Rabu, 5 Oktober 2022 | 12:45pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Naikkan syarat kelulusan minimum jururawat

Ramai mungkin terlepas pandang tahap kesihatan masyarakat dapat ditingkatkan bergantung kepada keupayaan negara menyediakan jururawat berkemahiran.

Apatah lagi jururawat menjadi kunci untuk memastikan kesihatan rakyat dapat dilindungi, sekali gus paling dekat dengan masyarakat. Oleh itu, nasihat dan fakta berkaitan ilmu kesihatan diberikan jururawat perlu tepat, jelas, saintifik dan profesional.

Bagaimanapun, kemajuan pesat sains perubatan dan peningkatan populasi pesakit pada masa kini menjadikan sistem penjagaan kesihatan lebih kompleks. Tidak seperti 50 tahun lalu, kesedaran rakyat terhadap tahap kesihatan juga semakin bertambah. Lambakan maklumat sedia ada di media sosial boleh membantu tetapi ada ketikanya menimbulkan kekeliruan.

Faktor ini menjadikan tugas menyampaikan maklumat kesihatan semakin mencabar dan rumit untuk ahli profesional kesihatan umumnya serta jururawat khususnya. Oleh itu, tahap pendidikan jururawat perlu selari kemajuan teknologi dan keperluan semasa.

Tidak dapat dinafikan corak pendidikan kejuru- rawatan di negara ini sudah berkembang dengan penggantian tahap kelulusan daripada sijil kepada diploma kejururawatan. Namun, masyarakat global memerlukan tahap profesionalisme jururawat 'dinaik taraf.' Jururawat juga harus memiliki ijazah sarjana muda seperti profesion lain, termasuk pegawai dietetik dan ahli farmasi.

Syor ijazah sarjana muda syarat minimum 

'Naik taraf' ini selari dengan perancangan strategik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) 2021-2025 yang mencadangkan ijazah sarjana muda sebagai syarat minimum untuk bekerja dalam bidang kejururawatan dan kebidanan.

Tentu timbul persoalan apakah pelaburan menaik taraf tahap pendidikan jururawat berbaloi? Menurut Suruhanjaya Peringkat Tinggi, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Pekerjaan Kesihatan dan Pertumbuhan Ekonomi), pelaburan ini memberikan pulangan tiga kali ganda termasuk hasil kesihatan lebih baik dan pertumbuhan ekonomi inklusif.

Institut Perubatan Amerika Syarikat atau kini dikenali sebagai Bahagian Kesihatan dan Perubatan Akademi Sains Kebangsaan Amerika Syarikat (AS) mensasarkan 80 peratus daripada jururawat perlu mempunyai ijazah kejururawatan.

Sasaran ini ditetapkan berdasarkan hasil penyelidikan membuktikan institusi kesihatan dengan jururawat kelulusan minimum ijazah sarjana muda mempunyai kadar kematian lebih rendah, tempoh hospitalisasi lebih singkat dan kurangnya kemasukan semula pesakit ke hospital.

Laporan kajian menunjukkan jururawat berkelulusan ijazah menyumbang kepada pengalaman positif dalam penjagaan pesakit dan keluarga serta membantu mengurangkan kos hospitalisasi.

Di Thailand, ijazah sarjana muda menjadi kelayakan minimum untuk berkerja dalam bidang kejururawatan dan ini diselaraskan sejak 2000 lagi. Malah, negara jiran terdekat kita, Singapura juga mendahului dengan pendaftaran jururawat amalan lanjutan di peringkat sarjana. Filipina dan Indonesia juga melangkah ke hadapan.

Seharusnya Malaysia tidak boleh jauh ketinggalan, sebaliknya biar duduk sama rendah, berdiri sama tinggi.

Menjelang 2030, Pertubuhan Kesihatan Dunia menjangkakan terdapat tambahan 9 juta jururawat diperlukan bagi memastikan semua negara mencapai Matlamat Pembangunan Mapan (SDG) ketiga, iaitu kesihatan dan kesejahteraan.

Bagaimanapun, perlu diingat pencapaian kesihatan bukan hanya bergantung kepada bilangan juru- rawat terlatih, bahkan sejauh mana mereka mampu menyumbang kepada kualiti penjagaan optimum dan pengalaman positif pesakit.

Siti Roshaidai adalah Pensyarah Kanan Kejururawatan dan Kebidanan, Kulliyyah Kejururawatan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), manakala Muhammad Kamil adalah Dekan Kulliyyah Kejururawatan UIAM

Berita Harian X