Selasa, 2 Ogos 2022 | 12:04pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Transformasi pendidikan pikat generasi muda lanjut pengajian

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan satu laporan kaji selidik menunjukkan ramai lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) didapati enggan melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Apa yang membimbangkan adalah masalah ini turut membabitkan pelajar mendapat keputusan cemerlang dalam SPM. Laporan itu juga menunjukkan pengurangan jumlah pelajar melanjutkan pengajian dalam jurusan sains amat ketara.

Hal ini boleh mengakibatkan negara kekurangan cendekiawan saintis yang amat penting dalam pembangunan sains dan teknologi negara pada masa hadapan.

Terdapat pelbagai faktor menyebabkan masalah ini berlaku antaranya pengaruh rakan sebaya kerana ada di antara mereka mampu menjana pendapatan lumayan melalui platform media sosial, walaupun ketika di bangku sekolah.

Selain itu, ramai pempengaruh (influencer) dilihat menjana pendapatan jauh lebih besar daripada seseorang memiliki kelulusan universiti atau bekerja dalam sektor awam. Faktor lain adalah generasi hari ini didedahkan dengan gajet pada awal usia. Perkara ini tidak dapat ditolak kerana pandemik COVID-19 mengajar kanak-kanak berusia seawal tiga tahun didedahkan dengan gajet dalam proses menuntut ilmu.

Menerusi gajet inilah remaja kita berkomunikasi dan menimba ilmu. Bagi mereka, ilmu dan kemahiran boleh diperoleh di mana sahaja, antara mahu atau tidak sahaja mereka hendak belajar.

Justeru, bagi remaja kini, universiti dilihat tidak lagi relevan untuk dijadikan sasaran cita-cita untuk menuntut ilmu dan menjadi jambatan untuk mendapat pendapatan setimpal kelulusan. Untuk meletakkan kesalahan kepada golongan muda susulan timbul masalah ini semata-mata adalah sesuatu yang prejudis.

Pelbagai platform tawar peluang pendidikan

Hari ini, terdapat banyak platform lain boleh digunakan untuk mendapatkan segulung ijazah. Ada universiti, termasuk Universiti Islam Antarabangsa (UIA) mewujudkan program mikro-kredential yang membolehkan sesiapa sahaja untuk mendapatkan sijil tanpa perlu hadir ke universiti.

Universiti terkemuka luar negara turut menjalankan program ini seperti Universiti Oxford, Universiti Harvard dan Massachusetts Institute of Technology (MIT).

Universiti tidak ketinggalan melakukan transformasi bagi membolehkan program persijilan, diploma, ijazah bahkan sarjana dapat ditawarkan secara dalam talian menerusi platform seperti EdX, cousera dan sebagainya. Bagaimanapun, terdapat pelbagai kursus kritikal masih memerlukan seseorang individu belajar bersemuka di universiti atau institut pengajian tinggi (IPT).

Sebagai contoh, seorang pegawai farmasi bekerja di jabatan farmasi hospital kerajaan perlu melalui program ijazah sarjana muda farmasi dari universiti memperoleh akreditasi. Sistem pembelajaran ini biasanya dimulakan dengan satu tahun di pusat asasi dan diakhiri empat tahun di universiti awam atau swasta. Bidang perubatan, pergigian dan farmasi ialah perkhidmatan kesihatan yang kritikal kepada negara.

Ilmu diajar di universiti merangkumi pelbagai cara penyampaiannya, termasuk pengajaran di dewan kuliah, praktikal di makmal dan latihan industri di hospital serta di farmasi komuniti.

Tanpa silibus disusun rapi, seseorang tidak layak untuk mengendalikan perkhidmatan farmasi komuniti sendiri. Adalah mustahil untuk kos seperti ini diajar di dalam platform mikro-kredential seperti Cousera dan sebagainya memandangkan keperluan klinikal perlu dipenuhi.

Justeru, generasi muda hari ini perlu sedar akan kepentingan melanjutkan pengajian di universiti atau mana-mana IPT meskipun secara mikro-kredential.

Namun, kerajaan dan universiti juga perlu lebih proaktif menangani isu bagi memastikan hanya kursus yang boleh memenuhi keperluan pekerjaan ditawarkan. Tindakan beberapa universiti menjumudkan kursus yang tidak dapat membantu graduan mendapat pekerjaan selepas bergraduat perlu dilihat secara positif bagi meningkatkan kepercayaan lepasan SPM untuk menimba ilmu di menara gading.

Penulis adalah Dr Syahrir adalah Pensyarah, Kulliyyah Farmasi, manakala Dr Mohd Hafiz adalah Timbalan Dekan Pembangunan Pelajar dan Penglibatan Komuniti, Kulliyyah Pergigian, Universiti Islam Antarabangsa (UIA)

Berita Harian X