Ahad, 20 September 2020 | 11:01am

Biar pemimpin buat keputusan

Kelmarin, Tan Sri Muhyiddin Yassin kata Parlimen mungkin dibubar awal andai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu depan, diberi mandat mentadbir Negeri Di Bawah Bayu.

Belalang dan mungkin ramai lagi tidak terkejut dengan kenyataan Perdana Menteri kerana cakap-cakap PRU-15 akan diadakan sebelum penggal PRU-14 berakhir, memang sudah lama kedengaran.

Bila pun tarikh yang akan ditetapkan nanti, kita serahkan sahaja kepada kebijaksanaan pemimpin untuk buat keputusan waktu paling sesuai untuk serah kembali kuasa kepada rakyat.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (empat dari kiri) melancarkan Aku Janji Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersama pemimpin Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) pada majlis pelancaran ‘Aku Janji’ gabungan rakyat Sabah untuk Perikatan Nasional dan Barisan Nasional Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16, Rabu lalu. - Foto Aswadi Alias
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (empat dari kiri) melancarkan Aku Janji Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersama pemimpin Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) pada majlis pelancaran ‘Aku Janji’ gabungan rakyat Sabah untuk Perikatan Nasional dan Barisan Nasional Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16, Rabu lalu. - Foto Aswadi Alias

Larangan untuk kebaikan semua

Berani gadai nyawa. Itu yang Belalang fikir setiap kali melihat penunggang basikal berkumpulan melayan hobi di lebuh raya atau jalan sibuk, termasuk pada waktu malam.

Belalang tidak tahu apa alasannya, tetapi pada pandangan mata kasar, lebih wajar andai mereka menggunakan laluan lain lebih sesuai dan selamat, apatah lagi polis sudah bagi amaran aktiviti berbasikal di lebuh raya adalah dilarang.

Larangan berkenaan untuk kebaikan penunggang juga agar tidak terdedah risiko membahayakan keselamatan diri dan pengguna lain. Namun, jika ada terus berdegil, bersedialah didenda hingga RM1,000 atau penjara sehingga tiga bulan atau kedua-duanya.

Takziah, doa buat mangsa

Belalang ucap takziah kepada ahli keluarga tiga sahabat mangsa keracunan karbon monoksida di Seberang Jaya, Pulau Pinang dan berdoa untuk seorang lagi yang masih dirawat di hospital.

Tragedi itu mengingatkan Belalang kepada bahaya 'pembunuh senyap' yang tidak dapat dikesan pancaindera, memerlukan semua pemandu dan penumpang kenderaan patuhi langkah keselamatan berkaitan.

Molek juga jika aspek keselamatan berkaitan dimasukkan dalam silibus sekolah memandu, manakala pengurusan lebuh raya atau stesen minyak mungkin boleh wujudkan aplikasi kenal pasti pemilik kenderaan yang berhenti terlalu lama di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) atau stesen minyak mereka.

Berita Harian X