Ahad, 23 Januari 2022 | 11:30am
Penyelidikan PhD menghasilkan sumbangan kepada pembinaan ilmu baharu untuk kepentingan awam. - Foto hiasan
Penyelidikan PhD menghasilkan sumbangan kepada pembinaan ilmu baharu untuk kepentingan awam. - Foto hiasan

Graduan PhD pemacu inovasi, tingkat daya saing negara

IJAZAH doktor falsafah atau PhD adalah kelayakan akademik tertinggi yang dianugerahkan universiti. PhD banyak dikaitkan dengan keperluan profesion ahli akademik di universiti, khususnya dalam aspek penyelidikan dan penyeliaan pelajar pasca siswazah.

Terdapat ahli profesion lain turut menyambung pengajian pada peringkat PhD untuk pembangunan kendiri termasuk keperluan kenaikan pangkat. Bagi penjawat awam berkelayakan PhD, sudah tentu kapasiti ilmu dimiliki mereka dituntut untuk menambah kualiti dan mutu perkhidmatan dalam organisasi. Pemikiran mereka mesti berbeza dan kritis.

Pada masa sama, masyarakat awam mulai sedar kepentingan memiliki kelayakan PhD. Di Malaysia, konsep dan budaya pembelajaran sepanjang hayat mendorong masyarakat bercita-cita menyambung pengajian sehingga ke peringkat PhD. Oleh kerana itu, ada yang memegang PhD ketika mereka berusia 70 tahun dan menjadi warga emas.

Disebabkan tingginya nilai dan pandangan masyarakat kepada pemegang PhD, ada yang mendapatkan ijazah itu secara palsu dan tidak beretika. Malah, ada yang sanggup membayar sehingga ratusan ribu ringgit kepada individu dari universiti tertentu bagi mendapatkan PhD dengan mudah.

Perkara ini pernah menjadi suatu isu besar dan ia sangat membimbangkan kerana boleh menjejaskan nilai serta ketinggian ilmu itu sendiri.

Malaysia sendiri menyasarkan 60,000 pemegang PhD menjelang 2023. Sasaran ini seiring hasrat Malaysia untuk menjadi sebuah negara maju. Ini kerana jumlah graduan PhD yang mencukupi sebagai insan berpengetahuan dan berkemahiran tinggi, akan dapat menjayakan ekonomi berasaskan inovasi.

Tidak dinafikan, peningkatan lebih ramai insan berpengetahuan tinggi boleh menjana sumber kekayaan berasaskan inovasi, sekali gus memastikan Malaysia terus lestari dan berdaya saing. Mengikut unjuran negara, kita memerlukan sekurang-kurangnya jumlah penyelidik, saintis dan jurutera (RSE) dalam nisbah 100 per 10,000 tenaga kerja pada 2020.

Bagi memastikan sasaran jumlah graduan PhD ini tercapai, beberapa langkah diambil. Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pernah memperkenalkan program MyBrain15 bermula 2011, namun program ini ditangguhkan sejak 2018.

Program MyBrain15 sejajar usaha kementerian ketika itu untuk melahirkan lebih ramai bilangan pemegang PhD sebagai pemacu ke arah negara berasaskan inovasi. Program pembiayaan ini dirangka dengan beberapa matlamat, antaranya melahirkan critical mass (kelompok kritikal) dan graduan berpengetahuan tinggi yang akan menjadi pemacu kepada inovasi dan produktiviti sehingga dapat melonjakkan ekonomi negara kepada tahap lebih tinggi.

Kekuatan kepada program ini ialah ia tidak hanya tertumpu kepada penyertaan staf akademik di institusi pengajian tinggi (IPT) semata-mata, sebaliknya turut sama menarik penyertaan orang awam secara keseluruhan yang ingin menyambung pengajian pada peringkat pasca siswazah khususnya PhD.

Selain berbentuk konvensional, kaedah PhD dipelbagaikan kepada beberapa bentuk seperti PhD industri. Program PhD industri ini diharap dapat meningkatkan kerjasama penyelidikan antara universiti dan industri tempatan, sekali gus menambah nilai terhadap produk tempatan.

Isu jumlah graduan PhD yang timbul baru-baru ini perlu dilihat melangkaui persoalan angka. Justeru, lima perkara dan persoalan penting perlu dilihat dalam konteks isu ini.

Pertama, graduan PhD adalah insan berpengetahuan dan berkemahiran tinggi yang berupaya menjadi pemangkin kepada ekonomi berasaskan inovasi. Mereka perlu dilihat sebagai kumpulan bakat yang boleh mengupayakan lagi potensi inovasi di negara.

Kedua, negara perlu memanfaatkan pemegang PhD dan bukan sekadar berbangga dengan jumlah mereka. Justeru, kita memerlukan satu ekosistem yang kondusif apabila pemegang PhD ini boleh ditawarkan pekerjaan yang bersesuaian dengan kelayakan akademik mereka.

Ketiga, pemegang PhD tidak semestinya perlu menjadi tenaga pengajar di universiti semata-mata, sebaliknya boleh memberi khidmat teknikal dalam profesion lain berdasarkan kepakaran mereka.

Keempat, bagaimana peranan sektor industri kita memanfaatkan pemegang PhD sedia ada? Adakah mereka bersedia menerima pemegang PhD berbanding tenaga kerja yang berpengalaman?

Kelima, adakah ilmu fundamental baharu yang dijana daripada penyelidikan PhD dimanfaatkan dalam membina korpus ilmu watan dan menyelesaikan isu negara?

Penyelidikan PhD biasanya mengambil masa antara tiga ke lima tahun dan ia sudah tentu menghasilkan suatu sumbangan kepada pembinaan ilmu baharu yang akhirnya boleh digunakan untuk kepentingan awam.

Meskipun kita menyasar jumlah graduan PhD yang tinggi, kualiti graduan berkenaan mesti sentiasa dipertingkatkan dari semasa ke semasa. Kita tidak mahu PhD dilihat sekadar sambungan daripada ijazah pertama dan sarjana.

Isu bilangan graduan PhD oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) yang dibangkitkan seorang ahli Parlimen baru-baru ini, membuka banyak persoalan dan perdebatan mengenai kuantiti dan kualiti graduan PhD. Apa pun UPM sudah menjawab bahawa kaedah pengajian PhD melebihi syarat minimum ditetapkan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Secara tuntasnya, untuk menjadi sebuah negara maju, kita memerlukan jumlah pemegang PhD yang mencukupi. Negara mesti memanfaatkan pemegang PhD sedia ada bukan sahaja untuk pasaran pekerjaan, tetapi pasaran inovasi yang boleh melonjakkan daya saing negara secara lestari.

Mereka wajar diangkat sebagai pemangkin kepada ekonomi berasaskan inovasi yang menjadi syarat Malaysia menjadi sebuah negara maju. Bukan menjadi mangsa kepada permainan politik oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Penulis adalah Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Pembangunan Penyelidikan dan Dasar Pendidikan Tinggi Malaysia (PenDaPaT), Universiti Putra Malaysia (UPM)

Berita Harian X