Sabtu, 7 Mei 2022 | 2:56pm
Hari ini, genap seminggu sejak kerajaan memberi lebih banyak kelonggaran ke atas prosedur kawalan dan pencegahan penyakit COVID-19. - Foto hiasan
Hari ini, genap seminggu sejak kerajaan memberi lebih banyak kelonggaran ke atas prosedur kawalan dan pencegahan penyakit COVID-19. - Foto hiasan

Ambil pengajaran dua tahun lalu, waspada varian baharu

HARI ini, genap seminggu sejak kerajaan memberi lebih banyak kelonggaran ke atas prosedur kawalan dan pencegahan penyakit COVID-19.

Melalui gambar dan video dimuat naik di media sosial, kita dapat saksikan kegembiraan orang ramai pulang ke kampung halaman menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga dan sahabat handai.

Ia mengubati kerinduan masing-masing selepas lebih dua tahun terpaksa berkorban menghadapi cabaran pandemik amat sukar.

Dalam pada kita meraikan kebebasan seperti yang pernah kita rasai sebelum kehadiran COVID-19, tidak salah sekiranya merenung kembali pengajaran diperoleh dalam tempoh dua tahun ini, serta bersiap sedia menghadapi cabaran mungkin dilalui dalam fasa 'hidup bersama virus'.

Realitinya, gelombang baharu jangkitan boleh berlaku pada bila-bila masa. Kes jangkitan akan meningkat dan menurun seiring dengan peredaran masa seperti kemerosotan imuniti, kemunculan varian baharu, interaksi dan mobiliti dalam kalangan masyarakat serta faktor musim.

Bagi menghadapi cabaran ini, strategi serampang empat mata yang sebelum ini berjaya membolehkan kita melangkah ke fasa peralihan ke endemik akan terus dilaksanakan iaitu; menyelamatkan nyawa, mengurangkan kesan serius jangkitan (terutamanya kepada kumpulan berisiko tinggi), melindungi sistem kesihatan awam dan memudahkan proses pemulihan kehidupan masyarakat.

Kehadiran varian Omicron memberi banyak pengajaran dan pengalaman penting kepada kita semua. Pada akhir tahun lalu, situasi pandemik di dalam negara beransur pulih apabila kes baharu dan indikator kesihatan (kes kematian dan penggunaan unit rawatan rapi) menunjukkan penurunan ketara seperti sebelum kehadiran varian Delta.

Namun selepas itu, kita dikejutkan dengan kemunculan varian baharu Omicron yang lebih pantas merebak walaupun pada ketika itu kita masih belum mengetahui tahap keseriusannya sekiranya dijangkiti.

Susulan itu, beberapa keputusan dan langkah penting terpaksa diambil antaranya kawalan sempadan negara diperketat bagi melambatkan penularan jangkitan di dalam negara dan pasukan petugas respon pantas (National COVID-19 Rapid Response Task Force, RRTF) diaktifkan semula untuk memastikan sistem kesihatan seperti katil rawatan rapi mencukupi sekiranya berlaku kenaikan kes mendadak.

Kita juga mempergiat promosi dan pelaksanaan pemberian vaksin dos penggalak jenis mRNA terutama kepada individu menerima dos primer jenis nyahaktif seperti Sinovac.

Berbekalkan langkah susulan diambil serta pemahaman lebih baik mengenai sifat Omicron dan tahap keseriusan jangkitan varian itu, kita menyaksikan walaupun kes adalah 35 peratus lebih tinggi berbanding Delta, namun sistem kesihatan terus bertahan dengan jumlah penggunaan adalah 70 peratus lebih rendah.

Apabila kita mempunyai pemahaman lebih baik kesan nyahganding (decoupling) terhadap bilangan kes (tinggi) dan tahap keseriusan atau jangkitan teruk (rendah), saya yakin masanya telah tiba untuk memberi kelonggaran ke atas sekatan aktiviti sosial dan ekonomi.

Saya akhirnya membuat keputusan itu pada Mac lalu bagi membolehkan proses pemulihan kehidupan masyarakat berjalan dengan lancar dan selamat.

