Isnin, 30 Mei 2022 | 1:22pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Elak 'bom jangka' industri pengeluaran makanan meletup

Siapa sangka negara boleh berhadapan dengan masalah kekurangan bekalan ayam kerana selama ini pengeluar tempatan bukan sahaja mampu menampung permintaan pasaran, malah turut mengeksportnya kepada pengguna di negara jiran Singapura.

Mengikut data Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MAFI), purata keperluan daging ayam di negara ini berjumlah 2.09 juta ekor sehari dengan 62.9 juta ayam diperlukan bagi pasaran tempatan sebulan.

Bagaimanapun, data Jabatan Veterinar mula mengesan penurunan pengeluaran ayam sejak Oktober 2021 apabila hanya 52 juta ekor dikeluarkan, sebelum pengeluaran terus menurun kepada 51.4 juta pada November.

Pengeluaran ayam sebenarnya meningkat kepada 61.1 juta pada Disember lalu, namun masih belum mencapai keperluan sebenar 62.9 juta bagi menampung permintaan yang sepanjang masa sememangnya tinggi.

Akibatnya, pengguna gagal mendapat bekalan ayam mencukupi mula membuat pelbagai andaian dan melemparkan tuduhan kepada penternak ayam didakwa sengaja enggan meningkatkan pengeluaran hingga ke tahap dakwaan wujud kartel dalam industri ternakan.

Hakikatnya, penternak ayam turut berhadapan pelbagai cabaran dan birokrasi untuk meningkatkan pengeluaran seperti diperlukan pasaran, tetapi perlu melakukannya mengikut peraturan serta mengelak kerugian.

Tanpa memihak kepada penternak, cabaran utama pengusaha ternakan ayam adalah kenaikan harga dedak kini mencecah RM130 bagi per beg 50 kilogram berbanding sebelum ini cuma antara RM80 ke RM90.

Bahan dedak yang 70 peratus daripadanya campuran jagung bijirin dan kacang soya adalah diimport sepenuhnya dari luar negara sebelum proses penghasilannya dibuat di kawasan industri Pelabuhan Klang.

Suka atau tidak, dedak tetap diperlukan penternak ayam kerana ia sumber tenaga dan protein utama kepada anak ayam yang memerlukan masa 30 hari dalam proses tumbesarannya sebelum dapat dijual.

Penternak ayam turut berhadapan masalah kekurangan tenaga kerja berikutan kemasukan pekerja asing masih dilakukan berperingkat dengan keutamaan diberikan kepada sektor perladangan dan perindustrian.

Akibatnya, bilangan pekerja di ladang tidak mencukupi hingga dikhabarkan seorang pekerja di ladang terpaksa menjaga lebih 50,000 ekor ayam selain perlu melakukan pelbagai pekerjaan, termasuk memastikan kebersihan reban.

Ini semua memberi kesan kepada pengeluaran ayam kerana penternak tahu kemampuan mereka mengeluarkan ayam dan tidak boleh meningkatkan jumlah ternakan tanpa memiliki tenaga kerja mencukupi.

Ketika isu bekalan ayam tidak mencukupi, timbul pula laporan berkaitan kekurangan bekalan ikan menurun hingga 70 peratus di utara Semenanjung apabila hanya 300,000 tan ikan didaratkan sejak dua bulan lalu, berbanding kebiasaan lebih satu juta tan.

Walaupun, Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) dan pengusaha bot nelayan swasta masih menyimpan bekalan ikan lebih 200 tan ketika ini, jumlah itu hanya mampu menampung permintaan pasaran bagi tempoh kurang 20 hari.

Kekurangan bekalan hasil laut ini boleh dikait masalah pencemaran dan kegiatan menangkap ikan menggunakan bubu naga yang mampu mengaut apa sahaja, termasuk ikan kecil.

Berkongsi perasaan kecewa, Pengerusi Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (JARING), Che Ani Mat Zain menjelaskan penggunaan bubu naga bukan sahaja memusnahkan ekosistem laut, bahkan 'membunuh' kira-kira 60,000 nelayan pantai.

Penggunaan bubu naga dalam tempoh panjang akan merosakkan kawasan pesisir pantai yang menjadi tempat pembiakan ikan, ketam dan siput hingga semakin sukar ditemui nelayan pantai.

Sudah puluhan tahun, JARING mendesak pihak berkuasa meningkatkan penguatkuasaan, terutama ke atas nelayan asing menggunakan bubu naga, namun pencerobohan dan penggunaan alat itu masih berlaku.

Jika dalam tempoh 20 tahun, penggunaan bubu naga tidak dikawal dan usaha menggalakkan pembiakan anak ikan di kawasan pesisir tidak dilakukan, tidak mustahil sumber rezeki nelayan pantai itu pupus.

Ia sudah dapat dilihat di Teluk Nipah, Kuala Muda, baru-baru ini, apabila kegiatan menambak laut tanpa kelulusan dilakukan pengusaha pelancongan menyebabkan pencemaran serius.

Dengan apa berlaku ketika ini, pengurusan industri pengeluaran makanan negara perlu diteliti bagi mengelak krisis makanan berulang kerana ia boleh diumpama bom masa yang mampu meledak bila-bila masa.

Berita Harian X