Selasa, 20 September 2022 | 12:45pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Pendidikan awal demensia cegah gejala lebih teruk

Kita sering mendengar kempen kesedaran kepentingan penjagaan kesihatan berkaitan penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis, darah tinggi dan penyakit jantung dalam kalangan warga emas.

Namun, topik penyakit demensia atau nyanyuk agak kurang diceritakan termasuk dalam ceramah kepada warga emas sendiri, terutama ketika daya kognitif mereka masih baik.

Pada masa sama, kempen demensia juga selalunya dihalakan kepada penjaga pesakit demensia ketika ibu bapa atau datuk nenek mereka sudah disahkan menghidap demensia untuk memberikan kefahaman mengenai gejala pesakit berkenaan, lantas mengurangkan beban sebagai penjaga.

Ada berpandangan agak biadab untuk kita menceritakan suatu penyakit dikira sebagai sesuatu aib kepada orang tua yang masih sihat.

Barangkali ini disebabkan mempunyai gejala penyakit ini termasuk tingkah laku memalukan seperti kegagalan mengawal emosi, lupa teruk dan hilang daya berfikir hingga tidak mampu mengenal pasti antara makanan dengan kekotoran seperti najis.

Demensia sebenarnya penyakit berkaitan penyusutan kebolehan kognitif, memori dan membuat keputusan dengan gejalanya mengganggu aktiviti harian. Penyakit alzheimer pula antara jenis paling biasa dihidapi warga emas.

Namun, ada dalam kalangan masyarakat salah faham dengan menganggap demensia sebagai tanda penuaan normal. Hakikatnya, ramai warga emas meniti usia tanpa penyakit demensia.

Pendedahan penyakit demensia atau nyanyuk kepada warga emas sihat sebenarnya sangat penting kerana Malaysia akan menjadi negara tua menjelang 2030, iaitu 15 peratus penduduknya berusia 60 tahun dan ke atas, sekali gus memastikan kita melakukan beberapa persediaan.

Kesedaran terhadap kesihatan minda 

Data menunjukkan dalam setiap 100 warga emas berusia 65-69 tahun, 20 peratus menghidap demensia dan 85-89 tahun (20 peratus). Dapatan kajian di Amerika Syarikat (AS) juga menunjukkan demensia semakin menghampiri golongan muda yang purata usia mendapat penyakit itu ialah 49 tahun.

Oleh itu, pendedahan awal mengenai demensia kepada warga emas penting dapat menimbulkan kesedaran terhadap kesihatan minda mereka, sekali gus membolehkan mereka membuat keputusan masa hadapan secara terbaik dan penuh kewarasan.

Golongan itu perlu membuat keputusan berkaitan kewangan, wasiat dan kualiti kehidupan diingini daripada penjaga mereka nanti. Dalam keadaan sihat, warga emas boleh berbincang dan mendapat sokongan anak, sesuatu tidak dapat dilakukan sekiranya mengalami demensia teruk.

Walaupun ubatan merawat demensia tidak dijumpai lagi, warga emas boleh memperlahankan keterukan gejala penyakit itu. Hal itu boleh diketahui sekiranya pendidikan awal mengenai demensia diberikan kepada warga emas yang masih sihat kerana peluang menghidapnya boleh dikurangkan.

Pendidikan dan saringan awal demensia bukan sahaja penting untuk mereka mempunyai kualiti kehidupan baik, bahkan boleh hidup lebih lama. Melalui pengesanan awal, ia dapat memberikan lebih banyak masa kepada pesakit untuk memahami dan menyesuaikan diri dengan gejalanya.

Dari segi pelaksanaan, pusat jagaan seperti Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) boleh mengadakan sesi saringan kesihatan mental menjurus pengesanan demensia secara berkala, di samping pendidikan kesihatan serta aktiviti mempromosi kesihatan dan kestabilan mental kepada penghuni.

Anak atau penjaga boleh membawa warga emas untuk menjalani pemeriksaan tambahan semasa menghadiri janji temu berkala di klinik kesihatan. Sebahagian klinik dan hospital berpakar mempunyai klinik memori untuk melakukan ujian memori, kognitif dan keupayaan berfikir.

Realitinya, pendidikan awal demensia kepada warga emas amat penting dapat memberikan persediaan mencukupi sekiranya ditakdirkan mereka menghidapnya kerana keputusan kewangan, sokongan, penjagaan dan penentuan kualiti kehidupan adalah sesuatu yang boleh dirancang.

Ketua Sektor Kejururawatan I-Medik

Berita Harian X