Khamis, 28 April 2022 | 10:45am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Pantau pusat jagaan demi keselamatan penghuni

EPISOD penderaan tidak berperikemanusiaan terhadap Bella, remaja orang kurang upaya (OKU) mengundang simpati rakyat. Kita bukan sahaja sukar menerima kenyataan ia boleh terjadi kepada remaja Sindrom Down, bahkan berlaku di pusat penjagaan yang sepatutnya memberikan perlindungan kepadanya.

Penjagaan dan perlindungan dimiliki kanak-kanak, terutama OKU bukan sahaja dijamin instrumen hak asasi manusia antarabangsa, malah undang-undang negara. Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) misalnya menekankan tanggungjawab kerajaan memastikan institusi perkhidmatan bertanggungjawab menjaga atau melindungi kanak-kanak mematuhi standard ditetapkan, terutama dalam keselamatan, kesihatan serta pengawasan berwibawa.

Ia juga mempertanggungjawabkan kerajaan untuk melindungi kanak-kanak daripada semua bentuk keganasan fizikal atau mental, kecederaan, penderaan, pengabaian, pelakuan cuai, penganiayaan atau eksploitasi, termasuk penderaan seksual semasa dalam jagaan ibu bapa atau penjaga.

Jika diteliti, perakuan diberikan Konvensyen Mengenai Hak Orang Kurang Upaya (CPRD) mengenai risiko lebih besar dihadapi wanita dan kanak-kanak perempuan kurang upaya, sama ada di dalam mahupun di luar rumah untuk berhadapan keganasan, kecederaan atau penderaan, pengabaian atau kecuaian, kekejaman atau eksploitasi.

Kejadian penderaan di institusi yang sepatutnya menjaga kebajikan mengingatkan penulis mengenai kes Migdalia Romero, iaitu penghuni Willowbrook State School, New York sejak berusia 7 tahun yang menghadapi masalah kekurangan upaya dari sudut mental dan tidak dapat bertutur pada 1960-an.

Pendedahan wartawan, Geraldo Rivera mengenai keadaan penghuni dan persekitaran amat menyedihkan mendorong tuntutan mahkamah dikemukakan kepada Willowbrook. Berdasarkan penyelesaian dicapai tanpa perbicaraan penuh pada 1975, mahkamah mengarahkan pemindahan keluar semua penghuni ke penempatan lebih kecil dan Willowbrook ditutup secara rasmi pada 1993.

Keputusan mahkamah itu disambut dengan ikrar bahawa bekas penghuni memiliki 'hak dari sudut perlembagaan untuk dilindungi daripada sebarang kemudaratan.' Malangnya, berdasarkan penyiasatan dijalankan New York Times pada 2019, kebanyakan daripada 2,300 bekas penghuni Willowbrook masih diselubungi penderaan dan penganiayaan tidak berkesudahan.

Penderitaan dilalui Bella, Migdalia dan individu senasib memerlukan pembelaan sewajarnya. Begitu banyak pengajaran diperoleh melalui kes penderaan dan penderitaan dilaluinya.

Pihak berkuasa diharapkan mengambil langkah tegas berhubung kebenaran beroperasi bagi setiap rumah kebajikan, iaitu dengan berdaftar secara sah. Kebenaran juga perlu diberi hanya kepada pihak benar-benar layak.

Pegawai pemantau daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang bertanggungjawab memeriksa keadaan pusat jagaan dan menyediakan laporan juga perlu dipastikan melaksanakan tugasnya secara berkala lagi sistematik.

Sekiranya kekurangan sumber manusia menjadi masalah utama pemantauan berkala dan berkesan, JKM disarankan bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi (IPT). Kerjasama strategik itu boleh membabitkan pelajar dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak yang menjalani latihan industri sebagai anggota pasukan untuk melaksanakan tugas pemantauan dan penyediaan laporan.

Budaya kerja secara bersendirian tidak lagi relevan, sebaliknya kerjasama antara agensi dan kementerian perlu ditingkatkan untuk memastikan kebajikan penghuni pusat jagaan umumnya dan kanak-kanak khususnya akan sentiasa terpelihara.

Hakikatnya, kes Bella mendedahkan pengabaian amanah dipikul individu tertentu. Demi memastikan agar ia tidak berulang, peruntukan undang-undang, peraturan dan tatacara perlu dipatuhi serta dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan adil.

Felo Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Berita Harian X