perhubungan UMNO Johor merangkap Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad menjelaskan kerajaan yang wujud di Johor adalah tidak stabil. Ini misalnya insiden rundingan Majlis Tindakan Daerah (MTD) pada Sidang DUN Johor selepas Belanjawan Johor 2022 dibentangkan pada November 2021 lalu, membawa kepada keputusan seri 27 sama antara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan dan pembangkang apabila undian di DUN dilakukan.

Speaker DUN, Suhaizan Kaiat memutuskan untuk berpihak pada kerajaan menjadikan keputusan undian 28-27 yang membolehkan keputusan tidak menjadi tergantung. Keadaan sebegini menyukarkan kerajaan membuat dasar baharu kerana boleh digagalkan pembangkang di DUN. Langkah pembubaran DUN adalah sebagai kaedah mewujudkan kerajaan lebih stabil dengan majoriti lebih besar dan mandatnya diserahkan semula kepada rakyat untuk menentukannya.

Selain itu, BN melihat mereka berpeluang baik untuk menang selepas momentum dibina dalam beberapa siri pilihan raya kecil (PRK) dan PRN sebelum ini. Kemenangan BN banyak dibantu dengan kekuatan jentera besar dan kuat, selain kemampuan kewangan dalam memberikan tumpuan kepada sesuatu PRK serta PRN sebelum ini.

Jumlah penyokong tegar besar juga mampu memperkuatkan BN di setiap kawasan ditandingi. Malah, Johor pernah menjadi kubu kuat BN yakni sebagai negeri kelahiran UMNO. Ramai menjangkakan BN mampu memenangi kerusi lebih banyak dalam PRN ini dalam keadaan parti pembangkang tidak bersatu, lantas memecahkan undi dalam pertemuan berkemungkinan lebih daripada dua penjuru seperti di PRN Melaka. Melihat keadaan ini, BN mengambil keputusan untuk membubarkan DUN Johor.

Namun, PRN Johor ini berbeza dengan PRK dan PRN sebelum ini. Buat kali pertama 'Undi 18' dilaksanakan di Johor. Persoalannya, siapakah atau parti manakah menjadi pilihan pengundi muda ini?

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, pernah menjelaskan dengan kemasukan Undi 18, kerajaan terpaksa bergerak pantas termasuk penyelarasan data terkini direkodkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), membabitkan golongan berkenaan.

Wan Junaidi menjelaskan seramai 6.3 juta rakyat termasuk belum mendaftar sebagai pengundi, berpeluang menjadi pemilih pada PRU-15 dengan membabitkan 1.2 juta remaja sudah berusia 18 tahun hingga 21 tahun, selain 4.4 juta lagi individu berumur 21 tahun ke atas yang langsung tidak pernah mendaftar.

Umur mengundi minimum diturunkan kepada 18 daripada 21 selepas Rang (Pemindaan) Perlembagaan 2019 diluluskan Dewan Rakyat pada 16 Julai 2019, diikuti kelulusan Dewan Negara pada 25 Julai 2019.

Dengan pindaan ke atas Perkara 119(1) Perlembagaan Persekutuan itu, sekiranya golongan belia mengundi dalam pilihan raya 2023, dijangkakan 7.8 juta pengundi baharu akan bertambah kepada 14 juta yang kini sudah berdaftar. Dengan kemungkinan 21.8 juta pengundi, peningkatan drastik ini mungkin bakal mengubah keputusan pilihan raya.

Dalam PRN Johor ini akan menyaksikan pertambahan signifikan jumlah pengundi baharu sebanyak 30 peratus, iaitu 749,731 pengundi hasil pelaksanaan Undi 18. Ini menjadikan jumlah keseluruhan pengundi di Johor ialah 2.5 juta berbanding 1.8 juta pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 2018.

Ini jelas memperlihatkan cabaran kepada semua parti bertanding. Parti mana yang berjaya menarik minat pengundi muda, parti itulah yang akan memenangi PRN Johor. Malah daripada 56 kerusi DUN Johor, terdapat 30 kerusi dimenangi dengan jumlah undi majoriti kecil, iaitu kurang 56 peratus undi. Kemasukan pengundi muda ini akan jelas mempengaruhi corak pengundian dan kemenangan sesuatu parti.

Persoalan seterusnya adalah bagaimana parti politik boleh memenangi hati dan minda golongan muda ini yang rata-ratanya pengundi atas pagar dan masih tiada nilai kesetiaan kepada sesuatu parti.

Tiga perkara utama harus dilihat iaitu isu, kaedah kempen dan calon pilihan raya.

Apakah isu diminati golongan muda? Isu seperti peluang pendidikan dan ekonomi seperti peluang pekerjaan harus dirangka dalam manifesto parti kerana ia akan dapat menarik sokongan golongan muda. Selain itu, isu rasuah dan hala tuju negara juga penting kerana golongan ini mahu melihat masa depan lebih terjamin dan negara bebas rasuah.

Bagi menarik minat mereka terhadap parti politik, kaedah kempen melalui saluran media sosial adalah sangat penting khususnya TikTok dan Instagram. Wacana hal ehwal semasa banyak diperdebatkan di ruangan itu.

Akhir sekali ialah calon pilihan raya yang mana golongan muda sering cenderung untuk mengundi calon daripada kelompok rakan sebaya mereka atau calon muda. Parti dilihat cenderung untuk mengemukakan calon baharu dan muda dilihat akan berpeluang mendapat sokongan daripada pengundi muda ini.

Yang pasti agak sukar meramalkan parti mana mendapat sokongan golongan Undi 18 ini. Maka, PRN Johor ini sangat penting bagi dijadikan sebagai indikator dan cerminan kepada PRU-15 nanti. Sebarang keputusan PRN Johor ini akan menyebabkan perubahan kepada konfigurasi politik pada PRU-15 nanti, kesan kemasukan Undi 18 ini yakni kemunculan kuasa politik golongan muda di negara ini.

Profesor Politik dan Hubungan Antarabangsa di Universiti Utara Malaysia (UUM)

Berita Harian X