Khamis, 26 Mei 2022 | 12:05pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Perkukuh dasar antirasuah hadapi cabaran semasa

Persetujuan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) terhadap tiga perkara, termasuk cadangan menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Sumbangan Politik relevan dengan perkembangan landskap sosiopolitik negara.

Perdana Menteri mengumumkan ia akan dibawa untuk perbincangan di Kabinet sebelum mengadakan sesi libat urus dengan parti politik. Turut dipersetujui, cadangan memperkenalkan Pelan Tadbir Urus Baik Nasional di semua agensi kerajaan, termasuk badan berkanun.

Ia bertujuan meningkat dan memperkukuhkan keupayaan penyampaian perkhidmatan awam ke arah mencapai visi nasional serta menangani isu kelemahan tadbir urus berdasarkan empat prinsip tadbir urus baik, iaitu ketelusan, akauntabiliti, kecekapan dan keberkesanan.

Kita sudah ada Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023. Oleh itu, sebuah jawatankuasa akan dibentuk bagi pembangunan dasar itu, manakala pengukuran tahap kualiti tadbir urus sesebuah institusi kerajaan akan dibuat menerusi Malaysian Governance Index (MGI).

Perdana Menteri turut mengumumkan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) akan menjadi agensi berpusat bagi pengurusan harta disita dan dilucut hak. Beliau juga menekankan keperluan menyegerakannya bagi membanteras jenayah kewangan dan mengekang ketirisan hasil kerajaan dengan lebih berkesan.

Ketiga-tiga perkara itu penting dalam memperkukuhkan tadbir urus baik merangkumi semua peringkat pentadbiran dan pengurusan. Ini amat signifikan kerana berkait imej dan reputasi negara yang terus memperlihatkan komitmen memperkukuhkan usaha memerangi rasuah dan melaksana amalan berintegriti.

Memandangkan penggal awal NACP akan berakhir pada tahun depan, amatlah penting untuk mencari jalan memperkukuhkan segala usaha, aktiviti dan program berkaitan usaha mewujudkan persekitaran tadbir urus baik.

Mengambil kira kepentingan jangka panjang, keputusan JKKMAR dialu-alukan kerana selari dengan dua perkembangan menarik perhatian negara sebelum ini. Pertama, ketika hanya tinggal setahun lebih sebelum mandat NACP berakhir, hanya 37 atau kira-kira 33 peratus daripada 111 inisiatif diselesaikan, manakala 74 inisiatif lagi masih dikategorikan 'dalam tindakan.'

Prestasi itu mengejutkan ramai. Nampaknya ada kekurangan dan kelemahan dalam pelaksanaan. Sebulan sebelum itu, laporan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International Malaysia (TI-M) menunjukkan negara berada di tangga 62 yang juga penurunan dua tahun berturut-turut. Jadi sudah tiba masanya kita mengambil tindakan pembetulan dan penambahbaikan lebih membina.

Meskipun dapatan CPI tidak menunjukkan kedudukan rasuah secara langsung di sesebuah negara dan mengambil kira pelbagai indeks digunakan CPI, sebahagian indeks bergantung kepada negara dikaji, usaha diambil JKKMAR jika dilaksanakan dengan sistematik dan menyeluruh, diyakini akan membantu dalam memperbaiki kedudukan Malaysia.

Malah sebelum ini, wujud pelbagai pandangan diberikan agar tadbir urus baik agensi kerajaan ditambah baik bagi menyediakan perkhidmatan lebih berkualiti untuk rakyat. Ini boleh dilakukan dengan memperbaiki kaedah penyampaian perkhidmatan dan mengelakkan ketirisan yang turut dibangkitkan Laporan Ketua Audit Negara.

Diakui, sebelum ini ramai pihak sangsi dan mengandaikan kepimpinan kerajaan di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak menunjukkan komitmen dari segi dasar antirasuah dalam 10 bulan pertama sejak mengambil alih.

Dengan pengumuman minggu lalu, beliau membuktikan agenda antirasuah dan keperluan mewujudkan urus tadbir mantap kekal dalam diri beliau.

Kerajaan dipimpin Ismail Sabri membuktikan beliau tetap mengutamakan memperkukuhkan dasar antirasuah yang diharapkan rakyat. Sesi libat urus dengan semua pemegang taruh perlu diaktifkan ke arah menggubal dasar lebih mantap selari keperluan dan cabaran semasa.

Ketiga-tiga perkara diputus JKKMAR dan disokong dengan peruntukan mengekang lompat parti, yang rangka awal dijangka diputuskan minggu ini sebelum dibawa ke Parlimen bulan depan, diyakini membantu ke arah sistem tadbir urus lebih baik.

Kita berada di persimpangan untuk mewujudkan iklim yang akan membawa negara ke arah sistem tadbir urus lebih baik. Semoga langkah diumumkan Perdana Menteri akan merealisasikan harapan rak- yat. Kesinambungan usaha ini diyakini akan mewujudkan persekitaran perdagangan, perniagaan, pelaburan dan kehidupan lebih berkualiti.

Penulis adalah Pengarah Urusan Kumpulan World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) dan Pengerusi Pameran dan Persidangan Majlis Penasihat Anggota World Trade Centre Associations (WTCA

Berita Harian X