Jumaat, 27 Januari 2023 | 12:10pm
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) dan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah (kanan) menyaksikan pemeteraian MoU antara MIDA dan BIA di Istana Nurul Iman, kelmarin. MoU itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Arham Abdul Rahman (tiga, kiri) dan Pemangku Pengarah Urusan BIA, Sofian Mohammad Jani (empat, kiri). - Foto BERNAMA
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) dan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah (kanan) menyaksikan pemeteraian MoU antara MIDA dan BIA di Istana Nurul Iman, kelmarin. MoU itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Arham Abdul Rahman (tiga, kiri) dan Pemangku Pengarah Urusan BIA, Sofian Mohammad Jani (empat, kiri). - Foto BERNAMA

Lawatan rasmi Anwar pererat 'persamaan' Malaysia, Brunei

KELANCARAN Datuk Seri Anwar Ibrahim menyusun kata-kata ketika sidang media pada akhir lawatannya ke Brunei di The Empire Hotel kelmarin, terhenti seketika apabila ditanya apa yang menjadi butir bicara dalam pertemuan empat mata beliau selama satu jam bersama Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah.

Berlapik cakap tanpa mendedahkan inti pati mendalam pertemuan, Perdana Menteri menjelaskan, ada perkara terlalu peribadi dan lebih cenderung sebagai nota kepada diri yang tidak boleh dikongsi dengan khalayak, namun besar kesannya dalam mengangkat hubungan istimewa dua negara ke tahap tertinggi.

Menelusuri jalinan keakraban diplomatik Malaysia-Brunei yang kukuh sekian lama, ada ikatan persahabatan ibarat persaudaraan dua pemimpin memayungi dan mengeratkan hubungan sedia ada.

Ketika berucap di hadapan kira-kira 350 diaspora Malaysia pada majlis makan malam di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Brunei pada Selasa lalu, Anwar menceritakan pengalaman menaiki kenderaan dipandu Sultan Hassanal Bolkiah ketika berkunjung ke ibu negara pada 28 November tahun lalu - empat hari selepas dilantik sebagai Perdana Menteri.

"Tuanku datang, pandu sendiri kereta. Risau juga saya duduk di sebelah Tuanku. Satu jam dari lapangan terbang ke Putrajaya, satu jam lagi sebaliknya. Rupa-rupanya, dengan ihsan dan kebijaksanaan Tuanku, detik itu menjadi ruang baginda bercakap dengan saya tanpa protokol.

"Dua jam kami dalam kereta, satu jam setengah makan bersama dan melakukan perbincangan hati ke hati demi kepentingan dua negara tercinta," imbaunya.

Tidak berhenti di situ, Anwar mengakui bagaimana Sultan Hassanal Bolkiah sentiasa mengikuti perkembangannya dan 'ketika saya berada dalam kesusahan, baginda kerap melahirkan keprihatinan'.

Baik dalam majlis penuh protokol atau pertemuan pemimpin secara santai, Malaysia jelas menyanjung tinggi hubungan dua hala dengan Brunei, lebih-lebih lagi dalam keadaan Sabah dan Sarawak selaku jiran terdekat secara fizikal.

Justeru, pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dengan Agensi Pelaburan Brunei (BIA) di Bandar Seri Begawan kelmarin, amat signifikan ke arah menggerakkan penerokaan segala peluang yang semestinya memanfaatkan kedua-dua negara.

Rakan dagang ke-26 terbesar

Pembukaan semula sektor ekonomi pasca pandemik COVID-19 tahun lalu selepas hampir dua tahun tergendala menyaksikan lonjakan ketara dari segi nilai dagangan dua hala.

Dengan kedudukan Brunei selaku rakan dagang ke-26 terbesar Malaysia dan keenam terbesar dalam kalangan negara ASEAN, nilai dagangan tahun lalu mencecah RM13.2 bilion, pertama kali melepasi paras RM10 bilion seperti dimaklumkan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei, Datuk Raja Reza Raja Zaib Shah.

Momentum positif itu sewajarnya menjadi pemangkin bagi pihak berkaitan khususnya Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk merancakkan pelaburan antara dua negara, termasuk beberapa bidang baharu seperti ekonomi digital, minyak dan gas, pembuatan pintar, kecerdasan buatan (AI), pertanian pintar, pelancongan serta industri makanan dan minuman.

Tumpuan itu harus seiring lima kluster keutamaan menjadi tunjang fokus Brunei merangkumi industri hiliran minyak dan gas, pembuatan dan perkhidmatan, makan, pelancongan serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Dalam skala lebih kecil, tetapi besar kesannya, sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia-Brunei wajar diperhebat, lebih-lebih lagi dalam keadaan banyak persamaan dari segi produk dan perkhidmatan untuk ditawarkan.

Seperkara kerap diperkata sejak hampir dua dekad lalu ialah industri makanan halal yang amat luas potensinya, namun dikatakan belum diteroka sepenuhnya susulan beberapa kekangan, termasuk dari segi logistik.

Mendengar cerita beberapa rakyat tempatan mengakui kerap ke Sabah, Sarawak dan Kuala Lumpur untuk mendapatkan jenama makanan atau menikmati juadah tertentu, jelas mencerminkan potensi besar menunggu masa untuk dimanfaat sebagai antara sektor pelaburan.

Kesalinghubungan lancar menerusi jalan darat bagi sektor Borneo dan laluan udara dengan Semenanjung harus membuka mata banyak pihak untuk menjadikan Brunei pilihan utama pelaburan, termasuk sektor pendidikan dan pelancongan.

Ketika media Malaysia menunggu ketibaan Perdana Menteri dan isteri di lobi hotel penginapannya Selasa lalu, beberapa rakyat Brunei meluahkan hasrat mahu bergambar bersama Anwar, walaupun menyedari ia sukar berlaku atas faktor kawalan keselamatan.

Pilihan yang ada ialah swafoto dari jauh, namun itu sahaja memadai untuk membuatkan mereka tersenyum gembira.

"Dapat! Dapat! This is enough! (Ini sudah mencukupi)," kata keluarga berbangsa Cina itu.

Anwar seharusnya menghela nafas lega sepanjang pulang ke tanah air kelmarin dengan membawa bersama persahabatan negara kecil berjiwa besar – daripada pemimpin utamanya hingga rakyat biasa kekal teruja mahu meraikan keharmonian hidup berjiran di rantau nusantara.

Penulis adalah Pengarang Berita BH

Berita Harian X