Rabu, 25 Januari 2023 | 12:02pm

Kestabilan alam sekitar kunci kesejahteraan masyarakat, ekonomi

KEPENTINGAN mewujudkan kestabilan dalam konteks alam sekitar perlu dijadikan antara tonggak atau teras strategik utama dalam konsep Malaysia MADANI yang digagaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ia sebenarnya suatu agenda besar, utama dan strategik demi kelangsungan kesejahteraan kehidupan masyarakat sepenuhnya bukan sahaja di negara ini, bahkan dalam konteks global.

Apatah lagi beberapa tragedi dan peristiwa melanda tanah air kita hingga meragut nyawa akibat kemusnahan alam sekitar, selain perubahan suhu melampau memerlukan kita bersedia serta mempunyai keupayaan dalam mengurus alam sekitar secara berhemah dan berterusan.

Realitinya, kestabilan alam sekitar menjadi indikator utama kepada pencapaian ekonomi sesebuah negara. Jika alam sekitar tidak stabil dan sesuatu negara sering dilanda musibah, kebarangkalian pertumbuhan ekonomi setempat terbantut sangat besar.

Keyakinan pelabur juga perlu dilihat dari sudut persekitaran berdaya huni dan dapat menjadi daya penarik untuk terus kekal berurusan serta melabur di sesuatu negara.

Pada dasarnya, definisi standard kelestarian alam sekitar dunia ialah pembangunan lestari, sekali gus berkait rapat dengan pertumbuhan dan kestabilan ekonomi mampan. Tiada bentuk pertumbuhan ekonomi dapat diteruskan selama-lamanya jika sumber alam sekitarnya tercemar dan rosak.

Setiap masyarakat memerlukan kehidupan sejahtera, tenteram dan harmoni. Bagi tujuan itu, alam sekitar menjadi indikator boleh digunakan dalam mewujudkan Malaysia MADANI melalui perancangan dan reka bentuk landskap sesuai dan memenuhi keadaan sesuatu tempat. Ini membabitkan olahan persekitaran lebih menarik dan memenuhi keperluan setiap lapisan masyarakat.

Infrastruktur hijau

Perancangan landskap ekologi menawarkan kerangka dan pendekatan dapat membantu dalam mendorong penggunaan sumber asli dan perlindungan alam sekitar dengan cekap.

Konsep bioekologi dan ekologi manusia menjadi kaedah penting untuk mengurangkan kesan kemusnahan pembangunan di kawasan bandar memulihara kawasan hijau dan mengamalkan pembangunan berimpak rendah serta mesra alam sekitar.

Di samping itu, infrastruktur hijau juga menjadi satu strategi untuk meningkatkan dan memperluas ekosistem dan habitat hidupan liar.

Dari segi politik, pemimpin perlu lebih peka, memahami dan menangani isu berkaitan alam sekitar supaya dapat melahirkan generasi pewaris yang bukan sahaja cekap, bahkan prihatin dan terus membela nasib alam sekitar untuk generasi selepas mereka.

Kelangsungan alam sekitar seimbang dan sejahtera memerlukan tindakan waras serta betul daripada pemimpin dipilih. Politik dan alam sekitar mempunyai kaitan begitu rapat, sekali gus hanya ungkapan biasa.

Di Barat umpamanya, isu alam sekitar menjadi agenda dan perjuangan sesebuah parti politik. Ia bukan sahaja menjadi perjuangan parti politik, bahkan simbol dan kekuatan tersendiri parti.

Setiap pemimpin dengan jelas dan lantang memperjuangkan kelestarian serta agenda alam sekitar. Ia secara tidak langsung dapat memberi kesan dan membuka minda setiap masyarakat untuk terbabit sama dalam menjaga kelestarian alam sekitar.

Ini juga memberi gambaran yang jelas, penjagaan alam sekitar menjadi isu paling utama perlu dipikul pemimpin dan dilibat sama dengan masyarakat setempat untuk kelangsungan kesejahteraan kehidupan berterusan.

Keperluan kepada pemuliharaan kepada alam sekitar perlu dijadikan aspek utama dalam kerangka Malaysia MADANI kerana ia teras hubungan manusia itu sendiri. Ia perlu diterap dalam konsep hubungan manusia dengan alam sekitar, sekali gus diterjemahkan sebagai hubungan berkait rapat dengan kejadian manusia itu sendiri demi kehidupan lebih harmoni.

Penulis adalah Profesor Jabatan Senibina Landskap, Kulliyyah Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar (KAED), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Berita Harian X