Selasa, 28 Disember 2021 | 11:15am
Banjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam, Sabtu minggu lalu. - NSTP/Aswadi Alias
Banjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam, Sabtu minggu lalu. - NSTP/Aswadi Alias

Rancang perbandaran, perumahan berpandukan konsep bandar span

PERISTIWA banjir besar melanda di beberapa negeri, termasuk di Lembah Klang menandakan suatu tindakan drastik perlu diambil pihak berwajib demi memastikan kelangsungan kehidupan rakyat dapat dipulihkan.

Penduduk di kawasan dilanda banjir itu, mengalami pelbagai cabaran dan dugaan, termasuk kemusnahan harta benda, kenderaan, ternakan dan tanaman yang diusahakan. Selepas banjir pula, mereka terpaksa membersihkan rumah dan kediaman serta membaiki atau membuang perabot serta peralatan yang rosak.

Melihat keadaan sebegini, pihak berwajib perlu memastikan perancangan dan reka bentuk lebih sejahtera serta bersifat memakmurkan alam sekitar demi memastikan tiada kesan buruk yang mungkin atau bakal berlaku pada masa hadapan.

Umpamanya, dalam konteks perancangan dan reka bentuk sesuatu bandar baharu, taman perumahan serta kediaman, pihak berwajib perlu mengambil kira keadaan ditakrifkan sebagai 'kawasan banjir' (di bawah paras ketinggian air) supaya setiap apa dirancangkan lebih bertindak balas dengan lumrah alam seperti bah yang datang tanpa diduga dan diketahui waktunya.

Terdapat maklumat tersedia berkaitan bentuk muka bumi dan geografi yang jelas menunjukkan sesuatu kawasan di bawah paras air.

Namun, jika berlaku juga perancangan perumahan dan bandar baharu di kawasan ini, ia perlu mengambil kira pengekalan sungai, parit dan tali air sedia ada supaya setiap bangunan dibina tidak menutup saliran sedia ada dan menggantikannya dengan longkang kecil yang belum tentu dapat menampung jumlah air hujan sekiranya turun dengan lebat.

Perancangan dan reka bentuk lebih mesra alam diperlukan dalam meningkatkan tahap kesiapsiagaan jika alam 'berbicara' lagi. Sekurang-kurangnya, ia dapat meningkatkan tahap interaksi manusia dengan alam daripada banyak lagi kehancuran dilakukan manusia kepada alam.

Sudah sampai masanya setiap kawasan perumahan dan bandar baharu yang berisiko mengalami banjir mempunyai pelan serta reka bentuk longkang besar secara menyeluruh agar dapat menampung air hujan, selain bertindak sebagai kolam tadahan supaya air hujan dapat dikawal daripada terus mengalir ke sungai, akhirnya menyebabkan banjir kilat.

Sumber alam seperti sungai, jeram, parit dan tali air asal, perlu dikekalkan sebagai sumber jaya asli yang akan bertindak balas dengan alam secara semula jadi.

Oleh itu, kawasan rizab sungai, jeram, parit dan tali air perlu dikekalkan sampai bila-bila pun. Ini dapat memastikan setiap perancangan dan reka bentuk kediaman, perumahan dan bandar baharu lebih memihak kepada alam, sekali gus mengambil kira pengekalan sumber asal daripada menggantikannya dengan suatu baharu, tetapi belum tentu dapat memakmurkannya.

Tindak balas kepada tingkah laku alam sangat diperlukan dalam merancang dan mereka bentuk suatu kawasan kediaman dan bandar baharu. Kawasan rendah dan tadahan air umpamanya, sangatlah tidak sesuai untuk dibangunkan jika tidak melalui proses yang betul.

Terdapat tumbuhan dan pokok asal perlu dikekalkan dan ditanam semula supaya pengekalan struktur tanah sedia ada akan menjadi kuat disebabkan kesesuaian tumbuhan dan pokok sedia ada.

Tumbuhan dan pokok ini mempunyai fungsi sangat menarik dalam proses menyerap air serta mengawal pergerakan air hujan mahupun air bawah tanah tersedia.

Selain menyumbang kepada konsep bandar span atau sponge city, kewujudan tumbuhan dan pokok asal dapat menguatkan struktur tanah daripada terhakis, sekali gus dapat mengurangkan berlakunya banjir lumpur.

Teori bandar span dicadangkan secara global berdasarkan model eksploitasi air hujan pembangunan berimpak rendah dan teori perancangan bandar sensitif air.

Inti patinya adalah untuk merealisasikan koordinat dan sumber pembangunan kawasan perumahan, bandar baharu dan bandar sedia ada.

Dengan mengawal larian air hujan, pengumpulan semula jadi dan peraturan puncak, bandar span mencadangkan pembangunan berimpak rendah untuk memainkan fungsi peraturan untuk menggalakkan penyusupan semula jadi air hujan.

Ia juga dapat membaiki sistem peredaran air, memulihkan ekologi air dan membersihkan kualiti air secara semula jadi untuk menyelesaikan masalah penyimpanan air.

Dengan penyusupan, penyimpanan, penulenan dan penggunaan semula, keseimbangan ekologi peredaran air antara ekologi dengan manusia dapat dicapai.

Intervensi reka bentuk berliang di seluruh kawasan perumahan dan kawasan bandar diperlukan, termasuk pembinaan bioswales atau saluran tanah berhumus dengan rumput dan vegetasi lain serta sistem pengekalan bio untuk menahan larian dan membenarkan penyusupan air bawah tanah.

Ia juga membabitkan pembinaan jalan berliang dan turapan yang boleh menampung lalu lintas kereta serta pejalan kaki dengan selamat sambil membenarkan air diserap, meresap dan mengecas semula air bawah tanah.

Begitu juga dengan sistem perparitan yang membolehkan air mengalir ke dalam tanah atau mengalirkan air hujan terus ke ruang hijau untuk penyerapan semula jadi.

Kaedah ini adalah sangat penting untuk menyelesaikan masalah banjir bandar dan kawasan perumahan, sekali gus menambah baik persekitaran bandar serta menggalakkan pembandaran lestari.

Selain itu, penarahan lereng dan tebing bukit juga perlu melalui kaedah lebih teratur agar tidak akan berlaku bencana seperti tanah runtuh.

Jika berlaku penarahan lereng, ia perlu dipastikan dengan penanaman semula tumbuhan dan pokok sesuai bagi menjaga serta memulihara tebing dan lereng bukit yang baharu kekal dan stabil untuk jangka panjang dan berterusan.

Semua pembinaan dan intervensi ini akan mengurangkan risiko banjir kerana bandar dan kawasan perumahan dapat menawarkan lebih banyak ruang serapan untuk pengekalan semula jadi serta resapan air.

Ini membawa kepada daya tahan lebih baik, terutama keupayaan lebih besar untuk menangani risiko banjir lebih tinggi akibat perubahan iklim.

Penulis adalah Pensyarah Kanan di Jabatan Senibina Landskap, Kulliyyah Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar (KAED), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Berita Harian X