Khamis, 1 Disember 2022 | 12:45pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Luaskan skop pembangunan lestari untuk manfaat rakyat

Pelaksanaan pembangunan lestari dirangka bagi memberi manfaat kepada banyak pihak dalam jangka panjang. Justeru, dasar berkaitan perlu diperhalusi dan digubal di peringkat Persekutuan sebagai agenda utama negara.

Ia juga perlu dikuat kuasa menyeluruh di peringkat kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) tetapi bukan hanya sensitif kepada impak alam sekitar semata-mata. Sebaliknya, ia perlu memenuhi aspek sosioekonomi untuk kesejahteraan bersama tanpa menjejaskan keperluan generasi akan datang.

Dalam membincangkan isu sosioekonomi rakyat, beberapa petunjuk Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) perlu diberi perhatian seperti membasmi kemiskinan, kelaparan sifar, kesihatan baik dan kesejahteraan, pertumbuhan ekonomi dan pekerjaan baik serta bandar dan masyarakat mampan.

Dalam isu kemiskinan, ketidakmampuan memenuhi keperluan asas seperti makanan, pakaian, dan tempat perlindungan dihadapi rakyat perlu diberi perhatian. Contohnya, tidak mampu menyewa atau memiliki rumah menjadi isu berpanjangan.

Ini kerana kumpulan B40 paling terkesan terutama tiada simpanan kecemasan hingga secara langsung menjejaskan kualiti kehidupan dan kesejahteraan. Pembangunan berteraskan SDG berpotensi memastikan masa depan rakyat lebih mampan dengan menyelaras pembangunan.

Pelan tindakan meningkatkan sosioekonomi rakyat amat perlu diberi perhatian, termasuk isu kualiti kehidupan dan sumber pendapatan. Rakyat mengalami kadar kenaikan gaji pada skala rendah berbanding inflasi.

Ramai buat kerja sampingan 

Ini menyebabkan ramai terpaksa melakukan dua kerja sebagai kerja sampingan semakin meningkat. Ini sangat terkait dengan keseimbangan antara bebanan kerja dan kehidupan merangkumi kesihatan, rekreasi, keperluan rohani, perancangan kewangan dan peningkatan kendiri.

Dalam isu bencana dan alam sekitar, banjir kilat tidak asing di negara ini, memberi kesan buruk kepada kualiti kehidupan rakyat, iaitu dari aspek keselamatan, kesihatan dan ekonomi isi rumah.

Terdapat mangsa banjir kehilangan ahli keluarga ketika banjir dan kemusnahan harta benda termasuk kediaman. Punca pendapatan mereka turut terjejas ketika mendepani fenomena banjir, terutama yang bekerja sendiri dalam perusahaan kecil seperti sektor pertanian dan penternakan.

Kebanyakannya daripada kumpulan isi rumah berpendapatan B40, turut menghadapi ketidakstabilan ekonomi isi rumah. Kumpulan ini lazimnya mengambil masa lama untuk mengukuhkan semula ekonomi isi rumah selepas berdepan bencana banjir.

Lebih malang lagi, apabila kumpulan ini sering menghadapi isu banjir setiap tahun, sekali gus menyukarkan mereka meningkatkan ekonomi isi rumah, akhirnya menjejaskan kualiti kehidupan.

Tidak dinafikan, banyak pihak sama ada kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir. Namun, perancangan dan tindakan pembangunan lestari secara menyeluruh dapat membantu rakyat keluar daripada kemelut banjir.

Isu banjir berulang hampir setiap tahun. Oleh itu, tindakan holistik daripada kerajaan Persekutuan hingga PBT sangat diperlukan. Apa yang penting, tindakan ini perlu bersifat berterusan dan bukan bersifat sementara.

Ini termasuk mengkaji punca banjir hingga ke akar umbi dan melakukan pelan tindakan mengatasi isu, akhirnya memantau isu ini supaya sesuatu kawasan terus kekal lestari tanpa menghadapi fenomena banjir lagi.

Pengarah & Pensyarah Institusi Penyelidikan Indonesia, Thailand & Singapura, Pusat Pengajian Kerajaan, Universiti Utara Malaysia (UUM)

Berita Harian X