Sabtu, 31 Oktober 2020 | 11:00am
Kawasan terumbu karang yang rosak. - NSTP/Ihsan Ivan Tan
Kawasan terumbu karang yang rosak. - NSTP/Ihsan Ivan Tan

Kemusnahan terumbu terbesar 'isyarat' ancaman sejagat

Pendedahan mengenai ancaman kemusnahan sistem terumbu karang terbesar dunia, iaitu Great Barrier Reef atau Terumbu Sawar Besar amat membimbangkan.

Gugusan terumbu karang yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO sejak 1981 itu memainkan peranan ekosistem sangat penting dalam menyokong kelangsungan biodiversiti (kepelbagaian hidupan) marin.

Ia dianggap tunjang kepada kehidupan sejagat mengambil kira komposisinya yang mengandungi lebih 2,900 batu karang dan kira-kira 900 pulau yang terbentang sepanjang 2,600 kilometer (km) dengan luas permukaan sekitar 344,400km persegi.

Kajian diterbitkan menerusi Proceedings of the Royal Society Journal mendedahkan sebahagian terumbu karang terbesar dunia itu sudah mati sejak 1995, susulan suhu air laut yang semakin panas akibat fenomena perubahan iklim global.

Malah, kajian itu juga mendapati kadar penurunan yang begitu membimbangkan membabitkan pelbagai saiz terumbu yang terletak di Laut Karang di pesisir Queensland, Timur Laut Australia itu.

Turut dilaporkan spesies lebih besar seperti terumbu karang bercabang dan berbentuk meja antara paling teruk terjejas dan hampir pupus. Jumlahnya berkurangan 80 atau 90 peratus berbanding 25 tahun lalu.

Keadaan lebih meruncing apabila ekosistem berkenaan mengalami pelunturan besar-besaran pada 2016 dan 2017, sehingga memusnahkan dua pertiga daripada ekosistem terumbu karang itu. Kejadian pelunturan terus berlaku hingga hari ini.

Menurut analisis himpunan data disimpan di arkib Coral Core Australian Institute of Marine Science (AIMS), pertumbuhan karang dijangka terhenti terus menjelang 2050 jika trend kemerosotan berterusan.

Ini pasti memberi tamparan hebat kepada kita kerana ia berlaku di ekosistem terumbu karang yang menerima perlindungan dan pengurusan terbaik dunia.

Didapati, antara penyumbang utama kemerosotan ekosistem terumbu karang ini adalah peningkatan suhu permukaan dan pengasidan laut.

Peningkatan suhu laut memberi tekanan kepada karang menyebabkan berlaku pelunturan serta kematian hidupan karang.

Selain itu, laut lebih berasid apabila berlaku peningkatan karbon dioksida dalam laut yang menyebabkan keseimbangan alkali-asid atau nilai pH menjadi lebih rendah.

Daripada laporan dikeluarkan, nilai pH laut sudah jatuh 0.1 mata memandangkan laut menyerap kira-kira satu pertiga daripada lebihan gas itu.

Sekiranya keadaan ini berterusan, nilai pH laut dijangka jatuh 0.4 mata lagi dalam tempoh kurang 100 tahun akan datang.

Bagi mengelak jangkaan ini menjadi realiti, kadar serta magnitud perubahan dalam komposisi kimia laut dan suhu mesti diberi perhatian.

Ini penting bagi memastikan masa depan gugusan terumbu karang berkenaan dan ekosistem laut secara keseluruhannya dapat dipertahankan kemandiriannya demi kesejahteraan kehidupan sejagat.

Jika dilihat perubahan komposisi kimia laut dan suhu saban tahun, ia adalah kesan daripada fenomena gas rumah hijau yang menyumbang kepada peningkatan suhu dunia.

Didapati, antara gas rumah hijau utama yang banyak dibebaskan daripada aktiviti manusia ke udara ialah karbon dioksida. Misalnya, melalui aktiviti pembakaran bahan api seperti petrol, arang batu, gas asli dan diesel bagi menghasilkan tenaga untuk menjana elektrik serta menggerakkan operasi sistem pengangkutan.

Gas karbon dioksida yang larut dalam air pula adalah berasid dan peningkatan komposisi gas ini di udara akan menyebabkan laut menjadi semakin berasid, seterusnya memberi ancaman lebih besar kepada ekosistem terumbu karang.

Selain itu, perubahan dalam komposisi kimia laut akan mengganggu dan memperlahankan kemampuan hidupan karang untuk menyerap kalsium daripada air laut yang diperlukan untuk membina rangka skeletonnya.

Pertumbuhan skeleton (rangka keras) baharu ini secara berterusan amat penting memandangkan peranannya sebagai tulang belakang kepada ekosistem terumbu karang yang amat kompleks ini, yang menjadi habitat dan tempat bergantung kepada puluhan ribu spesies tumbuhan dan haiwan marin.

Malah, penghasilan skeleton baharu juga amat diperlukan bagi mengimbangi kehilangan karang akibat hakisan semula jadi dan juga penyerpihan.

Selain faktor berkenaan, pencemaran ekosistem laut tidak dapat ditolak sebagai antara punca menyumbang kepada kemerosotan ekosistem terumbu karang baik membabitkan gugusan Great Barrier Reef mahupun rangkaian ekosistem terumbu karang lain.

Malah, pencemaran ekosistem laut yang tiada titik noktahnya turut memberi ancaman kepupusan kepada kepelbagaian spesies hidupan marin yang menghuni dalam persekitaran ekosistem terumbu karang.

Melihat ancaman yang menyumbang kemerosotan dan kemusnahan ekosistem terumbu karang berkenaan saban tahun, peranan proaktif daripada semua pihak merentasi sempadan dunia amat diperlukan.

Tambahan pula, gugusan ekosistem terumbu karang terbesar ini menghadapi masa depan yang tidak menentu dan agak mustahil untuk pulih secara semula jadi dengan tekanan perubahan iklim global yang kian menghimpit lantaran pelbagai aktiviti tidak sihat manusia terhadap alam sekitar.

Ancaman ke atas sistem terumbu karang ini perlu diletakkan sebagai ancaman sejagat memandangkan kepupusannya akan memberi kesan besar kepada kepelbagaian hidupan di atas muka bumi, termasuk manusia yang banyak bergantung kepada sumber laut.

Justeru, langkah memulihara ekosistem terumbu karang perlu diletakkan sebagai agenda utama. Ia memerlukan komitmen bersama melangkaui sempadan benua agar usaha menyelamatkan kelangsungannya dapat dilaksanakan lebih berkesan.

Ingatlah, usaha memelihara kepelbagaian ekosistem di atas muka bumi ini sebahagian daripada tanggungjawab diamanahkan Allah SWT kepada kita selaku khalifah di atas muka bumi.

Penulis adalah Felo Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Berita Harian X