Ahad, 8 Mei 2022 | 11:10am
Peningkatan isu gaji minimum akan mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam menjaga kebajikan kakitangan awam secara bersasar. - Foto hiasan
Peningkatan isu gaji minimum akan mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam menjaga kebajikan kakitangan awam secara bersasar. - Foto hiasan

Pertimbang gaji minimum RM1,800 penjawat awam B40

SAMBUTAN Hari Pekerja pada 1 Mei lalu diraikan ketika umat Islam sedang membuat persiapan menyambut Aidilfitri. Lebih penting lagi ketika seluruh negara sedang melalui fasa peralihan ke endemik.

Selepas hampir dua tahun melalui tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk membendung penularan COVID-19, negara memasuki fasa baharu dengan pembukaan semula sempadan negara, sektor ekonomi kembali berkembang dan pelbagai aktiviti sosial dibenarkan.

Dalam usaha mengekang penyebaran wabak COVID-19 ini memperlihatkan bahawa penting kakitangan sektor awam di Malaysia, terutama pengorbanan barisan hadapan yang banyak membantu dan berkorban nyawa membendung wabak berbahaya ini.

Tanggungjawab itu bukan sahaja digalas kakitangan perubatan dan paramedik di hospital, tetapi dilaksanakan juga pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang bertugas 24 jam, tujuh hari seminggu secara bergilir.

Mereka bertugas demi mengekang penyebaran wabak maut ini di seluruh pelosok negara sehingga terpaksa meninggalkan keluarga masing-masing. Jasa dan pengorbanan kakitangan awam ini jangan sesekali dilupakan.

Secara umumnya terdapat dua kesan besar COVID-19 kepada penjawat awam, iaitu kesan pertama, tekanan hidup khususnya membabitkan golongan pekerja berpendapatan rendah atau B40.

Tekanan ini disebabkan peningkatan kos sara hidup serta beban hutang terpaksa ditanggung sehingga memberi kesan kepada produktiviti di tempat kerja serta masa berkualiti bersama keluarga.

Ada sebahagiannya terjejas emosi akibat berdepan tekanan mental. Justeru, kerajaan disaran mempertimbangkan peningkatan gaji minimum kepada RM1,800 untuk golongan ini.

Peningkatan gaji secara bersasar bertujuan membantu kira-kira 650,000 penjawat awam di negara ini yang tergolong dalam kumpulan penerima gaji lebih rendah daripada had pendapatan garis kemiskinan (PGK) negara, iaitu RM2,208.

Kesan kedua COVID-19 ialah perubahan kaedah penyampaian perkhidmatan kepada rakyat oleh penjawat awam, terutama ketika pelaksanaan PKP yang menyaksikan hampir keseluruhan sektor ekonomi ditutup. Ketika peringkat permulaan PKP dilaksanakan, penjawat awam didedahkan dengan amalan norma kerja serba baharu yang menyaksikan pelbagai usaha dilakukan jabatan kerajaan dan penjawat awam bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas.

Sebahagian besar tugas yang dahulunya dilakukan secara manual, dipindah kepada mod digital atau perkhidmatan dalam talian sehingga mengakibatkan ramai kekok ketika tempoh awal menempuh fasa norma baharu itu.

Namun, ia kini bukan sesuatu yang janggal untuk kakitangan awam menyampaikan perkhidmatan secara dalam talian seperti pembelajaran dalam talian, persidangan, peperiksaan dan pelbagai tugas lain.

Justeru, untuk sambutan hari pekerja 2022, CUEPACS memilih tema 'Kelestarian Pendigitalan Mendepani Cabaran'.

Tema ini dipilih bersandarkan realiti masa kini dan bagi memastikan kakitangan awam bersedia serta terus kekal relevan pada masa akan datang membantu kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Kesungguhan kerajaan melaksanakan inisiatif digital ini dipaparkan menerusi Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia, dilancarkan pada 19 Februari 2021.

Rangka tindakan ini menggariskan empat sasaran utama yang hendak dicapai dalam konteks perkhidmatan digital kerajaan kepada rakyat iaitu 100 peratus kakitangan awam celik digital, 80 peratus perkhidmatan kerajaan dalam talian, semua kementerian dan agensi menyediakan kemudahan bayaran tanpa tunai dan 80 peratus agensi kerajaan menggunakan kemudahan penyimpanan awan menjelang akhir tahun ini.

Perkara sama disentuh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah ketika menyampaikan amanat sulungnya ketika baru menjawat jawatan itu.

Beliau memaklumkan perkhidmatan awam perlu dinamik, tidak rigid dan kalis masa hadapan. Justeru, kakitangan awam perlu memanfaatkan perkembangan teknologi semasa seperti platform digital untuk bersedia ke arah itu.

Terdapat pelbagai cabaran terpaksa ditempuh kakitangan awam dalam usaha meningkat kualiti penyampaian perkhidmatan bagi memenuhi kehendak orang ramai. Antara penyelesaian yang perlu diberi perhatian ialah pendigitalan proses kerja dipelbagai peringkat dan wawasan ini mampu dicapai dengan pembabitan kerajaan, ketua jabatan dan kakitangan awam.

Pada peringkat kerajaan, komitmen perlu ditunjukkan menerusi pelaburan modal seperti usaha membangunkan platfom digital seperti inisiatif penyimpanan awan yang memerlukan pelaburan besar, termasuk menyediakan kemudahan peralatan kepada penjawat awam selaras dengan peredaran zaman.

Dalam pada itu, perhatian juga harus diberi kepada aspek keselamatan siber seperti risiko kebocoran maklumat, manakala ketua jabatan pula bertanggungjawab melakukan perancangan dan pemantauan yang jitu. Pada masa sama, kakitangan awam perlu bersedia mendepani cabaran ini dengan berusaha melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran digital seperti menghadiri program latihan disediakan kerajaan untuk meningkatkan kompetensi digital ini.

Pertimbangan kerajaan untuk meningkatkan ganjaran kewangan, terutama mempertimbangkan isu gaji minimum dalam kalangan penjawat awam seperti disarankan CUEPACS akan mencermin kesungguhan kerajaan menjaga kebajikan kakitangan awam secara bersasar.

Pada masa sama, kakitangan awam perlu berusaha menyerapkan elemen digital dalam penyampaian perkhidmatan seperti mana tema sambutan hari pekerja CUEPACS tahun ini. Menerusi pendekatan ini dan proses saling lengkap melengkapi, maka segala cabaran mendatang akan ditempuh bersama demi Keluarga Malaysia.

Penulis adalah Presiden CUEPACS

Berita Harian X