Hukuman fizikal dalam usaha mendisiplinkan anak tidak kira sama ada di rumah atau di sekolah adalah isu yang sering diperkatakan masyarakat. Masyarakat dengan pengalaman dan latar belakang berlainan akan memberikan reaksi berbeza terhadap kaedah ini.
Sebahagian menolak sekeras-kerasnya hukuman berbentuk fizikal untuk mendidik, manakala terdapat pula melihat hukuman sebegini sebagai lazim dalam komuniti tertentu, sekali gus bukan pendekatan bersifat negatif.
Terdapat beberapa kajian pernah dijalankan berkaitan pendekatan hukuman rotan dalam tradisi masyarakat Melayu. Berdasarkan beberapa kajian ini, jelas hukuman fizikal termasuk merotan adalah pendekatan lazim dilakukan masyarakat Melayu dahulu untuk mendidik dan mendisiplinkan anak serta murid.
Pendekatan ini dilihat selari beberapa peribahasa seperti 'sayang anak tangan-tangankan, sayang isteri tinggal-tinggalkan' dan 'sayang anak dilecuti, sayang negeri ditinggalkan.' Kedua-dua pepatah ini menggambarkan pendekatan tegas berbentuk fizikal orang Melayu untuk mendisiplinkan anak.
Berdasarkan peribahasa ini, tidak kira apa juga pendekatan hendak digunakan bagi mendisiplinkan anak, nasihat atau hukuman fizikal, ia mesti didahului pembentukan hubungan erat antara ibu bapa dengan anak serta guru dengan murid.
Ulama besar silam, Ibnu Hajar al-Haitami mencadangkan teras utama pendidikan anak menurut Islam ialah 'al-iḥtiram wa al-syafaqah' bermaksud hormat dan kasih sayang. Prinsip ini menekankan kepentingan pembentukan hubungan baik antara pendidik (ibu bapa atau guru) dan dididik (anak atau murid).
Pamer akhlak baik untuk diteladani
Bagi ibu bapa, pembentukan kasih sayang bermula cara melayan anak, seperti memberikan perhatian terutama apabila memulakan perbualan, menunjukkan kasih melalui sentuhan seperti pelukan dan usapan serta sentiasa mempamerkan akhlak baik untuk diteladani.
Bagi guru pula, mengenali dan memahami latar belakang pelajar secara individu adalah permulaan baik dalam membentuk hubungan dengan pelajar bagi melahirkan rasa hormat.
Apabila suasana kasih sayang dan rasa hormat dibentuk, ia diteruskan dan dikekalkan dengan mendidik anak berteraskan prinsip 'al-layyin wa al-rifq', bermaksud didikan dengan lemah lembut.
Melalui prinsip ini, intonasi percakapan, lenggok bahasa dan gaya sentuhan fizikal lembut serta berhemah digunakan bagi menyampaikan didikan kepada anak.
Pendekatan ini selari dengan fitrah manusia cenderung kepada pendekatan sopan-santun dan berhemah berbanding percakapan kasar serta menengking. Kesannya, anak lebih mudah menerima ajaran dan teguran ibu bapa atau guru.
Memulakan didikan berpandukan dua prinsip di atas selari satu lagi teras mendidik anak menurut Islam, iaitu 'al-tadarruj' atau berperingkat.
Dalam aspek pendidikan, ia bermaksud kaedah pendidikan bertahap mengikut kesesuaian situasi anak atau murid. Dalam konteks pendidikan, khususnya untuk menerapkan elemen adab dan disiplin, prinsip 'tadarruj' amat penting untuk dihayati ibu bapa dan guru.
Meskipun, ketegasan hukuman fizikal wujud dalam ajaran Islam, ia hanya sebahagian kecil tindakan wajar dan bukan bersifat dominan. Bahkan, ia didahului pelbagai kaedah pendidikan sarat dengan kasih sayang, ilmu, latihan berfikir dan nasihat berterusan.
Hukuman fizikal adalah langkah terakhir dalam mendidik dan disyaratkan dengan batas tertentu seperti mengelakkan kecederaan terutama pada bahagian sensitif seperti muka dan kemaluan.
Justeru, terdapat beberapa kesimpulan penting perlu dihayati berhubung pendekatan hukuman fizikal dalam mendisiplinkan anak dan murid.
Pertama, walaupun dibenarkan Islam, hukuman fizikal bukan sesuatu dominan dalam pendidikan. Kedua, kaedah mendidik bersifat santun dan berhemah perlu diutamakan.
Ketiga, perasaan kasih sayang dan hubungan erat perlu memayungi segala proses mendidik. Perasaan dan hubungan ini memandu tindak tanduk ibu bapa dan guru supaya kekal pada landasan hikmah.
Penulis adalah Pegawai Penyelidik Kanan, Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)