X
Khamis, 9 Disember 2021 | 11:30am

Percaturan AS-China kuasai geopolitik Afrika 'bermodalkan' vaksin

PENEMUAN varian baharu sangat cepat bermutasi pada 25 November lalu dan peningkatan kes mendadak diumumkan saintis Afrika Selatan mencetuskan kebimbangan kepada dunia terhadap ancaman ini.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menetapkan B.1.1.529, iaitu Omicron sebagai varian membimbangkan (VOC) dan masih menilai kemudaratan yang berkemungkinan merebak dengan pantas, mungkin mencetuskan lonjakan kes di Afrika Selatan, menyaksikan jangkitan harian meningkat tiga kali ganda minggu ini.

Kes pertama varian Omicron dilaporkan di Botswana pada 11 November lalu, manakala Afrika Selatan pada 14 November, diikuti Hong Kong pada 25 November yang mempunyai sejarah melawat Afrika Selatan.

Pada 26 November lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, memaklumkan pihaknya mengenakan sekatan perjalanan dari negara ini ke tujuh negara di Afrika. Tujuh negara itu ialah Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia dan Zimbabwe.

Varian baharu seperti Delta mencetuskan ketidaketentuan kepada negara di dunia. Namun, dalam keadaan terdesak, negara Afrika memerlukan vaksin bagi penduduknya, persaingan menguasai geopolitik sedang berlaku di benua itu.

Amerika Syarikat (AS) dan China bersaing dalam diplomasi vaksin bagi menguasai geopolitik Afrika manakala negara Afrika sedang berusaha mendapat pengagihan vaksin kepada penduduknya.

Bayangkan ketika isu kemanusiaan mendesak dan kepentingan kesihatan sejagat dengan negara miskin sangat mengharapkan bantuan vaksin, negara kuasa besar masih memikirkan penguasaan geopolitik.

Mutasi virus COVID-19 yang melahirkan beberapa varian seperti Delta dan terkini ialah Omicron di Afrika menimbulkan pertanyaan adakah benua ini yang paling sedikit menerima suntikan berbanding Asia dan Amerika Selatan.

Afrika Selatan misalnya bersama-sama India pernah mengajukan isu penangguhan hak paten vaksin pada Persidangan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) sejak akhir Disember 2020 .

Ramai mengetahui kebergantungan benua ini kepada ekonomi negara Utara yang kaya dan juga kepada China akan mendedahkan kebergantungan kepada vaksin juga. Apa dilakukan Afrika Selatan itu sepatutnya mendapat sokongan padu dari negara Afrika untuk berdiri di belakangnya, satu penyatuan geopolitik mencari penyelesaian bagi benua terbabit.

Pandemik yang berlaku dan varian Omniron ini mendedahkan ketidaksamaan infrastruktur, terutama dalam sistem kesihatannya yang mundur

Di arena politik dan ekonomi, semangat Pan-Afrikanisme dalam pembentukan Kawasan Perdagangan Bebas Benua Afrika (AfCFTA). Namun, kebanyakan negara berhadapan hutang dengan institusi kewangan antarabangsa seperti Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan tidak lupa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) masih boleh membantu, tetapi harus berhadapan syarat pembayaran hutang.

IMF biasanya mengenakan banyak syarat hingga korporat milik negara berada di bawah kawalan Barat, terutama pemegangan saham dan penentuan belanjawan kewangan sesebuah negara menjejaskan kedaulatan dan kebebasan.

China juga negara peminjam dana kepada negara di Afrika, tetapi mengundang kritikan oleh syaratnya juga. Contoh, jika pembayaran hutang tidak dapat dilunaskan pada jangka tertentu, organisasi milik kerajaan berkenaan akan menjadi milik Negara Tembok Besar itu.

Seperkara lagi, syarikat dan barangan China akan membanjiri pasaran negara penghutang serta produk akan dijual pada harga murah tentu akan menjejaskan harga barangan produk dihasilkan syarikat tempatan.