Selepas perbincangan di peringkat Menteri Kuartet COVID-19, pelan fasa peralihan ke endemik dibentangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang seterusnya mengumumkan fasa ini mula berkuatkuasa pada 1 April 2022 dan seterusnya disusuli dengan lebih banyak kelonggaran SOP bermula 1 Mei lalu.

Keputusan melonggarkan lebih banyak SOP ini tidak dibuat secara sambil lewa atau terburu-buru.

Sebaliknya ia dilakukan dengan berhati-hati menggunakan pendekatan secara berperingkat, mengambil kira keseimbangan kesihatan awam dan pemulihan ekonomi serta selari dengan tingkah laku masyarakat.

Jika dibandingkan dengan beberapa negara lain yang tidak lagi mewajibkan pemakaian pelitup muka sama ada di tempat tertutup atau di kawasan terbuka, Malaysia masih mengekalkan arahan pemakaiannya di tempat tertutup dan terus menggalakkan orang ramai memakainya di kawasan terbuka tetapi sesak.

Pemakaian pelitup muka dalam kawasan tertutup bukan sahaja bertepatan dengan fakta saintifik, tetapi keputusan ini turut mendapat sokongan masyarakat.

Masih ramai terus memakai pelitup muka di kawasan terbuka walaupun kewajipannya kini hanya di tempat tertutup.

Dalam soal kepentingan kesihatan awam, pilihan diberikan harus sejajar dengan tingkah laku dan penerimaan masyarakat.

Keputusan mengekalkan arahan pemakaian pelitup muka di tempat tertutup perlu diteruskan bagi melindungi golongan rentan di sekeliling kita.

Walaupun Malaysia mencatatkan liputan vaksinasi COVID-19 antara terbaik di dunia, masih terdapat kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas, golongan tidak divaksin (termasuk kanak-kanak kecil), mereka dengan komorbid dan terimunokompromi (immunocompromised).

Keberhasilan kadar liputan vaksinasi tinggi juga terbukti apabila lebih 95 peratus kes aktif kini hanya perlu mengasingkan diri atau menjalani isolasi di rumah.

Walaupun sekarang COVID-19 hanya menyebabkan demam selsema kepada golongan sihat yang divaksin, namun bagi golongan rentan, virus ini masih boleh menyebabkan jangkitan yang teruk dan membawa maut.

Maka, selain daripada perlindungan menerusi pemakaian pelitup muka, kumpulan rentan ini juga harus diberikan keutamaan mendapatkan rawatan anti-viral serta penjagaan klinikal yang baik di hospital selain pemantauan proses pemulihan di rumah dan pemberian dos penggalak tambahan.

Bagaimana pula mengenai dos penggalak tambahan untuk kumpulan lain? Kita tahu kini tahap imuniti sama ada terhasil daripada vaksin atau secara semula jadi melalui jangkitan, akan merosot dari semasa ke semasa.

Kita juga semakin memahami jangka hayat imuniti selular (cellular immunity), yang akan menjadi petunjuk kepada sebarang keputusan bagi syor dos penggalak pada masa depan.

Walaupun vaksinasi COVID-19 tidak bersifat mandatori dari sudut undang-undang, kempen imunisasi COVID-19 dilakukan secara agresif termasuk melaksanakan larangan memasuki premis tertentu kepada golongan tidak atau belum divaksin.

Dengan 98 peratus penduduk dewasa kini divaksin sepenuhnya dan separuh populasi pula menerima dos penggalak, syor bagi keperluan dos penggalak tambahan akan dibuat kepada kumpulan tertentu yang mana mereka sendiri membuat keputusan sama ada mahu mengambilnya.

Selaras dengan fasa peralihan ke endemik, setiap individu bertanggungjawab ke atas diri termasuklah melakukan penilaian risiko kendiri mengenai apa yang ingin mereka lakukan dan bagaimana mereka mahu menjalani kehidupan seharian.

Perkara lain yang perlu diberikan perhatian adalah berkenaan perkembangan pembangunan vaksin COVID-19 terkini yang berupaya memberi perlindungan daripada pelbagai jenis varian untuk suatu tempoh masa panjang dan lebih penting mampu memberikan kekebalan pensteril (sterilising immunity).

