Rabu, 15 September 2021 | 10:00am
PENGGUNAAN teknologi CMB bagi pembinaan jalan baharu dan penyenggaraan jalan raya di seluruh negara dapat membantu ekonomi pekebun kecil getah.
PENGGUNAAN teknologi CMB bagi pembinaan jalan baharu dan penyenggaraan jalan raya di seluruh negara dapat membantu ekonomi pekebun kecil getah.

Teknologi CMB stabil harga, bela nasib pekebun kecil getah

INDUSTRI getah mengalami perubahan mendadak apabila banyak syarikat estet komoditi itu menarik diri dan beralih kepada aktiviti ekonomi serta komoditi lain, terutama sawit.

Ini menyebabkan pengeluaran getah negara menurun sehingga hanya sekitar lima peratus getah asli negara di pasaran dunia masa ini. Kini negara kita menjadi pengeluar getah asli ketujuh selepas Thailand, Indonesia, Vietnam, China, Cote D'Ivoire dan India.

Pada masa itu, penoreh getah memperoleh pendapatan sekitar RM1.70 hingga RM2.10 setiap kilogram (kg). Keadaan ini amat mengecewakan, apatah lagi dengan kebergantungan pekebun kecil getah kepada orang tengah bagi meneruskan urusan jualan getah mereka.

Mengikut Pertubuhan Usahawan Getah Bumiputera Malaysia (PUGBM), sehingga kini majoriti pekebun kecil memperoleh antara RM900 hingga RM1,000 sebulan. Sebagai perbandingan, pendapatan garis kemiskinan di Malaysia adalah antara RM980 (2005-2020) dan RM2,280 (sejak 2020).

Sejak 2014 lagi, perbincangan diadakan berhubung ketidakstabilan harga getah antara Malaysia dan Thailand. Ketika itu sudah ada persetujuan bersama jika harga getah terus lemah, komoditi berkenaan berkemungkinan akan digunakan bagi membuat jalan raya, selain tayar kenderaan.

Langkah terbabit tepat bagi mempelbagaikan kegunaan getah sebagai satu daripada cara untuk mengatasi isu harga getah. Antara langkah segera diambil Malaysia bagi menyokong industri ini ialah meningkatkan penanaman semula bagi menggantikan pokok getah berusia lebih 20 tahun yang dianggarkan seluas 50,000 hektar setiap tahun.

Di Malaysia saja terdapat lebih 450,000 pekebun kecil getah. Mengikut perangkaan Lembaga Getah Malaysia (LGM), pada 2020 sejumlah 1 juta hektar diusahakan pekebun kecil di negara ini.

Permintaan pasaran getah ketika itu (2014) ternyata lemah berbanding bekalan sedia ada, selain tekanan daripada China yang memulakan pengeluaran getah sendiri di Hainan dan Yunnan.

Pada masa sama, International Tripartite Rub- ber Council (ITRC) - kerjasama tiga negara pengeluar getah, iaitu Thailand, Indonesia dan Malaysia - bersetuju mengurangkan eksport getah asli sebanyak 240,000 tan dari April hingga Julai 2019, bertujuan meningkatkan harga komoditi itu.

Melalui Belanjawan 2019, kerajaan mengumumkan peruntukan RM100 juta bagi penggunaan teknologi Bitumen Sekerap Terubahsuai (CMB) ter- utama untuk pembinaan jalan raya di kawasan pelabuhan dan perindustrian secara berperingkat.

Projek pembinaan jalan raya ini siap sepenuhnya pada Mei 2020 merangkumi jalan raya sepanjang 205.03 kilometer (km) di 107 lokasi di seluruh negara.

Merujuk data Jabatan Perangkaan Malaysia 2019, keseluruhan jumlah panjang jalan berturap adalah 190,392.21km terdiri jalan persekutuan (19,986.89km) dan jalan negeri (170,406.32km).

