Ahad, 1 Mei 2022 | 11:00am
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Isu pekerja tak lagi berkisar gaji, waktu kerja atau cuti

JIKA ditanya apakah perkara utama terlintas di fikiran mengenai Hari Pekerja diraikan 1 Mei, pasti ramai mengaitkannya cuti umum, majlis perhimpunan atau perarakan pekerja.

Hari Pekerja sedunia dikhaskan untuk menghargai jasa dan mengiktiraf golongan itu di atas segala usaha dan pengorbanan memajukan diri, keluarga, masyarakat, bangsa serta negara.

Selepas lebih 100 tahun kita menyambut Hari Pekerja yang sebelum ini terkenal dengan nama Hari Buruh, keadaan semakin berbeza apabila kita melalui pandemik COVID-19 dan menuju ke fasa pemulihan endemik.

Jika sebelum pandemik, sebahagian kita masih bergelar pekerja, namun selepas muncul COVID-19, ada terpaksa 'bersara awal' kerana syarikat tidak lagi mampu tanggung kos pekerja. Pandemik yang masih belum jinak bukan sahaja menyerang kesihatan manusia, bahkan menyakitkan ekonomi dunia, termasuk negara ini.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mendapati sebanyak 46.6 peratus daripada 168,182 individu bekerja sendiri dilaporkan hilang pekerjaan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Hampir separuh, iaitu 46.6 peratus responden bekerja sendiri menyatakan kehilangan pekerjaan dan dianggarkan 9 daripada 10 responden masih bekerja mengalami pengurangan pendapatan.

Ia juga menunjukkan sektor pertanian dan perkhidmatan mencatat peratusan kehilangan pekerjaan lebih tinggi kesan penularan COVID-19, masing-masing 21.9 peratus serta 15 peratus.

Kilang beroperasi, ada kerja, adalah gaji. Namun, ia tidak mewakili semua industri. Pekerja dalam sektor seperti pelancongan dan perhotelan mungkin masih mencari arah kembali dalam era peralihan ke endemik ini.

Pelbagai peristiwa dalam endemik, ada diminta bercuti tanpa gaji, ada diberi gaji setengah bulan dan ada diberhentikan tanpa pampasan.

Sebenarnya, Hari Pekerja di negara ini ialah hari meraikan pencapaian ekonomi dan sosial pekerja, termasuk penetapan tempoh bekerja lapan jam sehari. Hari itu menjadi percutian kebangsaan dan ramai akan bersantai-santai sempena cuti umum ini.

Di sebalik kita sudah acap kali menyambutnya, masih ramai tidak memahami signifikan sambutan Hari Pekerja, selain pemahaman simplistik dan salah mengaitkannya sebagai hari bagi semua bergelar pekerja berehat dan bercuti.

Tanyalah pada setiap orang kita temui, sudah tentu itulah jawapan mereka.

Sempena sambutan Hari Pekerja pada hari ini dan tahun mendatang, kita wajar membuat anjakan paradigma positif merenung kembali matlamat asal sambutannya.

Baik pekerja mahupun majikan, Hari Pekerja sepatutnya dijadikan renungan kepada kepekaan terhadap keadilan, kejujuran, amanah serta tanggungjawab dalam konteks bekerja, selain memikirkan produktiviti dan keuntungan semata-mata.

Dalam menuju ke fasa endemik di samping suasana dunia semakin terbuka dan kompleks, isu pekerja tidak lagi berkisar gaji, waktu kerja atau cuti.

Jaringan keselamatan sosial, imbuhan dan manfaat sampingan, kebajikan serta persaraan pekerja perlu diperhatikan dan diperluaskan. Dengan kebanjiran pekerja asing, kerajaan perlu peka dan pantas membela pekerja tempatan.

Kita khuatir jika terlambat, akan timbul eksploitasi bentuk baharu oleh mereka culas dan tamak.

Pada masa sama, kita perlu menzahirkan terima kasih kepada kerajaan di bawah Kementerian Sumber Manusia atas pelaksanaan gaji minimum RM1,500 di bawah Perintah Gaji Minimum 2022 bermula hari ini.

Ini inisiatif positif kerajaan untuk semua pekerja dalam mewujudkan Keluarga Malaysia lebih baik. Tahun ini juga kita melihat beberapa pindaan akta perburuhan utama negara akan dipinda.

Rang Undang-Undang (RUU) Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2021 diluluskan di Dewan Negara dan dalam proses pengiktirafan serta kelulusan Yang di-Pertuan Agong.

Beberapa pindaan menepati keperluan asas dan hak utama penambahbaikan untuk pekerja seperti cuti materniti kepada 98 hari, memperkenalkan tujuh hari cuti paterniti, mengurangkan jam bekerja kepada 45 jam seminggu, waktu kerja fleksibel, proses rungutan untuk diskriminasi diperkenalkan, meningkatkan kesedaran serta proses pengendalian kes gangguan seksual.

Pada 24 Mac lalu, bacaan pertama di Parlimen diadakan bagi meminda RUU Akta Kesatuan Sekerja 1959 (Pindaan) 2022, RUU Akta Sosial Pekerja 1969 (Pindaan) 2022 dan RUU Akta Sistem Insuran Pekerjaan 2017 (Pindaan) 2022.

Pindaan dipercayai akan dilaksanakan pada tahun ini, diyakini akan mengambil cadangan balas Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menerusi perbincangan atas semangat tripartisme.

MTUC sedang merangka langkah segera bagi menjalankan seberapa banyak perjumpaan dan perbincangan bersama pemegang taruh, kesatuan gabungan, ahli akademik, pakar ekonomi, peguam serta semua golongan untuk bersedia dengan cadangan balas pindaan terbabit. Kami optimistik segala perubahan atau pindaan akan mengambil kira kepentingan pekerja.

Semoga tarikh 1 Mei masih bermakna kepada kepada warga pekerja. Seperti tema Hari Pekerja tahun ini, sememangnya pekerja adalah tonggak Keluarga Malaysia dalam pemulihan negara, sekali gus menjadi nadi negara.

Penulis adalah Pemangku Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC)

Berita Harian X