Sabtu, 28 Januari 2023 | 2:14pm

Malaysia MADANI dicapai jika masyarakat nikmati kesejahteraan

ABAD ke-21 dipengaruhi dan dibentuk dan sistem global berubah-ubah. Keadaan ini boleh digambarkan sebagai sesuatu yang nampak baik dan teguh, tetapi dalamannya sangat rapuh serta boleh musnah pada bila-bila masa.

Sebab dan akibat tidak lagi boleh dinilai secara logik kerana apa yang berlaku kelihatan tidak logik dan sukar difahami. Persekitaran, keadaan emosi dan hubungan sebab akibat berkecamuk ini dikenali sebagai rapuh (brittle), mencemaskan (anxious), berliku (non-linear) dan mengelirukan (incomprehensible) atau BANI.

Dalam mendepani persekitaran mencabar ini maka Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan kerangka dasar membangun negara madani bertujuan merubah Malaysia menjadi negara berasaskan enam tonggak, iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.

Kesalinghubungan enam tonggak ini akan mewujudkan persekitaran mampan dan menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat dan negara.

Kesejahteraan adalah aspek penting perlu diberi keutamaan kerana ia bukan sahaja menjadi matlamat pada peringkat individu dan masyarakat, malah antara visi negara madani.

Kesejahteraan bukan sekadar sejahtera, aman, selamat, tenteram di dunia dan akhirat, bahkan merujuk kepada keseimbangan dalam kehidupan di samping bebas daripada kebimbangan dan kerisauan dalam aspek kewangan atau keperluan fizikal.

Kesejahteraan dari perspektif psikologi merujuk kepada keadaan mental positif, mempunyai emosi positif tinggi, rendah emosi negatif, tinggi kepuasan hidup dan mempunyai fungsi psikologi serta perhubungan sosial baik.

Kajian menunjukkan kesejahteraan dalam konteks psikologi mampu meningkatkan prestasi kerja, penghargaan kendiri, kreativiti, produktiviti, perhubungan berkualiti, kepuasan hidup, kerjasama dan cepat sembuh daripada penyakit termasuk mampu mengurangkan risiko penyakit mental seperti kemurungan dan kebimbangan.

Lapan dimensi kesejahteraan

Pada peringkat individu, ada lapan dimensi kesejahteraan perlu diberikan penumpuan iaitu:

  • Pengurusan emosi (kemampuan mengawal dan menguruskan emosi diri dan orang lain)
  • Persekitaran (keadaan atau suasana menyokong kepada kesejahteraan)
  • Kewangan (berpuas hati dengan keadaan kewangan semasa dan masa hadapan)
  • Intelektual (kemampuan meningkatkan ilmu dan kemahiran)
  • Pekerjaan (kepuasan dan keselamatan dalam pekerjaan)
  • Fizikal (kemampuan untuk melakukan aktiviti fizikal, diet, mempunyai tidur dan zat mencukupi)
  • Sosial (mewujudkan saling hubungan dan mempunyai sistem sokongan)
  • Spiritual (makna dalam kehidupan dan hubungan dengan pencipta).

Tahap kesejahteraan dijangka meningkat jika individu mampu mengurus isu dan permasalahan dalam lapan dimensi ini secara efektif.

Kesejahteraan pada peringkat masyarakat ialah keupayaan ahli dalam komuniti untuk mengambil bahagian, berasa dihargai sebagai sebahagian daripada masyarakat dan kekal berhubung dengan persekitaran sosial terdiri daripada pelbagai etnik, bahasa, budaya dan agama.

Masyarakat sejahtera akan memberi penumpuan kepada kesejahteraan dan kehidupan mampan. Ia membabitkan pelaksanaan pelbagai dasar, garis panduan dan inisiatif bertujuan meningkatkan hubungan sosial, kerjasama, toleransi, keadilan dan kesaksamaan serta mempromosi sifat saling membantu dalam kalangan masyarakat.

Negara sejahtera pula menjadikan kemaslahatan rakyat sebagai fokus utama. Penekanan diberi kepada aspek kualiti hidup, tahap kepuasan, keselamatan dan kemampuan memiliki harta dalam kalangan warga.

Lebih penting, negara sejahtera mempunyai kadar pengangguran rendah, peningkatan pendapatan, sistem penjagaan kesihatan efisien, kadar jenayah rendah, sistem pendidikan baik, ekonomi mampan dan berdaya tahan serta tadbir urus baik serta berintegriti.

Justeru, tanggungjawab setiap warga adalah memberi tumpuan mewujudkan kesejahteraan dalam kalangan individu, masyarakat dan negara.

Membangunkan Malaysia sebagai Negara MADANI menjadi tanggungjawab semua, individu dan masyarakat.

Penulis adalah Pusat Pengajian Pengurusan dan Kepimpinan, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN)

Berita Harian X