Jika lima peratus atau 10,000km daripada keseluruhan jalan berturap ini menggunakan teknologi CMB, dianggarkan 50,000 tan getah akan digunakan. Ini berdasarkan perkiraan setiap satu kilometer berkeluasan 7,000 meter persegi, anggaran getah beku akan digunakan adalah lima tan.

Hasil kajian Jabatan Kerja Raya (JKR) dan LGM menunjukkan campuran getah bekuan dapat meningkatkan kualiti dan prestasi keseluruhan bitumen. Kejayaan penemuan itu dihebahkan kepada negara lain bertujuan membantu meningkatkan permintaan terhadap getah asli dan menstabilkan harga.

Usaha menambah pendapatan pekebun kecil getah diteruskan dan cadangan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) untuk memperluaskan penggunaan CMB bagi pembinaan jalan baharu dan penyenggaraan jalan raya di seluruh negara yang didaftarkan dalam Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS), dipersetujui Kabinet.

Berdasarkan kenyataan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi terdahulu, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali pada 3 Disember tahun lalu, penggunaan CMB akan diperluas ke rangkaian MARRIS dan usaha itu mampu meningkatkan penggunaan getah domestik dan secara tidak langsung menambah baik taraf sosioekonomi 450,000 pekebun kecil di negara ini.

Pekebun kecil getah seharusnya berterima kasih kepada kerajaan yang memperuntukkan RM7.2 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11) bagi aktiviti penyelidikan dan pembangunan berkaitan bitumen CMB ini.

Thailand menjadi negara contoh apabila mereka meningkatkan penggunaan getah tempatan untuk pembinaan jalan raya dengan tujuan sama, iaitu membantu pekebun kecil getah bagi menangani impak kejatuhan harga getah ke atas pendapatan mereka.

Campuran getah dalam bitumen, iaitu CMB dapat meningkatkan kualiti dan prestasi keseluruhan bitumen melalui ciri kelikatan serta keelastikannya. Penggunaan CMB bersama agregat bagi menghasilkan CMA dapat meningkatkan ketahanan dari segi rintangan keretakan permukaan jalan raya, penuaan dan rintangan gelincir yang baik di samping mengurangkan bunyi bising pada turapan jalan berkenaan.

Peningkatan ketahanan jalan raya juga secara langsung dapat mengurangkan kos penyenggaraan kepada negara dalam jangka masa panjang.

Perluasan penggunaan CMB di jalan raya MARRIS seperti disyorkan kementerian dapat mengukuhkan sumber rujukan domestik mengenai kejayaan aplikasi teknologi itu sebelum ia dapat diperluaskan ke peringkat antarabangsa.

Teknologi CMB dijangka digunakan sebagai bahan turapan di sebahagian jalan sepanjang 20km di kawasan seliaan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) di Iskandar Malaysia di Johor.

Turapan ini dipercayai dapat mengurangkan keretakan dan aluran sekiranya kerja penyediaan tapak, bahan serta turapan dilakukan mengikut prosedur yang betul.

Projek pembinaan jalan menggunakan kaedah penurapan campuran getah beku dan bitumen adalah hasil perbincangan antara KPPK dengan IRDA. Selain itu, teknologi CMB ini sudah dilaksanakan pada jalan sepanjang 265km, hasil kolaborasi bersama JKR bagi jalan persekutuan, FELDA, FELCRA, RISDA dan kerajaan tempatan bagi jalan luar bandar, serta 3km di Jalan Parlimen di Kuala Lumpur bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Perluasan penggunaan CMB antara usaha mengurangkan impak kejatuhan harga ke atas pendapatan pekebun kecil getah di negara ini khususnya berikutan wabak COVID-19, melalui peningkatan permintaan terhadap bekalan getah domestik.

Nasib golongan B40, khususnya pekebun kecil getah akan terus dibela kerajaan bagi memastikan komoditi berkenaan terus meningkat dan harganya kekal stabil.

Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi

Berita Harian X