Selasa, 4 Oktober 2022 | 12:40pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Celik kewangan bantu serap kenaikan OPR

Keputusan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas daripada 2.25 peratus pada Julai kepada 2.5 peratus pada September lalu tidak sangkal menimbulkan rasa kurang senang rakyat, terutama peminjam.

Kenaikan OPR ini adalah kali ketiga berturut-turut dengan nada magnitud sama. Secara kumulatif, ia mewakili kenaikan 75 mata asas ataupun 0.75 peratus sejak September 2020.

Rasa kurang senang ini berikutan peminjam beranggapan tindakan itu membebankan mereka apabila ansuran bulanan pinjaman bank sama ada perumahan atau peribadi mula meningkat.

Ini adalah suatu realiti baharu sukar diterima peminjam ketika mereka baru mula hendak tersenyum selepas menempuh fasa endemik sejak 2020.

Golongan B40 dan mungkin juga sebilangan kumpulan M40 akan sangat terkesan akibat kenaikan OPR ini, lebih-lebih lagi ketika berdepan dengan masalah inflasi.

Namun, rakyat harus sedar Malaysia mengalami paras terendah OPR pada kadar 1.75 peratus sekitar Julai 2020 sehingga Mei lalu.

Kadar rendah ini bertujuan membantu pertumbuhan ekonomi ketika berdepan era pandemik COVID-19. Ini bermakna strategi dasar monetari untuk tempoh Julai 2020 hingga Mei lalu perlu diterbalikkan sehingga kenaikan OPR ini mencapai kadar inflasi stabil dan cukup baik untuk aktiviti serta pertumbuhan ekonomi mampan.

Rangka strategi lonjak ekonomi 

Pertumbuhan ekonomi mampan ini pula perlu terus dikekalkan bagi menjana semula ekonomi dengan melonjakkan pertumbuhan industri strategik dan berimpak tinggi termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Namun, kadar OPR ini diharap tidak mencapai tahap paling tinggi dalam sejarah 18 tahun kebelakangan ini pada 3.5 peratus seperti pernah ditetapkan pada April 2006.

Rakyat berharap, walaupun OPR dinaikkan, tindakan itu cukup untuk membendung inflasi dan tidak sampai ke tahap negara terjerumus kepada ekonomi meleset.

Kesimpulannya, keputusan MPC dilihat realistik pada masa ini kerana Malaysia mengamalkan ekonomi banyak bersasar kepada kadar faedah.

Orang ramai pula masih mempunyai beberapa pilihan untuk difikirkan buat masa kini. Selaras dengan tindakan MPC ini, mereka boleh mengurangkan perbelanjaan dan mencari peluang melabur dalam persekitaran kadar faedah lebih tinggi.

Antara pelaburan difikirkan sesuai menabung di dalam akaun simpanan biasa dan simpanan tetap bagi orang perseorangan atau melabur dalam instrumen bon bagi entiti lebih besar.

Perlu disedari, peluang pelaburan juga terbuka di pasaran saham kerana nilai saham akan sampai ke paras cukup menarik untuk dimiliki.

Tindakan menentang arus tidak dicadangkan sama sekali ketika ini kerana apa yang berlaku di luar kawalan individu disebabkan persekitaran ekonomi sekarang lebih bersifat didominasi faktor makro.

Pensyarah Kanan (Kewangan), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka

Berita Harian X