Rabu, 21 September 2022 | 12:45pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

ASEAN perlu beri perhatian isu kesihatan mental

Gelombang masalah kesihatan mental terus mencetuskan kebimbangan sejak dunia dilanda COVID-19 hingga Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) melaporkan peningkatan masalah itu yang ketara, iaitu 25 peratus dengan belia antara paling terdedah.

Di Singapura, Tinjauan Kesihatan Populasi Kebangsaan 2020 mendedahkan 13.4 peratus responden mempunyai masalah kesihatan mental berbanding 12.5 peratus pada 2017, manakala BMC Public Health di Laos melaporkan kelaziman berlaku masalah kesihatan mental adalah 18 peratus dalam kalangan lelaki dan wanita berusia 18 hingga 49 tahun di wilayah Yangon.

Statistik dari Jabatan Kesihatan Mental Hospital Bach Mai pula mendapati 30 peratus rakyat Vietnam mempunyai sekurang-kurangnya satu masalah kesihatan mental dan separuh daripada mereka memerlukan rawatan.

Di Kemboja, Kajian Vojvoda and Meas pada 2021 mendapati 58 peratus pelajar sekolah menengah mengalami sekurang-kurangnya satu isu kesihatan mental.

Kajian Han di Brunei pada 2020, mendapati kira-kira 7,000 pesakit menerima rawatan penyakit mental, bilangan orang mengalami masalah kesihatan mental menyumbang 1.5 peratus daripada penduduk negara itu.

Laporan Jabatan Kesihatan Filipina pada 2020, menunjukkan sekurang-kurangnya 3.6 juta rakyat negara itu mengalami sekurang-kurangnya satu jenis gangguan mental dan saraf.

Pelbagai inisiatif atasi masalah 

Situasi ini boleh dianggap sebagai 'panggilan kejut' kepada negara ASEAN supaya memberi perhatian lebih khusus kepada kesihatan mental.

Justeru, pelbagai inisiatif dilakukan antaranya Pelan Tindakan Kesihatan Mental WHO 2013-2030, Kempen Kesedaran Kesihatan Mental 2020 oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bersama ASEAN, Rangka Kerja Strategik ASEAN 2020 untuk Kecemasan Kesihatan Awam, Pelan Hala Tuju Kerjasama Kesihatan Mental ASEAN-Australia 2021, ASEAN Work Plan on Youth 2021-2025 dan ASEAN Youth Development Index (YDI) 2021.

Di negara ini pula, pelbagai inisiatif mengatasi masalah kesihatan mental dilaksanakan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak berkepentingan dengan membangunkan Pelan Strategik Kesihatan Mental Kebangsaan 2020-2025, Pembangunan Indeks Kesejahteraan Psikologi Malaysia serta Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) 2020.

Banyak lagi inisiatif kerajaan mencegah isu ini umpamanya Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS), Pusat Komuniti Kesihatan Mental (MENTARI), Kempen Media Let's TALK Minda Sihat serta Perkhidmatan e-Sokongan Psikologi.

Berdasarkan laporan kajian Indeks Belia Malaysia (2021) oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES), tahap kesejahteraan hidup belia secara keseluruhannya berada pada tahap sederhana dengan skor pencapaian 69.79.

Namun, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan dalam kenyataannya berkata, 1,708 kes bunuh diri dilaporkan sepanjang tempoh Januari 2019 hingga Mei 2021 dengan fakta lebih membimbangkan adalah kebanyakan mangsa berumur 15 hingga 40 tahun.

Justeru, antara langkah proaktif diambil adalah dengan melaksanakan program khusus kepada belia seperti Ujian Saringan Minda Sihat, Program Terapi Minda, kempen dan forum kesedaran, Klinik Psikologi dan Program Support Group.

Bagi meningkat kesedaran belia, IYRES juga melaksanakan Kajian Pembangunan Indeks Kesihatan Mental Belia Malaysia dan Pelan Tindakan dan Garis Panduan Kesihatan Mental Belia dan kini, dalam perancangan untuk melaksanakan Kajian Indeks Kesihatan Mental Belia peringkat ASEAN.

Dapatan kajian ini penting sebagai input dalam usaha penggubalan kertas dasar pembangunan pelan tindakan dan polisi belia negara lebih efektif bagi membantu golongan itu.

Eksekutif Penyelidik, Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES)

Berita Harian X