Selasa, 26 April 2022 | 11:00am
 Ada guru berhasrat untuk bersara pilihan kerana ingin memasuki profesion lain yang menawarkan perkhidmatan lebih baik.
Ada guru berhasrat untuk bersara pilihan kerana ingin memasuki profesion lain yang menawarkan perkhidmatan lebih baik.

Guru bersara awal rugikan negara, jejas sistem pendidikan

Sebagai kakitangan sektor awam, guru boleh membuat pilihan untuk bersara awal. Mengikut peraturan, usia persaraan ialah apabila genap usia 60 tahun, namun begitu jika ingin bersara lebih awal, boleh memberi notis kepada majikan mereka.

Seperti didakwa Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), ramai dalam kalangan guru memohon bersara awal setiap tahun. Namun demikian tiada angka tepat bagi menyokong dakwaan itu.

Jika dakwaan ini benar, sudah tentu ia boleh menjejaskan sistem pendidikan negara jika ramai guru dedikasi dan berpengalaman membuat keputusan bersara awal.

Jawatan guru adalah kumpulan iktisas dan antara profesion penting dalam sektor awam. Perkhidmatan ini di bawah urus tadbir Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).

Dari segi perkhidmatan dan gaji, kerjaya guru menawarkan kadar sangat menarik. Mula bekerja diletakkan dalam gred DG41 dan boleh mencapai gred tertinggi JUSA C dalam kumpulan guru cemerlang.

Kenaikan pangkat diperoleh selepas berkhidmat beberapa tahun, disahkan dalam jawatan dan menerima penilaian prestasi kerja yang baik.

Difahamkan setiap tahun ratusan ribu anak-anak muda lepasan institusi pengajian tinggi (IPT) memohon untuk memasuki perkhidmatan pendidikan.

Keputusan CGPA yang baik diperlukan untuk membolehkan nama mereka disenarai pendek dan terpilih menyertai profesion perguruan. Selepas itu perlu menduduki ujian MTeST atau Malaysian Teacher Selection Test dan hanya mendapat markah terbaik dipanggil untuk temu duga.

Ternyata untuk menjawat jawatan guru bukanlah mudah kerana hanya mereka yang cemerlang akan terpilih. Justeru, tidak mudah untuk membuat keputusan meletakkan jawatan awal tanpa alasan kukuh.

Seorang guru perlu berfikir beberapa kali sebelum menghantar notis meletak jawatan. Tambahan pula jika mereka masih mempunyai hutang pinjaman perumahan, kenderaan atau pinjaman kewangan daripada koperasi atau bank.

Bagi yang mempunyai anak kecil atau masih dalam alam persekolahan perlu memikirkan perbelanjaan masa depan pendidikan anak mereka. Tanggungan kewangan akan bertambah bagi setengah orang apabila perlu menyara ibu bapa sudah tua atau anggota keluarga lain yang memerlukan.

Lebih membebankan jika isteri tidak bekerja dan menjadi suri rumah sepenuh masa. Oleh itu ura-ura untuk meletakkan jawatan tanpa tujuan yang jelas eloklah dilupakan.

Secara umumnya, setiap tahun ada guru memohon bersara awal. Kebanyakan yang memohon ini dipengaruhi faktor kesihatan. Sebagai insan biasa, apabila meningkat usia 40-an atau 50-an ramai mula menghadapi masalah kesihatan.

Penyakit biasa dialami ialah darah tinggi, sakit jantung, gout, kencing manis, buah pinggang atau gangguan saraf. Bagi yang agak serius dan kronik terpaksa berulang alik ke hospital dan kerap mengambil cuti sakit.

Mereka tidak lagi mampu menjadi guru yang produktif kerana tidak dapat menjalankan tugas secara normal. Oleh itu pilihan terbaik ialah memohon bersara awal.

Tindakan ini membolehkan mereka mendapat rawatan, rehat mencukupi dan tidak pula menjejaskan produktiviti sekolah tanpa kehadiran mereka.

Ada juga guru merasakan perkhidmatan mereka cukup lama dan ingin meninggalkan profesion ini. Kebiasaannya mereka terdiri daripada guru wanita apabila semua anak meningkat dewasa, mempunyai pekerjaan serta berkeluarga, manakala suami pula dapat menyara perbelanjaan harian.

Namun persaraan awal ini suatu kehilangan kepada negara dan sistem pendidikan negara kerana mereka secara hakikatnya masih lagi produktif.

Ada guru berhasrat untuk bersara pilihan kerana ingin memasuki profesion lain yang menawarkan perkhidmatan lebih baik terutama dalam sektor swasta atau menjalankan perniagaan sendiri.

Dalam usia muda dan masih bertenaga, inilah masanya untuk berpindah ke bidang lain. Berdasarkan kelulusan, pengalaman dan minat maka bidang baharu ini akan memberi suatu keyakinan dan kepuasan dalam diri mereka.

Sementara itu ada mengatakan bersara pilihan ini disebabkan bebanan tugas terutama kaedah atau mod pengajaran baharu akibat COVID-19. Hal ini tidak wajar dibangkitkan kerana semua guru adalah terlatih dan mempunyai etika kerja. Perkhidmatan perguruan adalah 'khidmat nasional'. Mereka sedia berkhidmat di mana saja termasuk di pulau kecil dan kawasan pedalaman yang tidak mempunyai kemudahan asas mencukupi.

Sebagai orang terlatih dalam bidang perguruan, maka mempelajari sesuatu kaedah pengajaran baharu bukan isu besar kepada mereka. Justeru untuk memperbaiki tadbir urus dan perkhidmatan perguruan, satu kajian boleh dilakukan jika benar ramai dikesan mahu bersara awal.

Penulis adalah Bekas Ketua Pengarah Pendidikan

Berita Harian X