Sabtu, 1 Oktober 2022 | 12:45pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Rangkaian 5G beri impak teknologi media sosial

Teknologi 5G adalah generasi terkini teknologi rangkaian mudah alih dan dijangka mencecah 1.2 bilion sambungan rangkaian di seluruh dunia menjelang akhir 2022.

Teknologi 5G berupaya memberikan kelajuan 20 kali lebih pantas daripada rangkaian 4G yang digunakan pengguna gajet ketika ini.

Ini bermakna aktiviti penstriman adalah lebih pantas, permainan menggunakan rangkaian 5G mudah alih tanpa sekatan dan pengalaman penyemakan imbas yang lancar.

5G menawarkan lebih jalur lebar dalam meminimumkan atau menghapuskan kesesakan populasi yang semakin meningkat seiring dengan peningkatan populariti peranti internet benda (IoT).

Ia juga berupaya mengurangkan isu kependaman, iaitu sela masa penghantar maklumat dan penerimaan maklumbalas.

Oleh yang demikian, teknologi 5G dikatakan dapat memberikan pengalaman baharu lebih lancar kepada pengguna media sosial apabila masa yang diambil bagi memuat halaman dijangkakan berkurangan secara mendadak.

Pengalaman ini sebahagian daripada impak peningkatan jalur lebar yang turut menjadikan perhubungan antara pengguna dan perkongsian maklumat menjadi lebih mudah dan pantas.

Perkongsian jenis maklumat seperti video turut dapat dimainkan lebih panjang. Justeru, akan berlaku peningkatan kandungan penstriman dan

prarakaman terhadap video di media sosial kelak.

Namun, ia bukan satu isu bagi teknologi 5G termasuk memuat naik dan memuat turun video definisi tinggi.

Kesediaan rangkaian 5G negara menurut Digital Nasional Berhad (DNB) menjelang akhir 2022 dijangkakan pada 40 peratus kawasan berpendudukan di Malaysia. Pada akhir 2024, negara menyasarkan rangkaian 5G meliputi 80 peratus kawasan.

Liputan 5G masih terhad 

Pada masa ini, Putrajaya, Cyberjaya, Kuala Lumpur, Selangor dan Johor menawarkan liputan 5G, namun ia masih terhad.

Usaha pelbagai pihak termasuk perjanjian kerjasama program Country Digital Acceleration (CDA) antara Telekom Malaysia Bhd (TM) dan Cisco International Limited (Cisco) pada Jun lalu sejajar dengan aspirasi digital Malaysia (MyDIGITAL).

MyDIGITAL di bawah kendalian MyDIGITAL Corporation mempunyai inisiatif mentransformasi Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi dipacukan pendigitalan dan menjadi peneraju serantau dalam ekonomi digital.

Media sosial adalah sebahagian daripada teknologi komunikasi yang menyumbang kepada ekonomi digital. Menurut data reportal.com, pada awal 2022, terdapat hampir 30.25 juta pengguna media sosial di Malaysia.

Statistik ini adalah sebahagian daripada maklumat peningkatan jumlah pengguna antara 2021 dan 2022 iaitu 2.30 juta.

Seperti disampaikan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM), Datuk Seri Mohammad Mentek pada September 2021, media sosial juga menjadi ejen penyebaran maklumat kepada rakyat.

Namun pada masa sama masyarakat perlu bijak menilai sesuatu maklumat diterima sebelum disebarkan kepada orang lain. Facebook, YouTube, Instagram, TikTok, LinkedIn dan Snapchat antara enam pelantar media sosial pilihan penduduk Malaysia ketika ini.

Sebagai penyumbang kepada ekonomi digital, media sosial digunakan secara meluas dan menjadi pilihan memperkenal dan memasarkan produk mahupun perkhidmatan sesuatu perniagaan. Gambar dan video kini menjadi dua bentuk maklumat digunakan secara meluas oleh peniaga.

Oleh yang demikian, dengan kesediaan rangkaian 5G, negara kini dalam peringkat tinggi menyediakan infrastruktur mencapai piawaian dan keperluan global, sekali gus dijangka memberi kesan besar terhadap ekonomi Malaysia, terutama di era Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

Apa yang penting pihak berkuasa atau kerajaan perlu memastikan harga akses 5G tidak membebankan kumpulan berpendapatan rendah supaya mereka tidak tercicir dalam jurang digital.

Penyedia rangkaian 5G di negara ini harus menawarkan kadar dan pakej berpatutan kerana kebanyakan rakyat adalah pekerja makan gaji yang kini bergelut dengan kenaikan kos sara hidup.

Justeru, aspek kemampuan rakyat golongan B40 juga perlu diambil kira supaya mereka turut mendapat manfaat daripada penyediaan rangkaian 5G.

Pensyarah Kanan Seksyen Teknologi Kejuruteraan Komputer, Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Information Technology (UniKL MIIT)

Berita Harian X