Khamis, 20 Januari 2022 | 11:15am
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Agenda membudayakan integriti lahir generasi bebas korupsi

DALAM mengharungi abad ke-21 lebih kompleks dan mencabar, aspek integriti dilihat menjadi agenda penting harus dibangun, dibudaya dan dijadikan amalan khususnya dalam masyarakat di negara ini.

Hampir 64 tahun Malaysia merdeka, soal integriti kekal tidak lapuk walaupun kita sudah berdepan dengan transformasi sosial yang sepatutnya mampu mematangkan kita.

Integriti memiliki pertalian rapat dengan rasuah. Aktifnya gejala rasuah adalah cerminan lemahnya pengalaman integriti. Menyedari kepentingan integriti, negara berusaha membangun dan membudayakan integriti aktor sosial dalam masyarakat.

Integriti dijadikan agenda nasional sebagai teras kepada kejayaan agenda pembangunan dan kemajuan negara. Bagi menjayakannya, Pelan Integriti Nasional (PIN) (2004-2019) diwujudkan yang kemudian diganti dengan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) (2019-2023) sebagai lambang keagresifan negara membanteras rasuah.

Malah, integriti dan usaha pembanterasan rasuah diintegrasikan dalam masyarakat melalui advokasi dan penginstitusian. Hasilnya, dua institusi penting dibangunkan manifestasi daripada dua pelan berkenaan, iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Institut Integriti Malaysia (IIM).

SPRM berperanan sebagai badan pelaksana berkuasa melakukan pendakwaan berkaitan rasuah, manakala IIM sebagai institut berperanan membangun dan menjayakan agenda pembudayaan integriti dalam masyarakat meliputi agensi kerajaan, sekolah, tadika, agensi korporat serta komuniti setempat.

Namun, soal integriti kekal menjadi tema penting dalam pengurusan governans di negara ini. Dengan kebangkitan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang mengaitkan dengan kepemimpinan tinggi negara menjadi petanda lemahnya pengamalan integriti memicu kepada aktifnya gejala rasuah baik dalam kerajaan mahupun masyarakat.

Tidak dinafikan terdapat pihak mempersoalkan peranan institusi ini dalam mengurus dan mengendalikan kes berkaitan rasuah.

Terkini, isu membabitkan SPRM mula dilontarkan dengan kes yang mengaitkan pimpinan paling atas institusi ini. Keadaan ini sebenarnya memperlihatkan kredibiliti SPRM sebagai institusi utama dalam pembanterasan rasuah semakin dipersoalkan.

Jika tidak diselesaikan, gejala rasuah dan lemah amalan integriti khususnya dalam kalangan penjawat awam menjadikan gejala ini semakin giat berlaku.

Sebagai institusi dilihat suci di mata komuniti, SPRM seharusnya menyelesaikan segera perkara ini dan perlu memastikan wujud usaha mengembalikan kembali keyakinan serta imejnya di mata komuniti dalam menjayakan agenda nasional negara iaitu melahirkan masyarakat berintegriti.

Tidak dinafikan usaha pembudayaan integriti dan pembanterasan rasuah dalam komuniti berdepan cabaran serta halangan.

Terdapat beberapa cabaran membabitkan usaha pembudayaan dan pengamalan integriti antaranya kesan transisi demokrasi membawa kepada perubahan norma politik kepartian dan hala tuju dasar awam di negara ini.

Transisi ini memberi kesan besar kepada pembangunan integriti yang dikatakan berkait rapat dengan dakwaan wujud aktiviti tawaran dan gertakan politik.

Kedua, kesan COVID-19 menyebabkan organisasi awam dan swasta terpaksa dengan pantas beradaptasi bagi meneruskan kelangsungan aktiviti ekonomi serta sosial yang membangunkan cabaran besar, khususnya berkaitan integriti terhadap kebertanggungjawaban majikan dan kebajikan pekerja.

Ketiga, peningkatan skandal rasuah dan penggubalan wang haram berprofil tinggi di negara ini membabitkan aktor antarabangsa menyumbang kepada reputasi integriti negara tercemar dan menyebabkan usaha menangani isu ini lebih kompleks.

Keempat, lemahnya kesedaran kepentingan pembudayaan integriti dalam kalangan komuniti menyebabkan gejala rasuah semakin berleluasa. Sikap tidak endah dengan perkara kecil berkaitan rasuah dan integriti turut menyumbang kepada lemahnya pengamalan dan pembudayaan integriti dalam masyarakat kita.

Justeru, bagi memastikan usaha pembudayaan integriti dan pembanteras rasuah mampu dijayakan, beberapa saranan sesuai untuk dilaksanakan selaras dengan Perkara 16 Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) iaitu memfokuskan aspek 'Peace, Justice, Strong Institution'.

Pertama, keperluan untuk membangunkan dan menyemak kembali NACP 2019-2023 dengan lebih komprehensif bagi memastikan usaha membudayakan integriti dalam masyarakat diteruskan dengan penyelarasan lebih baik.

Aspek pembudayaan integriti harus diketengahkan dan mengembalikan peranan IIM sebagai antara institusi utama dalam menjayakan agenda integriti pada peringkat nasional.

Kedua, memperkenalkan Indeks Persepsi Integriti Malaysia yang dibentangkan kepada Kabinet dan perolehan indeks didedahkan untuk membuka perbincangan awam.

Ini bertujuan memperbaiki kedudukan Malaysia di mata dunia dengan pencapaian Indeks Rasuah (CI) lebih baik.

Ketiga, mengukuhkan agenda integriti rentas politik kepartian. Memandangkan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik dilaksanakan, kesungguhan ahli politik dalam membanteras rasuah dan membudayakan integriti harus diberikan tumpuan.

Kejayaan kedua-dua perkara ini sangat berkait rapat dengan aspek kemahuan politik baik pihak kerajaan mahupun pembangkang.

Keempat, membangunkan pendekatan pembudayaan integriti bersifat top down dan bottom up. Pendekatan ini memberikan tumpuan kepada pembudayaan integriti meliputi aspek pentadbiran, politik, ekonomi, agama dan sosiobudaya merangkumkan semuanya dalam bentuk lebih mesra dengan komuniti.

Melalui pengamalan integriti komprehensif merangkumi aspek konsep, model, dasar, peranan individu dan komuniti, pembangunan berteraskan sifar rasuah memfokuskan pengukuhan etika berpotensi untuk dicapai.

Ini dapat menyumbang kepada pengukuhan ekonomi negara dan melahirkan masyarakat kuat pegangan moral. Namun, bagi menjayakannya, semua pihak harus mengerahkan peranan masing-masing kerana untuk melawan korupsi dan rasuah, pembudayana integriti dalam komuniti adalah penyelesaiannya.

Penulis adalah Pensyarah Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi (FSSPP), UiTM Pahang

Berita Harian X