Khamis, 8 April 2021 | 12:01pm
Muka depan akhbar BH hari ini.
Muka depan akhbar BH hari ini.

Usah takut lapor, bongkar rasuah dalam jabatan kerajaan

PESAN motosikal, dapat basikal, bayar harga kereta. Ini antara masih berlaku dalam kontrak kerajaan apabila kegiatan rasuah berleluasa dalam kalangan pegawai kerajaan bersekongkol dengan kartel. Ternyata mereka tidak serik 'pakai' gelang besi dan baju oren.

Isnin lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tujuh individu dipercayai anggota sindiket memonopoli tender kementerian dan agensi kerajaan, termasuk ketuanya berusia 47 tahun, sekali gus dipercayai melumpuhkan kartel projek serta tender kerajaan dengan nilai projek dianggarkan RM3.8 bilion.

Kartel terbabit memonopoli 345 tender, mengawal lebih 150 syarikat daripada beberapa kementerian dan agensi kerajaan untuk memasuki tender atau sebut harga di seluruh negara serta dipercayai beroperasi sejak 2014.

Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki, pihaknya menahan seorang juruukur bahan agensi kerajaan dipercayai membocorkan maklumat spesifikasi projek kerja penyediaan Bill of Quantity (BQ) bagi memudahkan penyediaan dokumen tender.

Manipulasi tender jabatan kerajaan sudah lama berlaku. Ketika pandemik dan darurat, banyak peraturan selalunya dilonggarkan. Paling berbahaya, kontrak diberikan rundingan terus, jatuh pula pada kartel mempunyai hubungan baik dengan orang dalam atau tali barut.

Kegiatan fraud atau penipuan hanya boleh berlaku apabila ada kerjasama antara orang dalam dengan syarikat. Pegawai kerajaan berkuasa meluluskan kontrak tertentu akan dikenal pasti dengan kelemahannya. Sebagai manusia, ada lemah dengan harta, takhta atau wanita.

Kartel akan memenuhi apa sahaja kehendak mereka. Apabila terjerumus, maruah akan tergadai. Maklumat dan speksifikasi akan dibocorkan, malah sanggup memberikan kontrak kepada kartel atau kroni, sekali gus menerima rasuah.

SPRM mengenal pasti 16 bentuk penyelewengan kerap berlaku dalam sistem perolehan membabitkan pegawai diberi amanah urusan perolehan dan perbekalan.

Ini termasuk menerima komisen antara 5 hingga 10 peratus berdasarkan harga projek daripada syarikat berjaya. Kartel boleh memberi rasuah kerana harga kontrak dinaikkan hingga 30 peratus.

Orang dalam membocorkan maklumat, termasuk nilai kontrak supaya kartel atau kontraktor tertentu memenangi dalam tendernya.

Modus operandi ini popular apabila ada pihak menciplak kertas cadangan dikemukakan pihak lain, kemudian memberikannya kepada syarikat tertentu. Ia memberi implikasi buruk pada syarikat lain.

Terdapat pegawai sengaja meminta syarikat memasuki sebut harga lebih tinggi. Ada mencipta sebut harga menggunakan kepala surat atau profil syarikat tertentu yang tidak tahu-menahu mengenainya. Ada juga berpakat dengan syarikat pembekal mendapatkan sebut harga lima syarikat lain sebagai syarat mematuhi peraturan.

Walaupun Malaysia mengamalkan e-perolehan, akhirnya manusia juga akan menerima dan memproses permohonan kontrak. Di sinilah berlaku manipulasi dan sabotaj supaya hanya syarikat kartel atau kroni disenarai pendek, termasuk syarikat dimiliki orang sama. Keberangkalian ditawarkan kontrak sangat besar.

Sepatutnya ketua jabatan bertanggungjawab terhadap semua kontrak ditawarkan kepada syarikat berwibawa. Usaha wajar atau due diligence komprehensif patut dilaksanakan, termasuk menyemak balik dokumen kewangan dan mengesahkan keupayaan projek lalu.

Apabila rasuah berdarah daging, sudah tangan diikat dan mulut ditutup hingga lemah. Mereka dibela kontraktor. Apabila duit kopi dapat bertimbun, projek tidak diawasi dengan baik.

