Sabtu, 21 Mei 2022 | 11:00am
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Tambah baik SOP elak buli di sekolah asrama berterusan

Laporan sekurang-kurangnya tujuh pelajar lelaki Tingkatan Dua sebuah sekolah menengah agama (SMA) berasrama penuh mengalami cedera dan trauma selepas mendakwa menjadi mangsa buli pelajar Tingkatan Empat sekolah berkenaan baru-baru ini menimbulkan persoalan sampai bila isu buli ini akan mencengkam persekolahan di asrama.

Ini bukan kes buli pertama di negara kita, kerana sebelum ini pernah ada kes buli dilaporkan sehingga mangsa meninggal dunia atau mengalami pelbagai komplikasi kesihatan dan kecederaan fizikal serta mental.

Bagaimanapun sehingga sekarang belum ada titik noktah untuk masalah sosial membimbangkan ibu bapa ini. Walaupun banyak kes dilaporkan dan diambil pelbagai tindakan, isu ini terus berulang.

Adakah ini menunjukkan langkah pencegahan diambil selama ini kurang berkesan serta belum mampu menangani masalah buli di negara kita.

Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin sebelum ini pernah menegaskan tindakan segera dan tegas akan dikenakan kepada mana-mana sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) yang cuba menyembunyikan kes buli di sekolah masing-masing.

Ia berikutan KPM tidak menolak kemungkinan terdapat kes buli tertentu 'disenyapkan' pihak sekolah bagi mengelak diketahui pihak luar.

KPM juga merangka satu tindakan bagi membanteras buli di sekolah membabitkan pengukuhan dan penambahbaikan kepada pendekatan sedia ada dengan tumpuan kepada empat komponen utama iaitu penyedaran, pelaporan, penghukuman dan pemantauan.

Ironinya, amalan buli sudah menjadi seperti 'tradisi wajib' di sekolah asrama, menyebabkan ibu bapa bimbang menghantar anak ke sekolah berasrama. Bahkan, ada bekas pelajar mengakui buli adalah lumrah, termasuk di sekolah agama berasrama.

Situasi seperti ini tidak wajar berlaku dan tidak boleh dibiarkan terus menghantui ibu bapa kerana murid terpilih dan mengikuti pengajian di sekolah berasrama penuh ini terdiri daripada kelompok anak cerdik dan memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan. Mereka sepatutnya menjadi generasi harapan masa hadapan negara.

Oleh itu, perlu ada pendekatan lebih menyeluruh untuk menamatkan noktah kepada isu buli supaya sekolah berasrama penuh terus berperanan melahirkan anak yang cemerlang dalam persekitaran kondusif dan selamat.

Justeru, sudah tiba masa kerajaan mengambil pendekatan yang lebih tegas bagi mencegah dan menangani masalah buli di sekolah. Kita tidak boleh bertoleransi lagi, sebaliknya tindakan keras serta tegas perlu kepada semua pihak untuk menamatkan kelaziman buli ini.

Dalam hal ini ibu bapa perlu mendidik anak mereka tidak menjadi pembuli. Kebiasaannya pelajar yang ada kecenderungan menjadi pembuli ini datangnya daripada keluarga bermasalah, termasuk pernah didera ahli keluarga ketika kecil.

Hal ini kerana tidak logik apabila pelajar cemerlang yang masuk sekolah berasrama boleh bertindak sangat agresif, kejam dan di luar batas kemanusiaan sehingga boleh mencederakan orang lain.

Justeru, kita yakin kumpulan pembuli ini pasti ada masalah diri lain yang mendorong mereka bertindak di luar batasan sehingga akhirnya mangsa buli menjadi mangsa keadaan atau tempat untuk mereka melepaskan geram terpendam selama ini.

KPM wajar menilai semula dan memperketatkan lagi prosedur standard operasi (SOP) atau kerangka tindakan untuk menangani kes buli di sekolah.

Dalam hal ini peranan warden asrama serta proses pemantauan terhadap gerak geri dan tingkah laku pelajar, terutama ketika berada dalam asrama selepas sesi pembelajaran wajar diberi perhatian serius.

Misalnya, aspek pemantauan seperti pemeriksaan mengejut secara berkala serta langkah penguatkuasaan hukuman sewajarnya perlu diperkasakan supaya pelajar takut serta sedar perbuatan buli itu satu kesalahan besar.

Dalam pada itu, kita berharap ibu bapa memainkan peranan lebih besar mendidik dan membentuk karakter serta sahsiah anak mereka supaya tidak menjadi pembuli.

Penulis adalah Timbalan Ketua Jawatankuasa Pemikir Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) merangkap Timbalan Pengarah Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Berita Harian X