Isnin, 30 Januari 2023 | 1:29pm
Orang ramai berarak menuju ke pejabat Kedutaan Sweden di ibu kota, baru-baru ini untuk membantah tindakan. - NSTP/Aswadi Alias
Orang ramai berarak menuju ke pejabat Kedutaan Sweden di ibu kota, baru-baru ini untuk membantah tindakan. - NSTP/Aswadi Alias

Dilema Muslim boikot produk negara benarkan Islamofobia

APABILA terdapat komen atau kritikan tidak benar mengenai diri kita atau keluarga, adakah kita berasa marah dan menjadi defensif? Reaksi negatif ini tidak mustahil berlaku dalam diri sesiapa sahaja kerana sebagai insan, perasaan ini memang normal.

Namun dalam konteks kepenggunaan, reaksi negatif terhadap sesuatu perkara tidak benar atau menyentuh sensitiviti ini adalah satu manifestasi protes atau dalam erti kata lain boikot.

Boikot dalam konteks kepenggunaan biasa berlaku apabila terdapat situasi membabitkan isu etika dan moral seperti pelanggaran hak asasi, diskriminasi agama, penderaan terhadap haiwan atau kemusnahan alam sekitar

Misalnya pada 2013, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dikenali sebagai People for the Ethical Treatment of Animals (PETA) melancarkan kempen boikot produk Indonesia, iaitu kopi luwak.

Kopi luwak dikatakan termahal di dunia dan boleh mencecah sehingga AS$80 (RM340) secawan di Amerika Syarikat (AS). Namun, PETA mendapati proses penghasilan Kopi Luwak membabitkan eksploitasi dan penderaan spesies musang diklasifikasikan sebagai haiwan terancam.

Menurut satu laporan daripada PETA United Kingdom (UK), akibat permintaan tinggi terhadap kopi luwak menyebabkan musang luwak diburu dan dijual di pasaran gelap.

Musang ditangkap dan dikurung dalam sangkar sempit, akhirnya menyebabkan ia mati kerana tidak dapat menyesuaikan diri seperti habitat asal. PETA beranggapan jika kempen boikot tidak dilaksanakan, pengguna tidak mengetahui hal sebenar, sekali gus mengakibatkan spesies musang luwak pupus suatu masa nanti.

Bagi pengguna Islam di Malaysia pula, isu ini dilihat dari aspek kebersihan dan kesucian atau halal kerana biji kopi terbabit dikatakan diperap bersama najis musang.

Menyentuh demonstrasi membakar kitab suci al-Quran oleh pemimpin parti politik konservatif Sweden, Rasmus Paludan sememangnya membangkitkan kemarahan masyarakat Islam seluruh dunia.

Menteri Luar Turkiye menyifatkan perbuatan Paludan mengancam keharmonian dan dikhuatiri meningkatkan sentimen Islamofobia. Nada sama disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tanda protes mewakili masyarakat Islam di negara ini.

Dalam pada itu, bantahan juga datang daripada beberapa pertubuhan dan ahli politik. Contohnya, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menggesa semua NGO dan rakyat memboikot barang atau produk keluaran serta perdagangan dengan Sweden.

Timbalan Presiden Majlis Senator Malaysia (MSM), Datuk Razali Idris mengajak rakyat, terutama umat Islam memboikot barang buatan Sweden dengan mengelak daripada mengunjungi gedung jualan atau membuat pesanan pembelian dalam talian.

Situasi pada 2014 menyaksikan masyarakat Islam di seluruh dunia diajak menyokong kempen boikot produk Israel. Kempen itu diperluaskan melalui aplikasi telefon pintar, Buycott.

Aplikasi ini dicipta Ivan Pardo dari California, AS antara lain bertujuan memberitahu pengguna sesuatu produk atau syarikat disenaraikan dalam aplikasi terbabit mempunyai kaitan dengan rejim Zionis.

