Jumaat, 7 Oktober 2022 | 12:00pm
Penyampaian ilmu yang lebih berkualiti melalui KBAT dalam PdP melahirkan pelajar berkualiti. - Foto hiasan/Aizuddin Saad
Penyampaian ilmu yang lebih berkualiti melalui KBAT dalam PdP melahirkan pelajar berkualiti. - Foto hiasan/Aizuddin Saad

Perkemas elemen KBAT dalam PdP bantu bina kemenjadian murid

Asas pembinaan kemenjadian murid terletak kepada kejayaan sistem pendidikan berkualiti, selari dengan perkembangan kurikulum kebangsaan digubal dan diselaraskan Kementerian Pendidikan (KPM).

Sistem pendidikan berkualiti bakal menentukan hasil pencapaian murid dalam usaha memastikan kemenjadian modal insan yang diinginkan semua pemegang taruh mencapai matlamatnya.

Justeru, asas keutamaan perlu dilaksanakan KPM adalah membina satu kurikulum memenuhi piawaian antarabangsa serta menjadikan pendidikan di Malaysia sentiasa berdaya saing.

Justeru, ia perlu memberi penekanan kepada aspek kemahiran berfikir aras tinggi melalui kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif, penyelesaian masalah secara konstruktif serta efisien dan serta penghasilan inovasi berkualiti.

Untuk itu, kurikulum kebangsaan perlu sentiasa disemak dan disesuaikan dengan perkembangan semasa bagi tujuan melahirkan generasi seimbang serta mempunyai elemen kalis masa depan dengan kewujudan perkembangan internet benda (IoT), teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), keusahawanan, pengurusan acara serta memacu pendidikan abad ke-21.

Bagi memastikan murid mampu menguasai Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dalam pendidikan abad ke-21 ini, mereka perlu didedahkan dengan kemenjadian bakat, nilai murni, potensi diri dan kemahiran berfikir secara kritis, kreatif dan inovatif serta mampu untuk bersaing pada peringkat antarabangsa.

Namun, KBAT perlu selari dengan enam aspirasi murid seperti dinyatakan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) iaitu setiap murid akan mempunyai pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika dan kerohanian serta identiti nasional.

Perkasa kemahiran berfikir pelajar

Semakan kurikulum sering dilaksanakan antaranya Kemahiran Berfikir Secara Kritis dan Kreatif (KBKK) dalam kurikulum kebangsaan sejak 1994 melalui Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM).

Seterusnya, Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah
Menengah (KSSM) pula diperkenalkan mulai 2011 sehingga kini sebagai usaha memperkasakan
kemahiran berfikir dengan memberi penekanan kepada kemahiran menaakul.

Pelbagai kemahiran berfikir digabungkan sehingga menghasilkan satu tema dikenali sebagai KBAT bagi tujuan melahirkan pelajar mampu membuat pertimbangan dan keputusan secara
tepat serta penilaian adil lagi matang dalam menyelesaikan masalah.

Pelaksanaan KBAT mula menjadi satu anjakan paradigma dalam sistem kurikulum negara bagi tujuan menghadapi persaingan global semakin
sengit dalam persekitaran ekonomi dipacu inovasi serta berhadapan dunia dilatari pergolakan,
ketidakpastian, kompleks dan kekaburan (VUCA).

Justeru, pelaksanaan KBAT dalam sistem persekolahan perlu diperkemaskan menerusi penggunaan pendekatan menyeluruh dan sistematik
merangkumi tujuh elemen.

Tiga elemen utama adalah kurikulum, pedagogi dan pentaksiran serta empat elemen sokongan
iaitu kokurikulum, sokongan komuniti dan swasta, sumber dan bina upaya.

KBAT diterapkan dalam sistem persekolahan supaya murid tidak hanya menghafal, tetapi juga memahami dan mengetahui apa yang mereka pelajari serta menggunakan akal fikiran pada tahap tinggi dengan menguasai kemahiran menilai, mengaplikasi, menganalisis dan mencipta.

Apa yang penting, pelaksanaan KBAT perlu disuburkan dalam pembelajaran dan pengajaran (PdP) supaya kemenjadian murid dapat dicapai secara seimbang dan menyeluruh serta mempunyai elemen kalis masa depan yang mampu berhadapan dengan cabaran dunia VUCA.

Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perlis

Berita Harian X