PELANTIKAN Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang sebelum itu menjadi susuk utama dalam Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia sebagai Ketua Pengarah dan Ketua Hakim Syarie, pasti menarik perhatian beberapa pihak, terutama pendukung aspirasi dan cita-cita memartabatkan perundangan syariah.
Selain meneruskan usaha menteri terdahulu dalam memartabatkan perundangan syariah, antara perkara khusus diharapkan adalah penelitian semula terhadap Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau lebih dikenali sebagai Akta 355.
Akta 355 memperuntukkan pemberian dan penyeragaman bidang kuasa kepada mahkamah ditubuhkan di bawah mana-mana undang-undang negeri bagi maksud membicarakan kesalahan di bawah hukum syarak.
Ketika dibentang dan diluluskan di Parlimen pada 1965, akta ini memperuntukkan bidang kuasa mahkamah syariah dengan maksimum denda tidak melebihi RM1,000 atau enam bulan penjara atau gabungan kedua-duanya.
Kemudian, akta ini melalui dua kali proses pindaan, iaitu pada 1984 dan 1989. Pada 1984, akta ini dipinda bagi meningkatkan bidang kuasanya kepada denda tidak melebihi RM5,000 atau sebatan tidak melebihi enam kali atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau gabungan ketiga-tiganya.
Bagaimanapun, pindaan Akta 355 pada 1989 pula tidak membabitkan pemindaan bidang kuasa, tetapi bertujuan meluaskan pemakaian akta ini kepada Sabah dan Sarawak.
Berdasarkan fakta sejarah itu, ia menunjukkan akta ini kali terakhir dipinda dari sudut bidang kuasanya adalah 38 tahun lalu. Timbul persoalan, sejauh manakah akta ini mampu mengekang dan membendung kesalahan jenayah syariah dilakukan pada masa kini? Bukankah ia ketinggalan terlalu jauh ke belakang jika dibandingkan dengan bidang kuasa dimiliki mahkamah sivil?
Inilah realiti hukuman maksimum yang boleh diperuntukkan dalam Enakmen Jenayah Syariah Negeri. Hakikatnya, ia bersifat sudah lapuk dan tidak lagi menimbulkan rasa gerun kepada pesalah itu sendiri secara khususnya untuk tidak lagi mengulangi kesalahan berkenaan dan kepada masyarakat secara umumnya.
Bincang secara matang, serius
Terdapat usaha dilakukan bagi meminda akta ini, iaitu pada 26 Mei 2016 Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membentangkan Rang Undang-Undang Persendirian (RUU) bagi meningkatkan bidang kuasa mahkamah syariah.
Walaupun usul ini dibentangkan, sesi perbahasannya ditangguh dan hingga kini ia tidak lagi dibincangkan. Ketika cadangan pindaan ini dibentangkan, ia menerima pelbagai reaksi, sama ada positif atau negatif daripada pelbagai pihak. Terdapat juga pihak menyifatkan pindaan ini adalah bagi melaksanakan undang-undang hudud di negara ini.
Isu pindaan Akta 355 ini tenggelam timbul mengikut situasi politik terkini. Selepas hampir enam tahun, masih tiada perkembangan terkini dilihat dalam isu ini. Walaupun terdapat sumber dalaman mengatakan usaha ini sedang giat dilakukan, ia belum sampai hingga peringkat dibentangkan di Dewan Rakyat.
Justeru, pelantikan Mohd Naim ke jawatan ini, usaha ini dapat diangkat semula. Sudah tiba masanya, ahli politik Melayu Islam mula berbincang secara matang, serius dan objektif dalam membincangkan usaha pindaan RUU 355 ini.
Perbezaan politik masing-masing perlu diketepikan agar agenda Islam secara umum dan usaha memartabatkan perundangan syariah secara khusus dapat dilakukan. Semoga kedudukan mahkamah syariah dan bidang kuasa jenayahnya dapat diletakkan di tempat sewajarnya di negara kita tercinta.
Penulis adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)