Jumaat, 30 Oktober 2020 | 11:00am
Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Universiti perlu proaktif cipta pekerjaan untuk graduan

Penularan pandemik di negara kita memaksa kerajaan mengambil langkah drastik menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu.

Ia mendatangkan kesan amat positif terhadap kesihatan awam, seterusnya menangani penularan pandemik.

Namun, situasi ini turut menyumbang masalah sosioekonomi negara dalam jangka masa panjang. Antaranya secara tidak langsung menyumbang kepada peningkatan kadar pengangguran.

Jabatan Statistik Malaysia melaporkan, pengangguran pada Julai berada pada kadar 3.9 peratus. Bank Dunia juga menyatakan ekonomi Malaysia menguncup 17.1 peratus pada suku kedua tahun ini. Kadar ini terendah sejak suku keempat 1998 (11.2 peratus).

Pandemik secara langsung mempengaruhi operasi institusi pendidikan tinggi (IPT), lantas memaksa mengkaji semula secara drastik prosedur, proses dan hala tuju agar lebih dinamik dan mempunyai daya tahan tinggi.

Langkah pemurnian dan pemerkasaan operasi perlu konsisten dan disepadukan pelan strategik institusi supaya senada dan boleh direalisasikan.

Pandemik secara tidak langsung memberi peluang universiti mengkaji semula semua program akademik serta kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) supaya sesuai dan memberi nilai tambah tinggi kepada pelajar. Ini dapat menjamin kualiti program akademik ditawarkan dan kelangsungan institusi.

Universiti Teknologi MARA (UiTM) sebagai contoh tidak terkecuali menerima impak pandemik. Justeru, tindakan proaktif perlu diambil bagi meminimumkan impak pandemik terhadap universiti.

Inisiatif utama diambil untuk mengukuhkan PdP ke arah pembelajaran mendalam dan kecerdasan buatan (AI), pendigitalan universiti, pewujudan pekerjaan, pemerkasaan program akademik, norma baharu libat sama strategik bersama industri, komuniti dan alumni, pembangunan keusahawanan dan pengkomersialan.

Pandangan dan kehendak pemegang taruh, terutama pemimpin industri dan akademik turut dikumpulkan, seterusnya diterjemahkan dalam teras hala tuju universiti pasca COVID-19.

UiTM mengadakan beberapa siri sumbang saran. Sesi ini amat perlu dan kritikal bagi memastikan hala tuju dibentuk komprehensif dan inklusif.

Sesi itu termasuk bersama kementerian, majlis eksekutif dan pengurusan universiti, wakil alumni, pemimpin industri, agensi kerajaan dan pelajar. Secara amnya ia membincangkan situasi IPT dalam menghadapi pandemik. Beberapa permasalahan utama perlu diperhalusi:

Pertama, aktiviti PdP secara bersemuka tidak dapat dilaksanakan membabitkan 180,000 pelajar dan lebih 500 program akademik.

Kedua, latihan industri dan kegiatan ko-kurikulum pelajar tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya yang memberi impak kepada kebolehpasaran graduan. Ketiga, peningkatan kadar pengangguran graduan akibat krisis ekonomi pasca COVID-19.

Keempat, program akademik yang tidak menepati keperluan industri. Kelima, jurang akademik dan industri yang ketara serta akhir sekali, amalan budaya digital pada tahap terendah.

UiTM perlu mengambil tindakan proaktif meminimumkan impak pandemik terhadap graduan. Inisiatif ketika ini ialah mewujudkan peluang pekerjaan kepada graduan dalam bidang dikenal pasti.

Ia langkah utama universiti untuk menangani isu pengangguran graduan pasca pandemik.

Antara langkah utama di bawah program pewujudan pekerjaan adalah Program Kebolehpasaran Graduan (GEP) UiTM - skim khidmat graduan, di mana graduan diberikan elaun bagi kerja dan tugasan ditawarkan universiti.

Tugasan ini termasuk (tetapi tidak eksklusif) kepada pembantu pengajar, pembantu penyelidikan, projek digital, agroteknologi, seni reka dan pengurusan pentadbiran.

GEP menyasarkan graduan dalam golongan keluarga berpendapatan isi rumah bawah RM4,000. Program ini juga dirancang bagi mewujudkan peluang atau skim pekerjaan sementara (sehingga enam bulan).

Dijangka 1,000 peluang pekerjaan sementara (bersamaan 1,000 graduan) secara dalaman dapat ditawarkan sepanjang program ini dijalankan.

Di samping menggunakan dana universiti, UiTM giat melancarkan program GEP luaran atau (eGEP) melalui beberapa model pewujudan pekerjaan bersama pihak luar seperti geran bersama universiti-industri dan geran PENJANA-industri.

Bagaimanapun, universiti mengambil maklum jumlah tenaga kerja diwujudkan tidak dapat menampung semua graduan UiTM. Apa yang penting, inisiatif ini dapat meminimumkan kadar pengangguran graduan UiTM dan negara secara amnya.

Pada 2019, 44,788 daripada 330,557 graduan IPT awam dan swasta negara adalah dari UiTM atau mewakili 13.5 peratus.

Ahmad Rais Mohamad Mokhtar,Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Berita Harian X