Jumaat, 10 Jun 2022 | 11:00am
Pengusaha PKS perlu bijak memanfaatkan media sosial dalam mempromosi dan meningkatkan pemasaran produk masing-masing. - Foto hiasan/Aizuddin Saad
Pengusaha PKS perlu bijak memanfaatkan media sosial dalam mempromosi dan meningkatkan pemasaran produk masing-masing. - Foto hiasan/Aizuddin Saad

Galak PKS manfaat media sosial tingkat pemasaran produk

Data daripada Jabatan Perangkaan menunjukkan sebahagian besar institusi perniagaan di Malaysia adalah perusahaan kecil dan sederhana (PKS), iaitu sebanyak 97.4 peratus. PKS juga antara penyumbang besar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Pada 2020, PKS menyumbang 38.2 peratus atau RM512.8 bilion. Bermakna PKS antara tulang belakang ekonomi negara Malaysia.

Namun, kajian mendapati PKS kurang menggunakan media sosial dalam pemasaran mungkin disebabkan kekurangan sumber dan kepakaran. Hanya 64 peratus syarikat PKS dilaporkan menggunakan media sosial sebagai saluran pemasaran.

Sementara itu, 50 peratus PKS terbabit pengeluaran makanan dan minuman dikatakan gagal bertahan dalam pasaran lebih daripada lima tahun dan antara sebabnya kurang penggunaan media sosial dalam pemasaran.

Malaysia menjadi negara ketiga paling tinggi selepas Brunei Darussalam dan Singapura dalam penggunaan media sosial.

Terdapat banyak jenis media sosial digunakan seperti Facebook, Instagram, YouTube, Twitter, LinkedIn dan TikTok.

Media sosial memiliki pelbagai fungsi selain menjadi alat berinteraksi secara maya. Ia menjadi platform interaksi komuniti maya sama ada berkongsi permainan dalam talian, lagu, visual, video, iklan atau promosi produk perkhidmatan dan penjualan.

Pendek kata, media sosial mempunyai potensi tinggi bagi aktiviti pemasaran, sekali gus membantu meningkatkan jualan dan menjana keuntungan serta menepis kerugian.

Terdapat banyak kelebihan menggunakan media sosial dalam pemasaran antaranya berhubung secara langsung dengan pelanggan, mewujudkan tanggapan positif terhadap jenama, akses segera ke pasaran dan capaian serta liputan pasaran besar.

Penjenamaan adalah penting bagi setiap organisasi bukan sahaja bagi meraih keuntungan, malah meningkatkan daya saing dan kelestarian pada masa hadapan. Justeru, media sosial patut digunakan sepenuhnya sebagai saluran pemasaran dan penjenamaan.

Namun, aspek ekuiti jenama amat penting jika ingin meningkatkan pemasaran terutama dalam industri makanan dan minuman. Ekuiti jenama penting bagi meningkatkan kesedaran dan kepercayaan pelanggan, meningkatkan jualan dan merangsang pembelian ulangan.

Kepuasan pelanggan pula penting bagi kompetensi syarikat yang mana ia dapat membantu sesebuah organisasi kekal mampan. Justeru, ulasan dan maklum balas daripada orang berpengaruh (influencer) juga penting bagi mempromosikan jenama.

Sebaiknya PKS merujuk kepada etika penggunaan media sosial disediakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam memastikan penggunaan media sosial tidak bercanggah atau melanggar peraturan serta perundangan.

Perkara paling utama perlu dipatuhi dalam penggunaan media sosial untuk pemasaran ialah tiada elemen palsu atau komen negatif pada produk dijual.

Maka, PKS tidak seharusnya melepaskan peluang memanfaatkan media sosial untuk mempromosi dan meningkatkan pemasaran produk mereka terutama selepas terpaksa bergelut selama dua tahun akibat penangan pandemik COVID-19.

Selain dapat mengurangkan jangkitan COVID-19 kerana tidak perlu melakukan urusan bersemuka, liputan media sosial juga bersifat menyeluruh kerana boleh dilakukan setiap masa dan ditujukan kepada semua prospek pelanggan dalam dan luar negara.

Pemasaran menerusi media sosial juga menjimatkan kos pengiklanan PKS kerana ia menjadikan pengguna lebih peka untuk menilai sesuatu produk, jenama atau perkhidmatan. Ini adalah antara faktor penting diambil perhatian PKS bagi menjamin kesetiaan pengguna pada jenama.

Penulis adalah Profesor Madya di Jabatan Syariah dan Pengurusan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM)

Berita Harian X