Jumaat, 29 April 2022 | 9:21am
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang. - NSTP/Mohamad Fahd Rahmat
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang. - NSTP/Mohamad Fahd Rahmat

Hala tuju PAS dalam kedinamikan politik negara semakin menarik

Penyertaan PAS dalam mana-mana pakatan politik bukan sekadar menumpang kuasa, tetapi antara penggerak seperti ditegaskan Presidennya, Tan Sri Hadi Awang dalam muktamar tahunan parti itu pada tahun lalu.

Ia isyarat jelas kepada mana-mana parti ingin bersama agar tidak menjadikan pakatan dikuasai mana-mana pihak. Hakikatnya, matlamat utama PAS tidak lari daripada untuk mendapatkan kuasa politik.

Sejarah pakatan politik PAS khususnya pasca Reformasi 1998 memberi kesan besar kepada perpaduan parti itu. Ia membentuk fraksi yang akhirnya membawa perpecahan hingga tertubuhnya Parti Amanah Negara (AMANAH).

Justeru, PAS menjadi pembangkang lantang ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH) dan berjaya mengolah isu berkaitan kepentingan Islam serta Melayu dengan baik.

Politik identiti berasaskan agama dan kaum ditonjolkan PAS khususnya pasca Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 memberi laba segera apabila menjadi sebahagian kerajaan selepas kejatuhan PH pada 2020. Kerjasama dengan UMNO membawa penubuhan Muafakat Nasional (MN) pada 2019 dan pembentukan Perikatan Nasional (PN) pada 2020.

Bagaimanapun, PAS tidak dapat lari daripada ujian kuasa. Pergolakan dalaman berpunca perbezaan pandangan dari segi kerjasama politik menimbulkan perselisihan dalam kalangan pimpinan. Tidak dapat dinafikan, keputusan pemilihan muktamar lalu menjadi isyarat polemik itu. Beberapa pimpinan utama seperti Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang pernah menjadi menteri, tewas. Begitu Nik Abduh Nik Abdul Aziz gagal mendapat tempat sebagai Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Natijahnya, pergolakan itu membawa keputusan Mohd Khairuddin berhenti menjadi ahli PAS, Mac lalu. Bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS itu, menyifatkan tindakan berkenaan antaranya disebabkan tidak berpuas hati dengan pimpinan utama membelakangi keputusan mesyuarat berhubung strategi politik. Pergolakan dalaman itu tidak mampu disembunyikan PAS apabila ia membabitkan antara pimpinan tertinggi mereka.

Hala tuju PAS dalam kedinamikan politik Malaysia semakin menarik untuk diteliti selepas dua pilihan raya negeri (PRN) di Semenanjung. Walaupun bertembung dengan rakan dalam MN dan kerajaan dalam PRN Melaka serta Johor, PAS masih kekal sebahagian Kerajaan Persekutuan.

PAS yang semakin kukuh bersama PN dan menjadi pencabar utama kepada BN dalam kedua-dua pilihan raya berkenaan tidak boleh dipandang ringan. Antara sebab PAS lebih selesa bersama PN adalah ia menjadikannya setara dalam membuat keputusan seperti penentuan jumlah kerusi dan hala tuju. Ini berbeza dengan pengalaman PAS sebelum ini yang dilihat dibuli DAP ketika dalam PR dan mendakwa dipinggirkan UMNO dalam MN dari segi pembuatan keputusan. Sokongan pengundi diberikan kepada PN dan memecahkan undi pembangkang dipercayai membawa munculnya idea khemah besar.

Khemah besar dicanangkan pembangkang dalam menghadapi PRN lalu dan juga hasrat sama bagi pilihan raya akan datang dilihat lebih kepada strategi politik PH yang berasakan ketidakmampuan menghadapi BN.

Ia semakin hangat apabila menjadi antara isu utama dalam kempen pemilihan PKR yang sedang berlangsung apabila calon Timbalan Presiden, Rafizi Ramli dalam jerayawaranya menolak usaha khemah besar berkenaan.

Ia membawa reaksi segera Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dan Presiden AMANAH, Muhammad Sabu yang seakan-akan cuba meredakan keadaan dengan menekankan rancangan itu tidak membabitkan parti dalam kerajaan, iaitu BN dan PN. Namun, ia juga sebenarnya ditolak pimpinan PN khususnya PAS. Kenyataan Hadi dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hasan jelas menolak khemah besar ini mungkin boleh dilihat dari sudut lebih luas berasaskan perkembangan politik sebelum ini.

Walaupun PAS dikatakan bukan kawan politik baik kerana beberapa kali terbabit dalam perselisihan yang menyebabkan pertembungan sesama parti dalam pakatan seperti antara MN dengan PN dalam pilihan raya negeri serta pengalaman dalam Barisan Alternatif (BA) dan PR, dalam persaingan politik kepartian ini, masing-masing perlu licik.

Bagi menjadi parti paling besar sekali dalam kerajaan atau dengan kata lain mempunyai kerusi paling banyak, adalah agak mustahil bagi PAS dengan masa yang ada ini. Namun, PAS mungkin mengintai kedudukan dalang politik atau kingmaker dengan jumlah kerusi dimenangi kerana mereka mampu memberi sokongan kepada mana-mana pakatan ingin menubuhkan kerajaan.

Ini sebenarnya berlaku sekarang hingga PAS menjadi sebahagian Kerajaan Persekutuan dan kemungkinan kekal hingga Parlimen dibubarkan.

Penulis adalah Pensyarah Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Raub

Berita Harian X