Ahad, 5 Jun 2022 | 11:00am
Konvensyen Barisan Nasional (BN) di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. - NSTP/Asyraf Hamzah
Konvensyen Barisan Nasional (BN) di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. - NSTP/Asyraf Hamzah

BN perlu formula hadapi 'wajah baharu' PKR, gabungan PN

PALUAN gendang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) semakin kuat kedengaran selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan ia boleh diadakan bila-bila masa pada Konvensyen Barisan Nasional (BN) di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, Rabu lalu, Naib Presiden UMNO itu memberi jaminan tidak akan melewatkan PRU-15 walaupun sesaat jika BN sudah bersiap sedia.

Konvensyen dihadiri pemimpin dan perwakilan dari UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) itu, sudah melaungkan kesiapsiagaan menebus kekalahan lalu yang membelenggunya lebih empat tahun.

Mereka sepakat memastikan BN menang dengan majoriti dua pertiga, sekali gus memperoleh kuasa mutlak dalam pentadbiran penggal lima tahun seterusnya.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan pasukan kerja pusat BN diketuai Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Hassan akan turun ke negeri meninjau persiapan jentera parti, pertengahan bulan ini.

Beliau yang juga Presiden UMNO mahu Jawatankuasa Pilihan Raya BN pada setiap peringkat diaktifkan segera dengan gerakan biru dan lambang dacing menjadi lambang kesatuan, kesetiaan serta kestabilan.

Kemenangan pada pilihan raya kecil (PRK) dan dua pilihan raya negeri (PRN) di Melaka serta Johor, memberi keyakinan kepada BN untuk melakar kejayaan lebih besar.

Melihat kejayaan itu, BN dijangka mengekalkan strategi sama pemilihan calon, iaitu 'Boleh Menang, Diterima dan Disukai', selain penampilan lebih ramai muka baharu selepas langkah membariskan 87 peratus pada PRN Melaka dan Johor (79 peratus) membuahkan hasil.

Namun harus diingat, majoriti dua pertiga tidak pernah dicapai BN sejak PRU-12, justeru sasaran itu bukan mudah. Mungkin ia berhasil di PRN, namun bagi pentas PRU lebih besar, BN perlu bekerja lebih keras menarik hati pengundi.

Jika PRU-15 diadakan bila-bila masa, seramai 21.09 juta pengundi akan layak mengundi, angka direkodkan bulan lalu, turut merangkumi hampir 5.9 juta pengundi didaftarkan automatik melalui pewartaan Seksyen 3(a) dan (b) Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019.

Peningkatan dalam daftar pemilih tentunya membawa kesan besar kepada sokongan, justeru BN perlu mencari jalan menarik pengundi terutama golongan muda. Peratusan keluar mengundi dua PRN lalu, menunjukkan minat golongan itu mengambil bahagian dalam memilih wakil di Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak memberangsangkan.

Menang besar di PRN juga bukan tiket selesa untuk BN. Parti lawan pasti merangka formula baharu memperbaiki prestasi hambar mereka. PH terutama akan berusaha lebih keras untuk kembali berkuasa kerana kerajaan mereka yang pertama kali menang sejak merdeka, jatuh tanpa melalui pilihan raya.

Perubahan kepemimpinan dalam PKR, baru-baru ini, terutama kemenangan Rafizi Ramli sebagai Timbalan Presiden akan menambah 'beban' kepada BN untuk menangkis serangan. Kepakaran beliau membawa isu nasional dan mencipta persepsi terhadap lawan bukan lagi asing dalam gelanggang politik negara.

Justeru, seperti kata Mohamad, BN tidak boleh lagi menunggu diserang, sebaliknya mengubah kepada strategi agresif untuk menyerang. Isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan rasuah yang menjadi modal pembangkang pada PRU lalu, tidak ditangani dengan baik, menyebabkan rakyat menjatuhkan hukum.

BERSATU dan PAS juga bukan saingan mudah yang akan merangka strategi baharu, terutama memberi tentangan hebat kepada UMNO bagi menarik pengundi Melayu. Jalinan mereka dijangka terus diperkukuh, selain kemungkinan berusaha menarik parti lain di bawah Perikatan Nasional (PN).

BN juga sehingga kini masih tidak mampu menembusi kubu PAS di Terengganu dan Kelantan. Jika pendekatan sama diulang untuk PRU-15 bagi menarik pengundi sudah biasa dengan PAS, sasaran mendapat 'kuasa mutlak' tidak akan dicapai sepenuhnya.

Jangan menjanjikan sesuatu mustahil dilaksanakan dan jadikan manifesto PH sebagai sempadan yang hingga kini kegagalannya masih dipersoalkan.

Selain UMNO, parti komponen perlu memainkan peranan lebih efektif untuk menarik pengundi. MCA mesti memenangi semula hati orang Cina, selepas akar umbi kaum itu dikatakan mula tawar hati dengan DAP kerana didakwa tidak menunaikan sebahagian janji dibuat pada PRU-14.

BN juga, sebagai parti kuat mendesak pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) antilompat parti perlu memastikannya berkuat kuasa sebelum PRU-15, supaya tiada lagi 'lompat-melompat' dalam kalangan Ahli Parlimen.

Dalam keadaan pemulihan ekonomi negara kesan COVID-19, selain persekitaran global termasuk perang dan perubahan iklim, episod pada penggal pentadbiran kerajaan selepas PRU-14, tidak boleh lagi berulang.

Kedudukan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri, memberi bonus kepada BN untuk menentukan tarikh PRU-15. Apa pun, Perdana Menteri sudah menyatakan perlu berbincang dengan pimpinan BN dan lima pemimpin tertinggi UMNO. Beliau yang sebelum ini berpendapat, sekarang bukan masa sesuai untuk PRU wajar mengambil kira pelbagai isu dihadapi negara seperti kenaikan kos sara hidup dan inflasi.

Apapun keputusannya, kebajikan rakyat mesti menjadi keutamaan kerana mereka mempunyai kuasa ke atas undi. Jika mandat rakyat mahu segera dikembalikan, masanya perlu tepat dan yakinkan rakyat bakal menyaksikan perubahan melalui PRU kerana mereka sudah muak dengan politik 24 jam yang tidak mendatangkan manfaat.

Penulis adalah Wartawan BH

Berita Harian X