Rabu, 18 Januari 2023 | 1:43pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Semua pihak perlu sedia strategi hadapi krisis ekonomi 2023

Bank Dunia dalam satu laporan menyebutkan dunia mungkin semakin menghampiri kemelesetan global pada tahun ini, rentetan krisis kewangan berlaku di seluruh dunia.

Bank pusat di seluruh dunia secara serentak menaikkan kadar faedah sebagai tindak balas kepada inflasi.

Kadar faedah pada akhir 2022 mencatatkan kenaikan mendadak yang mana ia tidak pernah disaksikan sejak lebih lima dekad lalu.

Memandangkan ekonomi dunia terus menghadapi ketidaktentuan ini, maka penting untuk setiap individu dan pemilik perniagaan mengambil langkah proaktif serta bersiap siaga bagi menghadapi krisis ekonomi pada tahun ini.

Beberapa langkah dan strategi perlu diambil bagi memastikan individu dan pemilik perniagaan bersedia mengharungi sebarang kemelut ekonomi mendatang.

Langkah pertama wajar dilakukan ialah membuat perancangan kewangan. Dalam membincangkan perancangan kewangan, kisah Nabi Yusof AS diceritakan oleh al-Quran wajar diambil pengajaran.

Allah SWT berfirman bermaksud: "Dia (Yusuf) berkata, 'Supaya kamu bercucuk tanam tujuh tahun (berturut-turut) sebagaimana biasa; kemudian apa yang kamu tuai hendaklah kamu biarkan di tangkainya kecuali sedikit untuk kamu makan". (Surah Yusof: ayat 47).

Pengajaran daripada kisah Nabi Yusuf ini adalah setiap individu bahkan pemilik perniagaan perlu sentiasa berjimat cermat dan berhemat berbelanja serta sentiasa memastikan sebahagian hasil diperoleh itu disimpan untuk kegunaan pada waktu sukar.

Perancangan kewangan harus merangkumi belanjawan, senarai perbelanjaan dan rancangan untuk menyimpan serta melabur. Perancangan kewangan ini tidak akan berjaya sekiranya tiada iltizam tinggi untuk menjayakannya.

Perancangan ini juga harus disesuaikan dengan situasi kewangan, namun begitu ia tidak seharusnya terlalu 'rigid' dan tidak membenarkan sebarang fleksibiliti sekiranya berlaku kemelesetan ekonomi di luar dugaan.

Pelbagaikan pelaburan, kurangkan risiko

Langkah kedua pula mempelbagaikan pelaburan dan ia bermaksud tidak hanya menumpukan pelaburan dalam satu portfolio sahaja, sebaliknya harus merentas kelas aset berbeza.

Langkah ini boleh membantu mengurangkan risiko dan pada masa sama menyediakan masa depan kewangan lebih terjamin. Selain itu, rakyat patut melabur dalam aset tidak terikat secara langsung dengan pasaran saham, seperti emas, perak serta mata wang kripto.

Namun begitu ia bergantung kepada kesediaan setiap individu atau pemilik perniagaan sama ada sanggup atau tidak untuk berhadapan dengan risiko dalam pelaburan ini khususnya membabitkan wang kripto kerana ia mempunyai kadar turun- naik sangat tinggi.

Langkah ini jika diambil sedikit sebanyak mampu boleh memberikan perlindungan terhadap turun naik pasaran dan membantu melindungi individu dan pemilik perniagaan daripada kerugian ketika berlaku kemelesetan ekonomi.

Langkah ketiga ialah mewujudkan tabung kecemasan. Tabung ini adalah akaun simpanan boleh digunakan untuk menampung perbelanjaan tidak dijangka atau menyediakan sumber kewangan sekiranya berlaku krisis ekonomi.

Dalam tindakan ini, penting untuk kita menyimpan sekurang-kurangnya tiga hingga enam bulan perbelanjaan dalam tabung kecemasan untuk memastikan wang mencukupi bagi menampung sebarang kos tidak dijangka.

Langkah keempat ialah mengurangkan hutang. Langkah ini boleh membantu membebaskan aliran tunai dan memberikan lebih fleksibiliti kewangan ketika kegawatan ekonomi.

Justeru, rakyat dinasihatkan tidak berhutang kecuali jika ia benar-benar perlu sama ada untuk perbelanjaan peribadi atau tujuan perniagaan.

Selain itu, mengurangkan hutang boleh membantu meningkatkan kemampuan kredit, boleh memberi manfaat kepada perniagaan dan individu jika berlaku ketidaktentuan ekonomi.

Hakikatnya, seluruh masyarakat perlu sentiasa peka dengan perkembangan ekonomi semasa dan bersedia membuat pelarasan kewangan jika perlu.

Mengikuti perkembangan terkini dengan berita dan arah aliran ekonomi juga amat membantu individu dan pemilik perniagaan bersedia menghadapi sebarang krisis ekonomi seperti diramal pakar ekonomi serta kewangan.

Penulis adalah Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Berita Harian X