Jumaat, 24 Jun 2022 | 10:45am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Cekap urus kos, bantu atasi kenaikan harga barang

Isu kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang sering diperdebatkan belum menunjukkan tanda akan pulih dalam jangka masa terdekat. Walaupun seakan pasrah, masyarakat masih mengeluh dengan fenomena yang berlaku.

Jika melihat bagaimana isu kenaikan harga ayam ditangani, perbincangan dan perdebatan bagai nyanyian lagu bangau oh bangau.

Keluarga muda juga berhadapan kos penjagaan anak yang tinggi, tidak setimpal dengan gaji diperoleh. Rekod perbelanjaan keperluan asas rata-rata rakyat Malaysia kini menunjukkan trend peningkatan.

Krisis ekonomi akibat pandemik COVID-19 bukan sesuatu di luar jangkaan. Langkah pencegahan penularan jangkitan diambil kebanyakan negara seperti penutupan sempadan antarabangsa, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), larangan perjalanan dan penutupan perniagaan secara tidak langsung menjejaskan setiap peringkat dalam rantaian penawaran barang serta perkhidmatan.

Kekurangan penawaran bekalan ini sering diketengahkan sebagai punca utama kenaikan harga. Barang makanan diimport juga mengalami kenaikan harga susulan perang Russia-Ukraine, sekali gus mengakibatkan penawaran berkurang.

Kadar tukaran mata wang tinggi turut menyebabkan kenaikan harga barang. Bagi pengeluar yang perlu mengimport bahan mentah, ia menyebabkan kos pengeluaran meningkat dan peningkatan kos pengeluaran ini dipindahkan kepada

rakyat dalam bentuk harga barangan tinggi.

Satu langkah jarang diketengahkan dalam menangani isu kenaikan harga barang adalah kecekapan mengurus kos. Ia tidak mendapat liputan sewajarnya mungkin kerana menguruskan kos memerlukan kesabaran dan penelitian rekod perakaunan.

Mengurus kos bukan semata-mata mengurangkan kos atau menurunkan kualiti barang serta perkhidmatan. Tindakan menjual barang dengan harga sama, tetapi pada kuantiti sedikit tidak langsung menepati maksud mengurus kos.

Sebagai contoh, tindakan sesetengah peniaga pasar malam mengurangkan saiz kuih atau menukar jenis tepung untuk menghasilkan roti canai adalah langkah jangka pendek menangani kenaikan harga bahan, namun dalam jangka panjang ia memberi kesan kepada kepuasan pelanggan.

Dalam mengurus kos, langkah pertama boleh diambil peniaga ialah menyenaraikan aktiviti atau langkah diambil dalam penghasilan barang atau penawaran perkhidmatan.

Daripada senarai langkah biasa dilakukan, peniaga boleh mengenal pasti mana satu daripada kebiasaan ini tidak memberi nilai tambah kepada pengeluaran akhir.

Nilai tambah adalah merujuk kepada apa dilihat sebagai bermakna dari kaca mata pelanggan. Nilai tambah kepada barang atau perkhidmatan bukan sesuatu bernilai hanya dari kaca mata pengeluar.

Tindakan pengeluar menjustifikasi keperluan naik harga barang dan perkhidmatan seperti dilapor dalam media, tidak membantu meningkatkan nilai tambah barang berkenaan.

Jika aktiviti tidak bernilai tambah ini dapat dikenal pasti dan seterusnya dikurangkan, kos perniagaan dalam penghasilan barang dan perkhidmatan pasti dapat diurus dengan lebih baik.

Menjejaki isu penawaran dan permintaan barang dalam menangani kenaikan harga barang dan perkhidmatan, belum tentu ia dapat diselesaikan dalam jangka pendek.

Perniagaan yang cekap mengurus kos akan berupaya meletakkan harga lebih kompetitif dan seterusnya menawarkan barang dan perkhidmatan mampu dimiliki ramai orang.

Pensyarah Pusat Kajian Perniagaan Global dan Digital Ekonomi, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Berita Harian X