Kemunculan varian baharu di Afrika dapat dikaitkan dengan sikap negara Utara seperti AS, Itali dan United Kingdom (UK) yang tidak benar-benar membantu negara mundur di benua Afrika dalam mengurangkan pandemik COVID-19.

Selepas pengenduran kes COVID-19, tiada usaha Barat untuk meneruskan bantuan pemberian vaksin kepada negara kurang menerimanya.

Jika perkara ini tidak dilakukan, benua Afrika tidak akan bebas daripada cengkaman COVID-19 dan ini juga membawa kepada mutasi virus serta akhirnya akan muncul varian baharu seperti Omicron.

Kedua-dua kuasa besar AS dan China tentu mencaturkan strategi menguasai geopolitik Afrika terutama dalam pemberian vaksin COVID-19 kepada negara di Afrika.

Dalam hubungan ini, laporan Xiahuanet menyebut Presiden China, Xi Jinping mengumumkan China akan menyediakan dos COVID-19 tambahan berjumlah 1 bilion ke Afrika dan berjanji akan menyertai bersama dalam program kerja sama China-Afrika.

Ini sebagai usaha membantu Kesatuan Afrika (AU) mencapai matlamat mencapai tahap vaksin sebanyak 60 peratus penduduk Afrika menjelang 2022.

Menjelang 12 November lalu, China menyediakan lebih 1.7 bilion dos vaksin COVID-19 kepada lebih 110 negara dan pertubuhan, termasuk 50 negara Afrika serta Suruhanjaya AU.

Beliau berucap ketika merasmikan Peringkat Kelapan Peringkat Kementerian Forum Kerjasama China-Afrika (FOCAC) melalui video dalam talian.

Persidangan dua hari berlangsung di Dakar, Senegal dijangka menilai pelaksanaan hasil Sidang Kemuncak FOCAC Beijing dan membuka prospek baharu dalam kerjasama China-Afrika.

China sekarang disenaraikan sebagai pembekal utama vaksin COVID-19 ke Afrika dan penganjur kepada liberalisasi hak milik intelektual bagi membolehkan negara Afrika menghasilkan komoditi vaksin serta menyelamatkan penduduk dan ekonominya daripada kesan krisis kesihatan sejagat.

Malah, China dan Afrika secara bersama turut dalam memerangi cabaran besar dikemukakan pandemik COVID-19, sekali gus mengukuhkan hubungan diplomatik dan solidariti antara China dengan Afrika.

China mengorak langkah ke depan dalam penguasaan geopolitik Afrika. Dalam persaingan ini, Presiden AS, Joe Biden juga mengumumkan akan membuat sumbangan tambahan sebanyak 17 juta dos vaksin Johnson & Johnson kepada AU.

Sebelum ini, sejumlah 50 juta dos disumbangkan AS ke AU. Sejak awal Jun, kenyataan Felo Kanan untuk Kesihatan Global di Majlis Hubungan Luar, Yanzhong Huang, mengesahkan persaingan diplomasi vaksin antara AS-China.

Katanya, pihaknya akan melihat China akan berhadapan dengan pesaing menggerunkan seperti dilaporkan CNBC.

Tidak dinafikan hubungan AS-China berada pada tahap 'perang dingin' di bawah pentadbiran Biden (sejak pengumuman pakatan Australia, UK dan AS dikenali sebagai AUKUS yang AS menumpukan pentas persaingan di Laut China Selatan dengan kedua-dua pihak bertembung dalam beberapa perkara, termasuk isu penyebab serta negara tercetus pandemik virus COVID-19.

Negara kuasa besar mengambil kesempatan dalam isu vaksin untuk mencaturkan geopolitik Afrika dalam hegemoni COVID-19.

Penulis adalah Pensyarah Perhubungan Antarabangsa diJabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (UNISEL)

Berita Harian X