Jumaat, 5 Ogos 2022 | 2:21pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Rangka kaedah pembelajaran lebih strategik, kalis cabaran

COVID-19 bukan sahaja 'memakan' ramai korban di Malaysia, menimbulkan masalah kesihatan berpanjangan, kesengsaraan kewangan yang teruk, bahkan turut menyumbang kepada permasalahan sosial lain.

Umpamanya, baru-baru ini dilaporkan lebih 30,000 atau 2.6 peratus daripada kira-kira 1.1 juta mahasiswa di universiti awam gagal menamatkan pengajian ketika COVID-19 pada 2020 dan 2021.

Jumlah ini belum lagi mengambil kira data di universiti swasta. Jika dicampur dengan semua universiti terdiri daripada 20 universiti awam, 48 universiti swasta dan 33 kolej universiti, maka jumlah itu mungkin berlipat kali ganda.

Mahasiswa gagal menamatkan pengajian biasanya terdiri daripada dua kategori. Pertama, gagal menamatkan pengajian pada tempoh ditetapkan dan kedua, gagal menamatkan pengajian dan berhenti atau diberhentikan.

Tanpa mengambil kira status berkenaan, sudah pasti fenomena ini perlu penyelesaian segera. Berdasarkan sumber Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), antara faktor utama kegagalan mahasiswa menamatkan pengajian disebabkan masalah kesihatan, isu peribadi, gagal peperiksaan dan gagal mendaftar.

Namun, langkah menanganinya turut diambil seperti menyediakan kemudahan biasiswa dan bantuan kewangan kepada golongan sasar yang layak, termasuk pelajar B40, menyediakan program intervensi bukan akademik seperti perkhidmatan kaunseling, program motivasi, program mentor-mentee, Program Khas Akademik dan lain-lain.

Persoalannya, apakah langkah ini memadai? Sejauh manakah keberkesanannya dan apakah langkah jangka panjang supaya isu ini tidak berulang?

Selain faktor dinyatakan, kaedah pembelajaran turut menyumbang kepada kegagalan berkenaan. Sebelum COVID-19 melanda negara, kaedah pembelajaran diadakan secara bersemuka.

Pembelajaran dalam talian hanya didedahkan kepada pensyarah dan mahasiswa yang terbabit dalam pengajian jarak jauh atau pengajian luar kampus.

Pendek kata, pengurusan universiti, pensyarah dan mahasiswa sebelum ini lebih selesa dengan kaedah bersemuka dan kurang bersedia dengan pembelajaran dalam talian.

Pensyarah sukar pantau pelajar

Namun, berikutan penularan COVID-19 sehingga ke tahap pandemik, KPT menetapkan kaedah pembelajaran dalam talian. Namun ia menyukarkan pensyarah memantau keadaan pelajar. Pensyarah juga tidak dapat mempelbagaikan strategi pengajaran seperti kuliah bersemuka.

Bagi mahasiswa pula terutama pelajar baharu, mereka kurang menyesuaikan diri dengan kaedah pembelajaran baharu ini. Selain tidak rapat dengan pensyarah, mereka tidak mengenali rakan sekelas.

Minggu suai kenal yang bertujuan untuk pelajar menyesuaikan diri hidup di kampus terpaksa dibuat dalam talian. Akhirnya, pembelajaran menjadi sehala, hambar dan membosankan.

Masalah menjadi lebih parah apabila pelajar sukar memberi komitmen dan kerjasama dalam kerja kumpulan.

Selain itu, faktor sekeliling tidak kondusif melunturkan semangat mahasiswa meneruskan pengajian.

Bagi ibu bapa berkemampuan, mereka boleh menyediakan ruang pembelajaran khas, tetapi bagaimana bagi mahasiswa dalam kalangan keluarga kurang berkemampuan.

Ia menimbulkan gangguan daripada persekitaran rumah, selain masalah seperti ketidakstabilan internet, terpaksa berkongsi gajet dan sebagainya.

Memahami keadaan ini, ada universiti mengambil langkah proaktif dengan membenarkan mahasiswa tinggal di kampus walaupun pembelajaran diadakan dalam talian.

Untuk mengatasi kegagalan mahasiswa menamatkan pengajian berulang pada masa akan datang, pihak berkaitan khususnya pensyarah dan pelajar perlu berusaha meningkatkan lagi komunikasi efektif antara mereka.

Justeru, pendekatan baharu mungkin wajar diperkenal seperti mewujudkan elaun komunikasi pensyarah supaya dapat menghubungi mahasiswa, terutama didapati kurang menyerlah tahap akademik.

Kedua, meningkatkan elaun biasiswa atau pinjaman dengan mengambil kira keperluan mahasiswa berkomunikasi dengan pensyarah dan rakan sekuliah.

Ketiga, mengadakan bengkel kemahiran komunikasi kepada pensyarah dan mahasiswa secara berkala.

Pepatah Melayu menyebut, 'kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya'. Mungkin dengan sedikit 'pelaburan' ini, masalah mahasiswa gagal menamatkan pengajian dapat di atasi atau dikurangkan pada masa depan.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Seksyen Pembangunan Pelajar dan Gaya Hidup, Kampus UniKL MICET

Berita Harian X