Jumaat, 3 Jun 2022 | 11:00am
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Membudayakan integriti penyelesaian rasuah

Isu integriti dan tadbir urus dalam kalangan penjawat awam, termasuk agensi penguatkuasaan jika tidak dibendung, ia mampu menjadi barah merebak ke seluruh organisasi hingga akhirnya menyebabkan perkhidmatan awam dipandang hina dan jelek oleh masyarakat.

Modenisasi diakui antara faktor menyumbang perubahan dalam sistem nilai masyarakat hingga mewujudkan sikap tidak bertanggungjawab dan tidak berintegriti.

Oleh itu, kerajaan melancarkan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 bagi memperbaiki integriti dan membanteras rasuah, sekali gus membendung salah guna kuasa, birokrasi, campur tangan ahli politik serta memperkemaskan tadbir urus kerajaan. Inisiatif ini disasarkan menjadi panduan pengurusan pentadbiran kerajaan, terutama memperbaiki kelemahan dan mengelak sistem dimanipulasi serta mengukuhkan integriti pegawai kerajaan.

Walaupun pelan menyeluruh ini sepatutnya menjadi tunjang utama pembanterasan rasuah di negara ini, malangnya pelaksanaan NACP tersekat-sekat dengan banyak inisiatif masih tertangguh. Lantaran, pelaksanaan NACP perlu dinilai semula dengan mengambil kira perkembangan kebelakangan ini, termasuk kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2021, apatah lagi Laporan Semakan Semula Separuh Penggal NACP 2019-2023 dibentangkan baru-baru ini, mencatatkan hanya 33 peratus inisiatif dicapai.

Penurunan kedudukan Malaysia dalam CPI 2021 adalah realiti pahit, tetapi perlu diterima hati terbuka, selain menjadi isyarat penting kepada perkhidmatan awam dan swasta di negara ini untuk meneruskan tekad membanteras gejala berkenaan.

Semua ini memperlihatkan, usaha memperkasa tadbir urus baik dalam kerajaan, pengukuhan integriti kakitangan awam dan pemantapan usaha antirasuah dalam pentadbiran kerajaan dan korporat perlu dilipatgandakan supaya hasrat membasmi rasuah dan meningkatkan imej perkhidmatan awam dan korporat serta menjadikan Malaysia sebagai negara bersih rasuah dan dihormati dapat direalisasikan.

Hakikatnya, pelaksanaan semua inisiatif NACP memerlukan komitmen, dedikasi dan kerjasama semua peringkat dalam kerajaan mahupun korporat.

Dua institusi penting perlu digerakkan secara agresif bagi mencapai objektif NACP adalah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Institut Integriti Malaysia (IIM).

SPRM berperanan sebagai badan pelaksana berkuasa melakukan pendakwaan berkaitan rasuah, manakala IIM berperanan membangun dan menjayakan agenda pembudayaan integriti dalam agensi kerajaan, korporat serta komuniti setempat.

Selanjutnya, pelaksanaan Pelan Tadbir Urus Baik Nasional (MyGovernance) juga dilihat dapat membantu agensi kerajaan mengatasi isu kelemahan tadbir urus, integriti, ketirisan, ketidakcekapan sistem penyampaian perkhidmatan awam, isu ketelusan dan kerenah birokrasi dalam pentadbiran kerajaan.

Ia juga bertujuan memastikan penggunaan sumber secara cekap dan berkesan serta memantapkan integriti, nilai dan etika organisasi untuk menghasilkan budaya kerja cemerlang, sejajar dengan antara strategi utama Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) ke arah memperkukuh penyampaian perkhidmatan sektor awam menerusi peningkatan ekosistem tadbir urus baik.

Justeru, agenda membangunkan MyGovernance dan pelaksanaan pelbagai inisiatif di bawah NACP secara berterusan diharap berupaya mengembalikan keyakinan orang awam serta masyarakat antarabangsa terhadap institusi kerajaan.

Paling utama, semua ketua jabatan dan penjawat awam perlu melipatgandakan usaha memperkukuhkan integriti serta tadbir urus menerusi pelaksanaan inisiatif di bawah pelan antirasuah organisasi (OACP) yang dibangunkan agensi masing-masing.

Rasuah berkait rapat dengan integriti, kita semua perlu bertekad dan bekerja keras membanteras rasuah dengan membudayakan integriti yang tinggi dalam kalangan agensi dan individu, sama ada dalam perkhidmatan awam atau swasta.

Penulis adalah Ketua Laboratori Belia Dalam Kepimpinan, Politik dan Kewarganegaraan, Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia (UPM)

Berita Harian X