Rabu, 1 Jun 2022 | 3:06pm
Malaysia percaya kunci perdamaian di Palestin terletak pada AS, satu-satunya kuasa besar dunia boleh mempengaruhi sekutu dan rakan akrabnya Israel untuk menamatkan kekejaman itu. Foto EPA
Malaysia percaya kunci perdamaian di Palestin terletak pada AS, satu-satunya kuasa besar dunia boleh mempengaruhi sekutu dan rakan akrabnya Israel untuk menamatkan kekejaman itu. Foto EPA

Tak minta bayaran suarakan perjuangan Palestin

KETIKA pemimpin ASEAN duduk semeja dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden yang menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS di Washington bulan lalu, kebanyakan isu disuarakan mempunyai banyak persamaan.

Mereka membangkitkan isu seperti konflik Ukraine-Russia dan Myanmar, Laut China Selatan, ekonomi dan hubungan dengan AS yang sewajarnya mendapat perhatian Biden sendiri yang mahu pengaruh negara itu kekal di rantau Asia Tenggara atas nama keamanan dan kestabilan.

Benar isu-isu dibangkitkan itu mempunyai merit atau kewajarannya, namun Malaysia juga mengambil peluang menyuarakan isu lebih dekat di hati Keluarga Malaysia tetapi tidak disentuh pemimpin ASEAN lain.

Pertemuan dengan Biden sebenarnya membuka peluang kepada Malaysia untuk melontarkan pandangannya mengenai perjuangan umat Islam di Palestin. Jika keamanan benar-benar diinginkan kuasa besar dunia itu, ia tidak seharusnya membabitkan rantau ini tetapi juga di seluruh dunia.

Malaysia tak minta imbalan perjuangkan Palestin

Sememangnya isu Palestin sentiasa dekat di hati pemimpin dan Keluarga Malaysia. Di mana-mana pentas dunia sekalipun, usaha mewujudkan negara Palestin merdeka dan penindasan rakyatnya oleh rejim Zionis Israel terus diperjuangkan tanpa meminta sebarang imbalan.

Malaysia percaya kunci perdamaian di Palestin terletak pada AS, satu-satunya kuasa besar dunia boleh mempengaruhi sekutu dan rakan akrabnya Israel untuk menamatkan kekejaman itu, sekali gus akur kepada resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya diwujudkan negara Palestin berdaulat berdasarkan garis sempadan pra-1967 dan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Palestin.

Negara kuasa besar dunia itu sebenarnya mampu membantu menangani ketidakadilan di dunia, lantas Sidang Kemuncak Khas ASEAN juga dilihat sebagai platform sesuai dan tepat dalam menyuarakan isu Palestin-Israel yang masih belum selesai sejak lebih 74 tahun lepas.

Menyedari hakikat itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan berani membangkitkan isu berkenaan, sekali gus membuktikan keseriusan beliau dalam meneruskan perjuangan belum selesai.

Hormati kedaulatan, kemerdekaan wilayah

Ismail Sabri mengakui beliau puas hati kerana dapat menyuarakan pandangan berkaitan Palestin itu. Ini kerana ia disuarakan di bumi kuasa besar dunia yang juga sekutu kuat Israel dan dinyatakan di hadapan Biden sendiri.

Ketika bertemu pada majlis sekembalinya beliau daripada Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS, Ismail Sabri ditanya mengenai maklum balas Biden terhadap isu Palestin dibangkitkan, Perdana Menteri berkata, Biden mengambil perhatian terhadap isu itu.

Malaysia yakin AS dapat memberikan sumbangan besar kepada penyelesaian konflik Palestin-Israel berdasarkan kuasa dan pengaruhnya.

Seperti juga negara lain, Malaysia mengharapkan kuasa besar bersikap lebih adil dan jujur dalam menyelesaikan konflik semasa termasuk isu pertikaian antara Russia-Ukraine dan Myanmar khususnya pelarian Rohingya.

Sehubungan itu, Ismail Sabri mempunyai pendapat selari dengan pemimpin ASEAN lain bahawa semua pihak perlu menghormati kedaulatan, kemerdekaan politik dan integriti wilayah.

Begitu juga halnya dalam persoalan berkaitan perlu ada penyelesaian damai di Myanmar dan isu berkaitan pelarian di Rohingya dilakukan secara tuntas.

Selesaikan segera konflik Russia-Ukraine, elak ekonomi terjejas

Dunia ini sebenarnya boleh diibaratkan perkampungan, iaitu anggota masyarakatnya saling memerlukan untuk tinggal dengan aman dan meneruskan kelangsungan hidup.

