Rabu, 1 Februari 2023 | 12:44pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Belum terlewat budayakan amalan membaca

Tirai 2023 memasuki bulan kedua hari ini tetapi adakah membaca masih termasuk dalam sasaran masyarakat pada tahun ini. Saban tahun, angka dan statistik berkaitan dengan membaca rakyat Malaysia masih belum melonjakberbanding bilangan populasi rakyat 32.9 juta.

Indeks Skor Budaya Sedunia (WCSI) merekodkan, kedudukan pertama dinobatkan kepada India. Rakyat India dikatakan membahagikan masa lebih 10 jam seminggu dengan memenuhi aktiviti mereka dengan membaca. Thailand menduduki tangga kedua dan China di kedudukan ketiga.

Rakyat Malaysia pula hanya membaca kurang tiga jam seminggu dan rekod purata membaca rakyat Malaysia kurang memberangsangkan iaitu 15 hingga 20 buku setahun. Menelusuri statistik berkaitan membaca pada setiap tahun menimbulkan pelbagai penilaian, perspektif, persoalan dan budaya membaca dalam kalangan rakyat kita. Jurang statistik suram ini perlu diambil perhatian.

Senario dunia semasa memaparkan rakyat Korea memperuntukkan 12 peratus perbelanjaan tahunan mereka untuk membeli buku, manakala di China pula, 'audiobooks' semakin menjadi trend.

Buku berbentuk fiksyen sangat popular dalam kalangan pembaca Malaysia dengan merekodkan 76 peratus, manakala buku bukan fiksyen merekodkan 36 peratus.

Impak penggunaan masa membaca kurang berkesan walaupun pembelian buku dalam talian meningkat pada 2020. Persoalannya, adakah masyarakat hanya cenderung membeli buku tanpa memaksimumkan masa untuk 'menghadamnya'.

Faktor menarik peningkatan jualan buku didorong kaedah mudah dan cepat membeli buku iaitu menggunakan platform perniagaan dan penerbit secara dalam talian.

Lambakan aplikasi santai 

Ini turut dipengaruhi situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020 ketika COVID-19 melanda dunia. Selain itu, orang ramai juga cenderung membeli buku di pesta buku, swaterbit dan pesta buku lelong menawarkan pelbagai harga istimewa.

Faktor harga buku kompetitif dan banyak genre pilihan buku dalam talian menjadi trend kini. Oleh itu, aktiviti membeli buku dilihat merangsang kecenderungan tindakan positif.

Namun, isu masa diperuntukkan orang kita untuk membaca masih pada peringkat mengecewakan. Persoalan sebenarnya ialah apa aktiviti rakyat Malaysia banyak gunakan pada masa seminggu atau setahun, perlu diperhalusi supaya trend dan tabiat tidak membawa faedah ini perlu dikekang dengan bijaksana.

Telefon pintar direkodkan menjadi pilihan pelajar Malaysia untuk berkomunikasi, berdasarkan kajian pada 2016. Hasil kajian ini tidak mengejutkan kerana penggunaan telefon pintar negara kita antara tertinggi di dunia.

Persoalan lambakan aplikasi santai dan menarik dalam platform media sosial 'mencuri' masa rakyat Malaysia untuk membaca buku perlu dibuat kajian lanjut.

Aktiviti membaca terbukti dapat melonjakkan pemikiran kritis, keintelektualan, kapasiti otak, kecergasan emosi (EQ) dan kecerdasan intelektual (IQ).

Secara holistik, gerakan dan intipati Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) 2030 perlu dicapai dan digembleng semua pihak dengan pendekatan strategik dan mengikut kategori sasaran.

Diharapkan Kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia pada tahun mendatang akan memaparkan statistik dan trend berkaitan membaca dalam radar positif.

Kesimpulannya, keazaman membaca dalam pola aktiviti harian rakyat Malaysia perlu ditanam dan diamalkan walaupun dihimpit cabaran sosioekonomi global. Apa yang penting, rakyat Malaysia perlu menjadikan membaca sebagai budaya dan ia masih belum terlewat untuk membuktikannya.

Pustakawan Kanan, Ketua Bahagian Penyelidikan & Maklumat, Perpustakaan Laman Hikmah, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM)

Berita Harian X