Sabtu, 10 September 2022 | 3:25pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Selesai segera pembahagian kerusi, elak senario PRU-14 berulang

Gendang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) mula bertalu, namun ada isu berbangkit belum diselesaikan pada peringkat kepartian seperti rundingan pembahagian kerusi dua parti terbesar Melayu-Islam, iaitu UMNO dan PAS.

Polemik itu bakal memberikan implikasi meluas seperti mobilisasi jangka panjang dan pendek, selain agenda pengukuhan penyatuan ummah.

Kerjasama politik diolah antara UMNO-PAS bermula kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada PRU-14 dengan menjadikan kegagalan kerajaan ketika itu dalam beberapa hal dan dasar membabitkan hak keistimewaan orang Melayu dan Islam.

Ia menjadi peluru politik meningkatkan semula sokongan seperti terbukti dalam siri pilihan raya kecil (PRK) dimenangi Barisan Nasional (BN), sekali gus menggambarkan BN dan UMNO mampu kembali berkuasa jika modal politik agenda Melayu-Islam diletakkan dalam konteks bersesuaian.

Namun, perlu diingatkan prestasi itu perlu disertakan keberadaan PAS kerana kedua-dua parti perlu mengekalkan kerusi status quo majoriti Melayu dan selebihnya kerusi Pakatan Harapan (PH) dimenangi pada PRU-14 perlu dirampas semula.

Jika pembahagian gagal direncanakan, tidak mustahil PRU-15 bakal mengulangi fenomena perpecahan undi yang memberikan keuntungan besar kepada PH.

Bagaimanapun, proses pembahagian akan dibayangi beberapa kekangan seperti kecenderungan PAS memilih UMNO atau BERSATU, selain keegoan serta keyakinan UMNO dan BN bergerak solo pada PRU-15 berdasarkan prestasi PRN Melaka dan Johor.

Ketika ini, tumpuan UMNO adalah menang sebanyak mungkin kerusi majoriti Melayu, tetapi perlu mengakui agak sukar menawan kerusi campuran dan majoriti bukan Melayu rata-rata di beberapa kawasan bandar utama.

Isu korupsi pengaruhi undi

Lebih-lebih lagi, beberapa pemimpin utama parti itu kerap dikaitkan skandal politik utama hingga ada dipenjarakan yang menjadikan pilihan utama pengundi di kawasan bandar lebih kritikal. Boleh diandaikan pengundi jenis ini menjadikan isu korupsi sebagai sesuatu mempengaruhi mereka di peti undi.

Apa yang hanya tinggal bagi UMNO ialah kerusi status quo yang sebahagian besar di luar bandar. Ini menjadikan persoalan rundingan dengan PAS semakin kompleks kerana sebilangan besar pemimpin UMNO pada peringkat negeri tidak mahu berbuat demikian.

Di Kelantan dan Terengganu, hampir mustahil PAS berkompromi untuk memberikan laluan dengan mengorbankan separuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada UMNO.

Dalam hal lain, kekusutan pembahagian menyerlahkan lagi agenda sebenar politik Melayu-Islam. Apakah ingin dikejarkan? Adakah untuk menjatuhkan DAP, menumpaskan PH atau menjadi dominan dan kingmaker?

Sepatutnya implikasi PRN Melaka dan Johor sudah cukup untuk PAS dan BERSATU belajar daripada kesilapan percaturan serta taktikal mereka.

Sekurang-kurangnya PAS mempunyai sokongan akar umbi seperti di Kelantan, Terengganu dan Kedah yang tidak dimiliki BERSATU. Masih terlalu awal untuk menyimpulkan kekuatan sebenar parti itu selain hanya merumitkan lagi komposisi undi Melayu.

Ditambah pula Gerakan Tanah Air (GTA) diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad akan menjumudkan lagi peluang pengundi membuat keputusan.

Bagaimanapun dilema turut dihadapi PAS jika memilih kekal dalam Muafakat Nasional (MN) kerana akan dibayangi UMNO dalam apa juga aspek dan perlu berkompromi di kubu kuat di Pantai Timur. Namun, seandainya PAS memilih Perikatan Nasional (PN), harga perlu dibayar adalah mengulangi senario sama di Melaka dan Johor.

Cuma, ia memberikan sedikit pengukuhan imej kepada PAS jika MN tidak dijadikan sebagai rakan politik kerana pengundi melihat parti itu menjauhkan diri daripada pemimpin sedang dibicarakan di mahkamah.

Walaupun tidak signifikan sepenuhnya, ia perlu dipertimbangkan. Apa yang pasti, rundingan politik dan pembahagian kerusi kali ini tidak didominasi lagi persoalan Melayu-Islam, tetapi lebih kepentingan khusus memberikan kelebihan kepada setiap parti mengukuhkan kuasa.

Jika benar agenda Melayu-Islam menjadi keutamaan, sudah tentu UMNO, PAS dan BERSATU akan menguburkan perbezaan, lalu duduk di bawah bumbung sama memulakan kempen melawan PH.

Namun, senario kali ini berbeza kerana ketika ketidaktentuan sosiopolitik dan ekonomi semakin rancak, kebarangkalian pengundi untuk membuat keputusan afirmatif adalah tinggi. Justeru, UMNO, PAS dan BERSATU perlu membuat pertimbangan sewajarnya secepat mungkin, terutama kerusi kritikal mereka.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Berita Harian X