Menyedari hakikat itu, Malaysia dan negara anggota ASEAN lain mahukan setiap konflik berlaku diselesaikan, apatah lagi konflik Ukraine-Russia yang kini menyebabkan pertumbuhan ekonomi dunia terjejas, sekali gus menyaksikan kadar inflasi dan harga makanan mula melambung.

Keadaan dunia kini sudah cukup melelahkan, lebih-lebih lagi kebanyakan negara dunia sedang berusaha untuk bangkit kembali setelah lebih dua tahun dilanda pandemik COVID-19.

Pemimpin ASEAN tahu Sidang Kemuncak Khas sebenarnya dijadikan platform oleh Biden untuk mencari pengaruh dan juga menunjukkan kuasanya kepada pesaingnya seperti China dan Russia.

Bukanlah menghairankan apabila pada sidang itu, Biden turut mengumumkan pemberian AS$150 juta (RM658 juta) sebagai peruntukan tambahan kepada AS$100 juta (RM439 juta) janji yang dibuatnya pada 1 Oktober tahun lalu atas nama untuk mengukuhkan kerjasama AS-ASEAN.

Peruntukan dijanjikan AS untuk tujuan kerjasama maritim, infrastruktur, keselamatan, persediaan menghadapi pandemik.

Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS ini adalah kedua diadakan selepas kali pertama diadakan di California pada 2016 ketika negara berkenaan diterajui Presiden Barack Obama yang pernah dibesarkan di Indonesia, sekali menjadikan lebih dekat dengan rantau ini.

Negara rantau sebelah sini juga akur AS adalah penting kepada ASEAN kerana bukan sahaja kerana kuasa besar dunia tetapi kedudukannya sebagai rakan dagang penting. Perdagangan dua hala antara AS dan ASEAN bernilai AS$308.3 bilion (RM1.4 trilion) pada 2020.

Malah, negara kuasa besar dunia juga sumber terbesar pelaburan langsung asing (FDI) kepada ASEAN dengan jumlah pelaburan sebanyak AS$34.7 bilion (RM152.3 bilion).

Selain pergantungan kepada ekonomi, AS juga dijadikan sandaran negara ASEAN menjamin kestabilan daripada sebarang pertikaian terutama membabitkan Laut China Selatan sebagai kawasan perairan aman, stabil dan makmur.

Sebagai negara kecil, Malaysia turut bergantung kepada pelaburan daripada negara asing terutama AS.

Biarpun AS dilihat katakan mempunyai agendanya sendiri, tidak dinafikan sidang kemuncak ini juga menyaksikan pencapaiannya apabila negara kuasa besar dan ASEAN komited terus bekerjasama dalam menggalakkan perdagangan dan pelaburan serta memastikan rantaian bekalan global berdaya tahan dan ketersambungan serantau lancar.

Ini termasuk barangan keperluan seperti bekalan perubatan, ubat-ubatan, vaksin, makanan dan produk pertanian, komoditi, produk berteknologi tinggi serta bekalan dan perkhidmatan penting lain, menyumbang kepada pemulihan dan daya tahan ekonomi mampan di rantau ini.

PM pastikan suara Malaysia terus signifikan di pentas antarabangsa

Sidang Kemuncak Khas ini turut menyaksikan Malaysia berjaya menarik peluang pelaburan apabila Ismail Sabri dalam lawatan kerjanya bertemu dengan pemimpin syarikat AS terkemuka seperti Microsoft, Google, Tesla, Boeing, IBM, Texas Instruments, GE Aviation, Conoco Phillips, Ford, National Instruments, Infineon, Micron dan Insulet.

Malah, beberapa perjanjian persefahaman juga dimeterai dan surat hasrat bertukar tangan.

Ini sekali gus memberi harapan mengenai kehadiran pelabur asing menanam modal semakin cerah apabila misi pelaburan Malaysia ke AS pada pada 9 hingga 18 Mei, iaitu sepanjang tempoh keberadaan Perdana Menteri berjaya menarik RM16.52 bilion pelaburan baharu.

Secara keseluruhannya, sidang kemuncak khas baru berakhir itu adalah kejayaan besar buat Malaysia kerana suaranya terus kedengaran di peringkat antarabangsa.

Pada masa sama, ia juga membuktikan solidariti negara anggota dalam menyuarakan secara tegas komitmen mereka bagi menjamin kepentingan rantau Asia Tenggara walaupun konflik Myanmar mencemar prinsip gagasan serantau itu yang wujud sejak pembentukan ASEAN pada 1967.

Lebih membanggakan Keluarga Malaysia ialah apabila Ismail Sabri menggunakan bahasa Malaysia dalam ucapan beliau ketika menyuarakan idea dan pendirian Malaysia serta ASEAN.

Ini membuktikan betapa seriusnya Ismail Sabri dalam memperkasakan dan memartabatkan bahasa Melayu sehingga peringkat antarabangsa.

Berita Harian X