Jumaat, 29 April 2022 | 9:09am
Orang ramai dinasihat teruskan norma baharu kerana pandemik masih belum lagi berakhir. - Foto hiasan
Orang ramai dinasihat teruskan norma baharu kerana pandemik masih belum lagi berakhir. - Foto hiasan

Fasa kelonggaran SOP COVID-19 uji kepatuhan rakyat

Seperti dijangka kerajaan mengumumkan beberapa lagi kelonggaran langkah kawalan dan pencegahan COVID-19 di negara ini selaras dengan fasa peralihan ke endemik.

Antara kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) berkuat kuasa 1 Mei ini yang menarik perhatian ialah pemakaian pelitup muka di luar bangunan tidak lagi diwajibkan, sebaliknya hanya digalakkan, terutama di kawasan sesak.

Orang ramai juga tidak perlu lagi mengamalkan penjarakan fizikal di samping tiada lagi keperluan untuk membuat imbasan kod QR menerusi aplikasi MySejahtera apabila memasuki premis atau tempat awam lain.

Ironinya ketika kita lega dan menyambut baik keputusan kerajaan ini, kelonggaran diberikan sebenarnya menuntut tahap disiplin tinggi dalam kalangan rakyat.

Bermakna, selepas ini rakyat perlu lebih bertanggungjawab menjaga dan melindungi keselamatan diri, ahli keluarga serta masyarakat.

Hal ini kerana kini semuanya terpulang kepada diri kita sama ada terus berhati-hati atau leka dan cuai atas alasan tiada lagi keperluan mematuhi SOP ditetapkan sebelum ini.

Hakikatnya penularan COVID-19 belum berakhir sepenuhnya, walaupun jumlah kes jangkitan dan kadar kematian menunjukkan trend penurunan.

Namun, tidak mustahil statistik ini kembali meningkat secara drastik jika masing-masing beranggapan kita bebas daripada wabak atau tidak dijangkiti lagi.

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) baru-baru ini memberi amaran pandemik masih belum berakhir meskipun jumlah jangkitan dan kematian global dilaporkan terus menurun.

Justeru, kelonggaran SOP tidak boleh dilihat sebagai lesen besar untuk terlalu bebas sehingga mengabaikan semua SOP diamalkan selama ini.

Fasa kelonggaran SOP perlu dilihat sebagai medan cabaran dan ujian kepada rakyat untuk menilai sejauh mana kemampuan diri menguruskan keselamatan dan kesihatan diri serta keluarga tanpa kawalan mandatori pihak berkuasa.

Selepas ini, rakyat tetap perlu membuat persiapan mental dan fizikal sebelum memasuki fasa endemik kelak. Oleh itu, dalam pada rakyat bergembira, jangan terlalu leka menjaga kesihatan diri kerana khuatir wabak ini boleh kembali dan menjejaskan semula kehidupan.

Bagi umat Islam pula, kelonggaran diberikan ini hadir ketika bakal menyambut Aidilfitri, namun harus diingat, walaupun tidak perlu mengamalkan penjarakan fizikal, SOP sambutan Aidilfitri digariskan Kementerian Kesihatan (KKM) perlu terus dipatuhi demi keselamatan semua.

Disebabkan wabak masih wujud dalam kehidupan, masyarakat dinasihatkan meneruskan norma baharu kehidupan seperti memakai pelitup muka dan melakukan penjarakan fizikal di kawasan sesak sebagai langkah pencegahan.

Rakyat perlu sedar pengumuman fasa peralihan ke endemik serta kelonggaran berkuat kuasa Ahad ini adalah pendekatan dan strategi kerajaan memastikan rakyat keluar daripada cengkaman pandemik sejak dua tahun lalu.

Apa yang penting, usah ambil mudah kelonggaran diberikan, sebaliknya buktikan kita bersedia membebaskan diri daripada wabak dengan tahap disiplin tinggi.

Penulis adalah Timbalan Pengarah Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK), Universiti Putra Malaysia (UPM

Berita Harian X