Ia bukan hanya mengurangkan keseriusan penyakit tetapi membantu mengurangkan jangkitan.

Jika vaksin sedemikian boleh dibangunkan, tidak mustahil program imunisasi secara massa perlu dilaksanakan lagi pada masa hadapan.

Akhir sekali, memandangkan ujian pengesanan COVID-19 berasaskan makmal seperti RT-PCR kini semakin kurang dilakukan kerana beralih kepada ujian kendiri, suatu kaedah pengawasan bagi kes serta varian baharu perlu diusahakan.

Maka di sinilah pentingnya setiap ujian kendiri sama ada positif mahupun negatif dilaporkan menerusi aplikasi MySejahtera.

Walaupun semua orang mengalami kelesuan pandemik (pandemic fatigue), namun kegagalan melaporkan ujian kendiri ini akan menyumbang kepada 'blind spot' atau titik buta keadaan penularan virus ini di peringkat komuniti.

Walaupun Kementerian Kesihatan (KKM) masih meneruskan pengawasan dan pengujian sentinel di klinik kesihatan serta melihat untuk memperluaskan kaedah pengawasan seperti analisis air kumbahan, data diperoleh daripada pelaporan ujian kendiri masih penting dan sangat berguna.

Kita sedar ramai tidak mahu melaporkan keputusan positif kerana tidak mahu menjalani HSO selama tujuh hari.

Justeru, KKM membuat keputusan membenarkan pelepasan HSO bermula hari keempat apabila disahkan negatif oleh pengamal perubatan.

Apapun, kejayaan fasa peralihan ke endemik hanya boleh menjadi kenyataan apabila wujudnya solidariti komuniti dengan semua pihak bertanggungjawab dan bersikap jujur mengenai status kesihatan masing-masing.

Aktiviti pengawasan varian baharu juga kekal menjadi cabaran utama. Selepas perbelanjaan besar dikeluarkan sepanjang pandemik berlaku, pelaksanaan aktiviti penjujukan genom penuh (WGS) untuk mengenal pasti varian atau sub-varian yang menular dalam negara masih penting dan perlu dibuat walaupun menelan kos tinggi.

Tanpa bilangan WGS mencukupi, kita akan gagal mengetahui dengan lebih awal penularan besar yang mungkin berlaku yang seterusnya akan menyebabkan kita lewat untuk bertindak.

Kita bernasib baik varian Omicron melanda negara tidak seteruk Delta sebelum ini, tetapi yang perlu dibimbangkan selepas ini sekiranya wujud pula varian 'Deltacron' yang boleh menular jauh lebih pantas dan lebih berbahaya.

Dalam keadaan masih ramai populasi dunia belum divaksin dan virus masih menular, mutasi akan terus berlaku dan dalam hal ini, kita harus sentiasa berwaspada dan bersedia dengan segala kemungkinan.

  Dalam pada kita meraikan bulan Syawal ini, usah terkejut sekiranya jumlah kes baharu meningkat. Inilah realiti kehidupan kita sekarang dan juga selepas ini, sementara kita menunggu wabak ini melepasi endemik.

Selagi kes dilaporkan adalah kes jangkitan ringan dan keupayaan kapasiti hospital kekal bertahan bukan sahaja untuk kes COVID-19 tetapi juga kes bukan COVID-19, kita boleh melalui proses peralihan ke endemik dengan selamat.

Namun saya ingin ingatkan, hampir kembali kepada normal bukan bermaksud kita sudah kembali normal seperti sebelum kehadiran COVID-19.

Lakukan penilaian kendiri sebelum menghadiri majlis besar, maklumkan kepada majikan melabur dalam sistem pengudaraan yang baik di tempat kerja dan untuk membenarkan amalan kerja dari rumah sekiranya bersesuaian.

Sekiranya bergejala, lakukan ujian dan laporkan di aplikasi MySejahtera. Jika positif, asingkan diri. Amalkan sikap bertimbang rasa, lebih-lebih sekiranya seseorang meminta anda untuk memakai pelitup mula. Sentiasalah berjaga-jaga.

Penulis adalah Menteri Kesihatan

Berita Harian X