Adakalanya kontraktor sendiri membawa kertas cadangan untuk dipertimbangkan dan dilaksanakan. Sudah tentu pegawai perasuah dan tiada integriti mengambil peluang keemasan bertindak mencari peruntukan.

Pembudayaan rasuah dalam perolehan kerajaan dengan sikap tidak ambil peduli, lagipun kononnya menggunakan duit kerajaan. Apa mereka pedulikan asalkan dapat habuan.

Sepatutnya sebelum sesuatu projek atau peralatan diberi, perlu ada perancangan serta keperluan. Jika tidak, banyak projek siap menjadi gajah putih menyebabkan ia bukan projek value for money.

Sejak 2010, saya beberapa kali mencadangkan semua pegawai di unit tinggi risikonya seperti kontrak kewangan mesti ditukar setiap tiga tahun. Namun, pengawasan orang atasan sangat perlu, selain contoh baik. Ini untuk mengelakkan dipengaruhi pihak tertentu.

Amalan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan dalam sistem perolehan akan mendatangkan kesan amat negatif bukan sahaja kepada masyarakat selaku pengguna, bahkan pegawai agensi terbabit serta kontraktor.

Ia boleh merugikan masyarakat jika peralatan, perkhidmatan atau projek sepatutnya siap, terbengkalai atau tidak wujud, sekali gus menggagalkan usaha kerajaan meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada masyarakat.

Rasuah akan menjadi budaya dan mencetuskan tidak puas hati serta hilang kepercayaan masyarakat terhadap kerajaan.

Sebagai pegawai kerajaan, mereka tidak boleh elak campur tangan ahli politik, tetapi mereka boleh menggunakan hak tidak bersekongkol jika arahan melanggar peraturan dan undang undang.

Setiap ketua jabatan perlu membentuk sistem pemantauan dan kelulusan berlapis. Ia bukan bertujuan mewujudkan kerenah birokrasi tetapi mengurangkan keputusan terhadap sesuatu pembelian berpusat kepada seseorang sahaja.

Pemeriksaan mengejut ke atas pelaksanaan projek wajar dilaksanakan bertepatan konsep turun padang. Syarikat pembekal atau kontraktor gagal memenuhi syarat kontrak atau sebut harga wajib disenarai hitam serta tindakan undang-undang diambil.

Meskipun pihak berkuasa memperbaiki sistem dan prosedur berbanding satu dua dekad lalu, isu ketirisan masih mendapat perhatian, termasuk hasil Laporan Ketua Audit Negara.

Prosedur operasi standard (SOP) sistem pengurusan kewangan, terutama dari segi membezakan kuasa budi bicara selalu disalahgunakan perlu diteliti semula. Namun, semua prosedur hendaklah dipatuhi dan tiada pengecualian.

Justeru, ketua jabatan perlu lebih bertanggungjawab, berakauntibiliti dan peka terhadap perlakuan rasuah, salah guna kuasa serta penyelewengan.

Tindakan tatatertib sedia ada tidak cukup sehingga semakin ramai pegawai kerajaan ditangkap SPRM. Selepas liabiliti korporat, tiba masanya mempertimbangkan peruntukan liabiliti untuk penjawat awam.

Ini termasuk peruntukan 'salah laku penjawat awam' mengakibatkan kerugian wang besar ditanggung kerajaan. Kerajaan boleh merangka undang-undang untuk mengambil tindakan punitif terhadap pegawai sengaja menyebabkan ketirisan, pemborosan atau pembaziran dana kerajaan.

Hong Kong sudah melaksanakan undang-undang menangani kesalahan ini membawa hukuman hingga tujuh tahun penjara. Pada 2017, bekas Ketua Eksekutif Hong Kong, Donald Tsang mencatat sejarah apabila menjadi pegawai tertinggi didakwa di bawah kesalahan itu hingga dipenjara 20 bulan kerana salah laku penjawat awam.

Dalam hal ini, kerjasama orang ramai juga penting bagi membolehkan SPRM bertindak efektif dan bebas. Jika setiap individu mempunyai kesedaran etika kerja, mengamalkan sikap integriti dan amanah dalam menjalankan tugas, ketirisan dapat diatasi.

Lapor dan bongkar kegiatan rasuah dalam jabatan masing-masing. SPRM melindungi pemberi maklumat secara profesional.

Penulis adalah Presiden Persatuan Pemeriksa Fraud Bertaulaih Cawangan Malaysia

Berita Harian X