Sambutan Aidilfitri memadamkan kebimbangan umum ketika gelombang Omicron mula menular awal Februari lalu hingga ada tajuk berita disiarkan sebagai 'O m i c ro n bukan 'konspirasi KJ' nafikan sambutan hari raya.'
Begitulah kebimbangan umum sebelum ini yang merisaukan sambutan Aidilfitri mengulangi nasib pada 2020 dan 2021.
Bagaimanapun dengan penurunan kes COVID-19 dan kita berada pada fasa peralihan ke endamik, tentu ramai tersenyum lebar selepas menteri kesihatan mengumumkan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) mulai Ahad lalu seperti pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal dan daftar masuk MySejahtera.
Apatah lagi pada minggu ini, kita menyaksikan hampir 4 juta kenderaan bergerak dari ibu kota ke kampung halaman masing-masing, disusuli dengan kemeriahan sambutan hari lebaran yang bercampur dengan perasaan hiba apabila sudah dua kali tidak dapat berbuat demikian.
Hakikatnya, sambutan Aidilfitri ialah kemenangan secara batiniah atau rohaniah kepada umat Islam. Justeru, ia harus dibiaskan dalam peningkatan kualiti perilaku, keimanan dan ketakwaan, selain kembali kepada fitrah yang mengandungi pengertian ikatan hamba dengan Tuhan Maha Pencipta dan silaturahim dengan 'kembalinya' kita kepada keluarga dan sanak saudara.
Oleh itu, amat sesuai sekali kita memberikan makna semangat Keluarga Malaysia dalam memeriahkan sambutan Aidilfitri yang tentunya akan berlanjutan sepanjang Syawal.
Kesatuan dan kesepaduan membina disiplin mematuhi usaha pencegahan penularan COVID-19 membolehkan kita semua menikmati sambutan Aidilfitri bersama keluarga, tahun ini.
Justeru, keluarga menjadi kata kunci utama sambutan Aidilfitri ini, sekali gus mengandungi konotasi bantu-membantu, hormat-menghormati, berkunjung, berinteraksi, berhubung, saling memberi dan menerima serta bermaaf-maafan dalam suasana mesra dan berkasih sayang.
Keluarga Malaysia memberi makna kita semua ahli keluarga besar untuk membina Malaysia tercinta. Oleh itu amatlah tepat sekali kalaulah semangat Keluarga Malaysia ini dimaknaikan bersama sambutan Aidilfitri.
Berteraskan semangat Keluarga Malaysia, agama menjadi faktor penyatuan kaum dengan menyederhanakan perasaan taksub, fanatik agama, perkauman dan budaya serta adat resam melampau bagi sesuatu kaum dan bangsa.
Perasaan melampau terhadap perkauman dan agama diredakan semangat tolak ansur serta setiakawan ketika menyambut Aidilfitri melalui penganjuran rumah terbuka yang dibenarkan pada tahun ini. Budaya kunjung-mengunjung dan rumah terbuka membina roh ikatan persaudaraan dalam semangat kekeluargaan.
Memahami tiga teras prinsip Keluarga Malaysia, iaitu Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran membolehkan kita menyuntikkan semangat itu dalam sambutan Aidilfitri.
Ciri Keterangkuman menjadikan kita menghayati sambutan perayaan melalui silaturahim pelbagai kaum. Ia mampu memperkayakan nilai keterangkuman Keluarga Malaysia melalui budaya komunikasi berhemah, pembinaan akhlak mulia berdasarkan prinsip hormat-menghormati dan menyemarakkan budaya amanah dalam tanggungjawab berkeluarga dengan konsep balik kampung serta rumah terbuka.
Ciri kebersamaan ini juga adalah prinsip Islam sebagai agama menyatupadukan umat manusia, menghormati sesama manusia dan memuliakan tetamu. Sambutan Aidilfitri menyuburkan rasa hormat terutama kepada tetamu dan toleransi terhadap perbezaan dengan semangat bermaaf-maafan.
Semangat Keluarga Malaysia terus diperkukuhkan melalui pengayaan rasa tanggungjawab kepada keluarga membawa budaya balik kampung, ihsan kepada sanak-saudara, kasih sayang keluarga dan budaya ziarah.
Malah, keprihatinan Perdana Menteri juga terserlah apabila sanggup menundakan tradisi rumah terbuka Perdana Menteri pada 1 Syawal kerana memahami kepentingan kita semua dapat bersua dengan keluarga tercinta terlebih dahulu.
Penulis adalah Timbalan Yang Dipertua Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu Terengganu (DPPMT)