BARU-BARU ini, masalah kekurangan tenaga buruh di Malaysia untuk pelbagai sektor ekonomi semakin meruncing. Secara umumnya, langkah mudah boleh diambil untuk mengatasi masalah ini dengan segera sudah pastilah menerusi pengambilan tenaga buruh asing.
Kementerian Sumber Manusia memaklumkan lebih 400,000 permohonan tenaga buruh asing diterima untuk setiap bulan. Menurut kerajaan, langkah penyelesaian jangka pendek ini perlu untuk membantu merancakkan semula ekonomi negara susulan pandemik COVID-19.
Pelbagai sektor ekonomi seperti perladangan, pembuatan, perkilangan dan pembinaan mengalami kerugian besar kerana gagal memenuhi permintaan pasaran disebabkan faktor kekurangan tenaga buruh. Jumlah kerugian dialami adalah besar apabila industri minyak kelapa sawit sahaja kerugian lebih RM10 bilion akibat isu ini.
Namun, kesan buruk daripada pengambilan pekerja asing secara besar-besaran haruslah dikaji dengan teliti, terutama kesan jangka panjang berkaitan dengan keselamatan negara.
Adakah negara mampu mengelola dan menguruskan dengan baik apabila jumlah pekerja asing semakin bertambah saban tahun. Jumlah ini juga tidak termasuk pekerja asing tanpa izin (PATI) menyusup ke negara melalui jalan tidak sah.
Tambahan lagi, kesan buruk daripada pengambilan buruh asing berleluasa juga boleh menyekat perkembangan kadar gaji di negara ini. Majikan cenderung mengupah buruh asing kerana kos upah mereka jauh lebih rendah.
Oleh itu, kerajaan harus menangani permasalahan ini dengan lebih berkesan melalui penggunaan teknologi kepintaran buatan (AI). Teknologi ini bukan sahaja dapat meringankan beban kerja buruh, malah dapat menambah baik kualiti kerja mereka.
Tambah kualiti hasil
Penggunaan teknologi termaju ini juga dapat menggalakkan rakyat tempatan untuk menceburi bidang sering dipelopori tenaga buruh asing. Sebagai contoh, terdapat peningkatan jumlah pesawah muda apabila kerajaan mula memperkenalkan teknologi dron bagi memudahkan urusan penanaman dan pengawasan tanaman padi.
Teknologi ini juga boleh digabungkan dengan maklumat imej satelit bagi merangka jadual pengairan optimum untuk sesebuah kawasan jelapang padi. Kerajaan juga dapat mengurangkan ketirisan subsidi padi melalui pemetaan kawasan benar-benar terbabit dalam penanaman padi sahaja dengan tepat.
Dalam bidang perladangan pula, penggunaan jentera pintar turut dapat memudahkan usaha pengumpulan hasil perladangan. Dalam aplikasi perladangan kelapa sawit, penggunaan teknologi pintar dalam mengesan buah kelapa sawit masak secara automatik dapat mengurangkan permasalahan penuaian buah belum masak.
Di samping itu, teknologi pintar ini turut boleh diterapkan di kilang pemprosesan minyak kelapa sawit bagi menambah kualiti pengekstrakan minyak, sekali gus menyokong matlamat pembaziran sifar dan menyumbang ke arah perladangan lestari.
Dalam bidang perkilangan pula, robot pintar boleh diaplikasikan untuk mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh asing. Walaupun kos permulaannya tinggi, namun kos jangka panjangnya jauh lebih murah, di samping membantu perkembangan vendor teknologi tempatan.
Jika teknologi pintar ini semakin banyak diguna pakai syarikat tempatan, permintaan terhadap pakar tempatan juga meningkat. Hasilnya, industri berteknologi tinggi tempatan turut berkembang maju dan meningkatkan keupayaan daya saing negara.
Apa yang penting, usaha kerajaan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi turut tercapai. Penggunaan teknologi pintar bukan sahaja mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh asing, tetapi turut merancakkan perkembangan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) negara.
Penulis adalah Pensyarah di Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)