Sebagai satu simbol solidariti rakyat Palestin dan protes ekonomi kepada rejim Zionis, pengguna disaran mempraktikkan hak mereka untuk menolak produk berkenaan. Selain itu, pertubuhan Boycot, Divestment, Sanction (BDS) juga melancarkan kempen sama.

Di negara ini, beberapa NGO seperti Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (PERKASA), Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) melancarkan kempen boikot produk Israel melalui media sosial. Tindakan ini memberi kesan negatif kepada beberapa sektor perniagaan, terutama berkaitan makanan dan minuman.

Persoalan di sini, apakah tindakan pengguna Muslim di negara ini dalam kempen boikot produk Sweden mampu memberi kesan sama seperti 2014?

Dua bentuk kempen boikot

Secara amnya, terdapat dua bentuk kempen boikot, iaitu boikot perniagaan dan media. Menurut Monroe Friedman, boikot perniagaan terjadi dalam situasi sebenar terdapat beberapa kumpulan aktivis pengguna membuat demonstrasi secara langsung di hadapan premis perniagaan. Kumpulan ini akan mengedarkan risalah, poster dan menyeru pengguna untuk memboikot barangan oleh syarikat berkenaan.

Boikot media sebaliknya, membabitkan intervensi daripada wartawan dan rakaman audio serta visual mengenai demonstrasi tersebut. Dalam hal ini, boikot media menjadi kaedah sering dipraktikkan kerana mesej dapat disebarkan kepada orang ramai lebih cepat dan berkesan.

Dalam satu artikel Consumer Culture: A Reference Handbook, Goodman dan Cohen menyatakan kempen boikot dilaksanakan bukan sahaja bertujuan menggugat operasi perniagaan dan produktiviti sesuatu syarikat, bahkan satu perlakuan simbolik.

Namun, penyelidik daripada Universiti Pennsylvania, Maurice Schweitzer berpendapat kempen boikot hanya reaksi simbolik semata-mata dan tidak memberi kesan signifikan kepada ekonomi. Antara sebabnya kempen boikot hanya dilihat berkesan kepada beberapa aktivis tegar dan tidak mewakili majoriti pengguna.

Seorang lagi penyelidik, Devon M Herrick menyatakan kempen boikot adalah bermusim dan tidak bertahan lama. Ramai pengguna yang pada peringkat awal menyertai boikot akan kembali membeli barangan berkenaan apabila kempen dilihat tersasar atau menyusahkan aktiviti harian.

Sebagai pengguna Muslim di negara ini, kita memang mempunyai kebebasan untuk menyertai ataupun menyokong kempen boikot produk mana-mana negara yang mengancam kesucian agama Islam. Namun, adakah kempen boikot ini hanya terpakai pada sesetengah produk sahaja?

Tidak boleh kita nafikan terdapat beberapa jenama atau produk Sweden dipasarkan di negara ini sudah menjadi sebahagian gaya hidup masyarakat kita. Antara yang paling popular ialah sebuah jenama yang sinonim dengan barangan perabot dan utiliti. Tidak hairanlah mengapa ia begitu diminati ramai pengguna Malaysia kerana faktor kualiti tinggi serta rekaan menarik.

Di sini timbul dilema, sama ada pengguna Muslim Malaysia harus menyokong kempen boikot produk Sweden secara berterusan atau sementara. Berdasarkan beberapa insiden sebelum, kempen boikot produk dianjurkan beberapa NGO Muslim tanah air biasanya melalui beberapa fasa dan akhirnya kembali kepada situasi normal apabila tiada lagi insiden Islamofobia berlaku.

Namun, ini tidak bermakna kempen berkenaan tidak efektif, tetapi apa penting adalah ia dapat sekurang-kurangnya mewujudkan kesedaran dalam kalangan masyarakat Islam dan memupuk nilai kesepakatan dalam menjaga kesucian agama Islam.

Penulis adalah Ketua Editor Jurnal Seni dan Rekabentuk Antarabangsa (IJAD), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka

Berita Harian X